Wednesday 15 June 2016

zakat

Wa alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh wamaghfiratuh waridhwaanuh kepada sahabat sahabat yang memberikan salam. Alhamdulillah. Terima kasih semua diatas segala bentuk perkongsian ilmunya. Sedikit perkongsian dari saya yang cetek ilmu ini.

Assalamualaikum.
Sekadar renungan bersama.

Pengertian atau makna zakat dari segi tafsiran hukum feqah adalah bermaksud keperluan dapur atau keperluan asas. Manakala makna atau pengertian fitrah pula, adalah semulajadi atau bersih.

Berdasarkan erti, tafsiran atau makna zakat dan fitrah itu sendiri, telah membawa kita kepada suatu pengertian yang jelas, sekiranya kita melihatnya melalui mata hati.  Tetapi sayangnya sesuatu ilmu itu, kita tidak melihatnya dengan mata hati dan karena itulah kita selalu terbabas dan terlepas pandang untuk menilai hakikat disebalik sesuatu maksud, walaupun ianya jelas, terang dan nyata.

Yang kita ingat, yang kita nampak dan yang kita pandang itu, adalah ibadah fitrah yang berupa sukatan beras (jika zaman dahulu), manakala  zaman sekarang, zakat itu dikeluarkan sekadar disukat dengan kiraan wang ringgit iaitu diantara RM7 mengikut negeri, tetapi  ada negeri kiraan zakatnya, lebih murah dan ada negeri yang lebih mahal.

Pembayaran fitrah pada zaman dahulu, dilakukan dengan menggunakan beras. Disukatnya beras sekadar harga semasa ketika itu. Manakala pada zaman sekarang, ditukar ganti beras dengan wang ringgit mengikut nilaian semasa. Jika pada masa dahulu fitrah itu, adalah berupa beras yang disukat melalui cupak. Dimasukkan beras ke dalam cupak, iaitu bekas sukatan beras zaman dahulu. Kemudian, beras didalam cupak itu dijadikan sebagai akad jual beli. Bilamana kita datang untuk membayar fitrah, amil akal menolak beras yang ada didalam cupak kepada kita, kemudian kita tolak semula cupak yang berisi beras tadi kepada amil.

Begitulah seterusnya, jika kita ada 12 orang anak, kita kena sorong dan tarik cupak tadi sebanyak 14 kali termasuk kita dan isteri. Datang orang lain pulak, beras dan cupak yang sama juga, disorong dan ditarik. Begitulah cara orang zaman dahulu membayar zakat fitrah sehingga sampai hari raya (sebelum sembahyang raya).

Sekali pandang atau jika dilihat dengan akal yang cetek akal ini, fitrah yang berupa beras atau wang ringgit itu, seolah olah lucu dan suatu permainan yang boleh dipermain mainkan atau sesuatu yang boleh dipersendakan.

Apa tidaknya, datang orang lain, beras itu juga yang diperdagangkan dan beras didalam cupak itu juga yang disorong dan ditarik sebagai akad. Bawah tapak cupak itu, lama lama boleh menjadi haus, karena cupak yang sama dan beras yang sama ditarik serta ditolak oleh amil.

Sekarang ini, tidak perlu lagi menarik dan menolak cupak, karena wang ringgit telah menjadi galang ganti. Sekali pandang seolah olah Allah itu, boleh dipersenda, tetapi itulah kenyataannya yang digariskan oleh hukum.

Dengan perubahan zaman dan peredaran masa, kini fitrah boleh pula dibayar terus dengan mengunakan nilaian wang ringgit. Tidak perlu lagi menggunakan cupak yang berisi beras. Ianya boleh dibayar terus melalui potongan gaji, melalui wakil dan sebagainya. Pada masa yang akan datang, dengan kecanggihan teknologi moden, fitrah itu, entah akan dibayar melalui apa pula?.

