Thursday 25 August 2016

Hakikat Insan

AKU LAH GURU, AKU LAH MURID.
Sahabat-sahabat yang dihormati. Sesungguhnya di luar sana jutaan manusia dan jin ingin mempelajari serta mengetahui ilmu Makrifat. Dari jumlah tersebut hanya berapa ramai yang Allah tentukan untuk mempelajari, memahami, menyakini dan mengenali Haq dan Bathil. Ingat Bathil itu adalah segala persangkaan atau segala yang bersifat makhluk, termasuk sesuatu yang lahir, terbit serta anggapan "keAkuan". Itulah Bathil. Dan Bathil sifatnya adalah binasa serta tiada.
Adapun yang Haq pula adalah wujud selain atau selepas tiada/binasanya sekalian makhluk termasuk keAkuan itu tadi.
Setelah binasanya diri Bathil atau keAkuan itulah, maka diri atau batang tubuh yang sama-sama ada tubuh zahir atau batin, berubah atau bertukar kepada diri sebenar diri. Dan inilah yang Haq.
Diri sebenar diri inilah Roh, Muhammad, atau Rasul. Roh inilah yang sebelum binasa atau Makrifat merupakan diri Bathil yang terhasil dari lupanya si Roh pada dirinya sendiri lantaran terpesona dalam penjara tubuh jasad atau alam kasar. Sehingga menyangka dirinya ada seperti adanya Allah. Maka itulah jalan Tarekat, Hakikat dihidang sebagai landasan untuk kembali mengenal diri seperti fitrahnya yang Adam atau Tiada.
Setelah sempurna mengenal serta memahami hakikat diri atau Roh, maka dari yang Bathil, Roh yang mengenal menjadi Yang Hidup.
Mengapa Roh, diri sebenar diri atau Yang Hidup "menjadi Allah" ?
Sesungguhnya:
* Tiada yang wujud selain Allah.
* Diri itu Roh, Roh itu Hayat, Hayat itu Hidup, dan Hidup itulah Allah.
Sempurna mengenal, faham dan yakin, serta dapat membezakan antara yang Bathil dan yang Haq, itulah maknanya "Telah Memperolehi Al Furqan". Ditegaskan lagi, kemusnahan kebathilan itu hendaklah dengan cara total atau menyeluruh.. Afaalnya, Sifatnya, Asmanya, serta Zatnya. Hendaklah meliputi tanpa ada Bathil yang tertinggal untuk dibinasa atau dinafikan.
Sesungguhnya menyataNya yang Haq adalah setelah binasa semua kebathilan.
Setelah diri yang Haq nyata, jangan pula lupa apa yang selalu disebut-sebut dengan sifat Maani diambil semula, kerana gagal untuk kembali mengambilnya, itu yang masih bersangka boleh itu dan ini biarpun macam dah Makrifat. Masih bersangka dah mati, masih boleh untuk itu dan ini.
Hendaklah diambil semula 7 sifat Maani yang dinafikan sewaktu di jalan belajar atau kenal diri. Diambil dan digunakan semula. Jika dulu diri Bathil yang tiada disangka yang menggunakannya, kini diri yang hiduplah yang menggunakannya.
Maka bermulalah yang berjalan, melihat, mendengar dan lain-lain sifat Maani tersebut, digunakan oleh Yang Hidup. Berkekalan dalam menggunakan sifat Maani inilah yang dipanggil BAQA. Maka Baqa lah yang Hidup dalam kandung atau pangkuan Allah. Hidup dan tidak ada lagi kematian.
Ingat beza antara Qadim dan Baqa.
Seperti bezanya antara Alim dan Ariff.
Setelah Baqa inilah baru "LAYAN". Layan pulak dari kandung Allah, kamar Allah, pangkuan Allah. Maka bermulalah kepatuhan Yang Hidup terhadap "Syariat". Jika sebelum Baqa, Syariat yang wajib dipatuhi adalah Syariat Nabi atau jika ilmunya adalah ilmu Feqah. Tetapi Syariat yang wajib dipatuhi atau dilayan oleh Yang Hidup atau Roh yang mengenal adalah Syariat Allah. Yang dimaksudkan dengan Syariat Allah adalah semua gerak Roh. Dan inilah juga maksud "Sunnah Rasul" atau perbuatan Roh.
Setelah tercapai kedudukan ini, maka cukuplah apa yang perlu dikenal dan tersingkaplah sudah "rahsiaNya" yang menjadi amanah. Maka kenallah, bertemulah diri yang Bathil akan diriNya sendiri. Dan itulah Allah.
