Sunday 28 August 2016

Hari Raya Korban

Hari Raya Korban
Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah.
Maksud korban adalah bererti sembelih. Manakala maksud sembelih pula, adalah bererti memutuskan nyawa dari badan (jasad). Memutuskan nyawa dari badan pula, apakah maksudnya? Inilah yang ramai orang tidak faham dan tidak mengerti! Ramai di kalangan kita hanya faham bahawa erti korban itu adalah upacara sembelih lembu, kerbau atau unta. Sedangkan maksud atau pengertian sebenar “Korban” itu, tidak ada kena mengena dengan lembu, kerbau atau unta. Lembu, kerbau atau unta itu, hanya sekadar kiasan atau simbolik.
Korban atau sembelih itu, sebenarnya bertujuan bagi mengajar kita erti penyerahan nyawa. Kita hendaklah berserah diri kepada Allah, bukan sahaja setakat anggota tujuh, malahan berserah diri kepada Allah itu, hendaklah sampai kepada tahap nyawa (roh). Itulah sebenar-benar pengertian atau maksud di sebalik perkara korban!
Selama ini, kita terlepas pandang yang bahawasanya roh atau nyawa kita itu, sebenarnya bukan hak kita, bukan harta kita dan bukan milik kita. Nyawa itu sendiri, adalah milik Allah Taala. Nyawa atau roh itu, adalah Raja atau Sultan kepada kita. Biar pun dia selaku Raja atau Sultan, tidak semestinya dia berkuasa. Berkuasanya roh yang memerintah kerajaan diri kita itu, adalah juga milik Allah! Segala milik Allah itu, hendaklah dikembalikan semula kepada Allah Taala.
Sifat adalah anggota kita, asma’ adalah nama kepada anggota kita, afaal adalah perbuatan tubuh kita, dan “roh” adalah zat kepada kita. Sebagaimana sifat manis yang ada pada gula. Sifat manis yang ada pada gula itu, adalah zat kepada gula. Sebegitulah sifat roh (nyawa) yang ada pada kita. Sifat roh yang ada pada kita itu, adalah zat kepada jasad.
Zat itu berada pada tahap makhluk bukannya pada tahap Allah. Allah tidak ada zat, Allah itu adalah Allah. Allah tidak bergantung kepada zat. Sekiranya Allah bergantung kepada zat, bererti zat itu lebih tinggi dari Allah! Ingat, ingat, dan ingatlah bahawa Allah itu, tidak ada zat. Allah itu adalah Allah yang berdiri dengan sendirinya! Allah bukan berdiri pada zat, tetapi Allah berdiri dengan sendiri (Qiamuhu Binafsih).
Zat bagi tubuh dan zat bagi kita itu, adalah roh. Kita mengaku mengenal diri dan mengaku berserah diri kepada Allah, tetapi tidak ramai yang tahu menyerah roh kepada Allah Taala. Setelah kita berserah roh kepada Allah, itulah baru sebenar-benar berserah diri.
Barang siapa yang mengenal roh, bermakna mengenallah ia akan dirinya. Manakala barang siapa yang mengenal diri, maka akan mengenallah ia kepada Allah Taala. Barang siapa mengenal roh, hancur binasalah jasad, dan barang siapa mengenal Allah, hancur binasalah roh. Setelah hancurnya roh, barulah dikatakan mengenal Allah dan berserah diri kepada Allah Taala. Sempurna atau khatamnya maksud berserah diri itu, setelah menyerah roh (nyawa) kepada Allah Taala. Itulah pengertian korban yang sebenar.
Dalam upacara korban, Allah tidak pandang kepada nyawa lembu, darah lembu, atau daging lembu. Yang Allah nak nyatakan di situ, adalah simbolik atau kiasan lembu kerbau itu, hendaklah kita bawa kepada diri kita sendiri. Yang Allah pandang itu, adalah nyawa kita, daging kita, dan darah kita!
Bukan besar ertinya bila daging korban itu dapat kita agih-agihkan kepada orang. Sedangkan orang yang kita agih-agihkan daging korban itu, adalah orang yang boleh beli lebih banyak daging lembu, berbanding pemberian dari daging korban! Malahan ada orang yang dapat daging korban itu, mereka sendiri pun berkorban sehingga tujuh lapan ekor lembu. Apakah mereka terpandang agihan korban kita yang seberat setengah kilogram?
Kita dakwa yang daging itu tanda ikhlas kita, apakah hari lain kita tidak ikhlas? Apakah hari lain tidak boleh kita agihkan daging lembu? Apakah tanda simpati kepada fakir miskin itu, hanya pada hari raya sahaja? Apakah hari-hari lain tidak lagi perlu kepada simpati? Cuba jawab...
Tok Kenali

No comments:

Post a Comment