Maka jasad hanya patuh dan taat Syariat atau arahan Roh. Manakala Roh patuh dan taat akan perintah dari yang tidak berhuruf dan tidak bersuara iaitu Tuhan semesta Alam.
Roh dalam menyampaikan arahan kepada jasad, berlaku tanpa adanya arahan dalam bentuk bersuara atau bertulis. Tanpa keduanya, arahan Roh tajalli pada jasad.
Berbeza dengan Roh, arahan dilaksanakan dari yang tidak berhuruf dan tidak bersuara dalam bentuk "suratan takdir" iaitu ketentuan terperinci yang telah Allah siapkan. Kun... Tinggal lagi Fayakun... Mengikut bentuk, corak, masa dan ketika yang juga telah Allah siapkan.
Bertemu kenalnya (Makrifatnya) seseorang dengan dirinya sendiri (Roh) maka itulah yang wajib diimani, itu pun setelah segala Asma-Asma itu tadi tidak dilihat berasing-asing tetapi Satu, Esa lagi Ahad. Dan itulah Allah.
Maka genaplah nama Allah yang 99 itu menjadi genap 100 dengan munculnya satu nama yang "terhijab" selama belum mengenal. Nama itulah Azam atau Aziz atau Yusuf atau Muniandy atau Thomas atau Ah Chong. ASAL kan yang telah Binasa dan Kenal.
Syukur selesai juga. Semua huraian tentang adanya ini telah saya hurai dalam pelbagai versi. Dan hari ini tergerak untuk mempersembahkan dalam bentuk 'kesimpulan' A to Z tanpa istilah dan perumpamaan. Tetapi terus terang. Segalanya bertujuan agar sahabat-sahabat benar-benar faham serta mendapat Makrifatullah. Biarpun saya amat memahami bahawa faham itu kerja Allah.
Sedih tengok kalangan yang acuh tak acuh serta tidak serius dalam mempelajarinya. Dibuat macam ilmu parti pinggan mangkuk. Gitu-gitu. Sebabnya? Sesuatu yang mudah diperoleh malah disuapkan ke mulut atau percuma. Itulah rupa kita meraikannya walaupun inilah penutup segala pencarian atau matlamat serta tujuan Allah menciptakan Nur Muhammad iaitu "Agar Aku Dikenali".
Entahlah jika ada lagi ilmu atau perkara lain yang lebih besar dari perkara "Dapat melihat serta meNyatakan Allah".
Berbeza saya dahulu, macam-macam cabang dengan geraknya ditekuni. Justeru sentiasa istiqamah, tetap pendirian, serta serius dalam mempelajari serta berkongsi.
Biar faham yang dipegang benar-benar menurut apa sewajibnya. Silap dalam memahami, bukan Makrifatullah, tetapi makrifatulwaham atau Makrifat Syaitan.
Hendaklah difahami bahawa Makrifat itu sama sekali tidak boleh disekutukan dengan ilmu-ilmu yang lain. Cerita ilmu adalah sekadar pada Syariat Feqah, Tarekat Usuluddin, dan Hakikat Tasawuf. Makrifatlah yang turut membinasakan segala ilmu-ilmu yang ada. Sehingga ilmu tidak lagi sekadar ilmu. Tetapi pemilik ilmu iaitu Allah.
Ramai kalangan kita yang telah faham, tetapi berpusing-pusing tak dapat parking. Hanya kerana takut, tidak yakin, keliru untuk mengakui "hakikat" diri. Itu yang saya perhatikan walau di group mana sekali pun. Tetapi yang putus atau parking, tetap juga ramai.
Semoga semua akan memperolehinya. Percayalah, setelah bukan lagi diri Bathil yang hidup, tetapi benar-benar Yang Hidup, dan berada dalam Baqa Allah di tapak "Insan" (ingat Allah & Muhammad) maka sahabat-sahabat akan dipimpin serta dibukakan rahsia-rahsia ketuhanan dan menambahkan lagi pengetahuan yang telah diperolehi dari Guru Zahir.
Malah terpulang kepadaNya jika pada akhirnya si murid mendapat faham melebihi akan gurunya. Atau mendapat sesuatu yang gurunya tidak tahu. Maka bergurulah pula guru tadi kepada muridnya. Itulah ertinya "Guru Aku Murid pun Aku".

No comments:

Post a Comment