Konsep pembayaran fitrah zaman sekarang ini, telah dipandang dan telah dilihat melalui nilaian wang ringgit, bukan melalui nilaian hakikat sebenar. Jika nilaian wang ringgit yang sebanyak RM 7.00 atau RM 8.00 itu, untuk diperbandingkan dengan "perbelanjaan dapur" atau perbelanjaan minyak kereta yang memakan belanja RM 30.00 hingga RM 80.00 sehari, berbanding dengan fitrah RM 7.00 hingga RM 8.00 setahun, alangkah jauhnya perbezaan itu.

Anak sekolah tahun 3 sudah memakai telifon bimbit, belanja makan sahaja antara RM 5.00 ke RM 10.00 sehari. Jika dianggarkan, lebih kurang RM 150.00 ke RM 300.00 sebulan dan dalam masa setahun RM 1,700.00 atau  RM 3,600.00 dibelanjakan, sedangkan fitrah baru mencecah RM 7.00 hingga RM 8.00 sekali setahun.

Apakah sebenarnya fitrah, menurut perkiraan ilmu hakikat (makrifat) dan menurut perkiraan Allah swt?. Bagi yang berfikir dan mempunyai mata basyirah serta bagi mereka mereka yang berpandangan jauh, semestinya mengerti, faham dan jelas akan bahasa isyarat, bahasa kiasan dan bahasa simbolik disebalik maksud fitrah itu.

Malahan, ianya membawa pengertian yang jauh lebih besar, lebih dalam dan lebih tinggi dari sangkaan ilmu feqah. Bagi yang  pengajiannya setakat ilmu syariat (ilmu feqah atau ilmu kulit), mereka melihat, memandang dan menilik hanya melalui "nilai hukum feqah" yang terbatas pada perbatasan akal.

Hukum akal dan hukum feqah itu, hanya memandang zakat, kepada kadar beras yang dalam cupak dan hanya memandang pada kadar wang yang berjumlah RM7 atau RM8. Mereka sangkakan dan mereka nilaikan zakat itu, hanya melalui kadar wang ringgit. Alangkah sayangnya, makna dan tafsiran yang tersirat disebalik zakat itu, tidak ramai yang mengetahuinya.

PENGERTIAN ZAKAT YANG SEBENAR MELALUI SULUHAN ILMU MAKRIFAT.

Tuan tuan dan puan puan yang dirahmati Allah swt sekalian. Zakat pada pengertian feqah itu, adalah bermaksud "keperluan dapur atau keperluan asas". Cuba tuan tuan tanya kepada diri sendiri, adakah Allah swt itu, memerlukan kepada keperluan dapur ataupun memerlukan kepada keperluan asas?. Cuba tanya diri sendiri, saya mahu tuan tuan dan puan puan betul betul tanya dan ajukan persoalan ini kepada diri sendiri.

Sekiranya Allah swt tidak perlu kepada perkara perkara itu semua, apakah yang Allah swt maksudkan disebalik perkara zakat?. Jadi, mari kita sama sama lihat apakah maksud yang tersembunyi disebaliknya.

Zakat menurut suluhan ilmu makrifat dan tilikan ilmu hakikat itu, adalah "TANGGUNGJAWAB ANGGOTA TUBUH YANG TUJUH". Anggota yang tujuh kita itulah, sebenar benar zakat yang harus kita keluarkan. Zakat anggota tangan hendaklah kita gunakan untuk bekerja mencari makan.

Rezeki yang diperolehi hasil dari titik peluh anggota tangan kita, hendaklah disampai sampaikan pula kepada selain dari diri kita. Panjangkan hasil titik peluh tangan itu, kepada anak isteri, kedua orang tua, saudara mara, penduduk setempat dan umumnya kepada nusa dan bangsa.

Anggota tangan dan anggota mulut digunakan untuk mendidik anak murid dengan sebaik mungkin bagi sesiapa yang bertugas sebagai guru. Tangan bagi seorang petani bekerja dengan penuh kesyukuran dan hasilnya itu, hendaklah disampai sampaikan dan dipanjang panjangkan kepada orang lain, selain dari diri sendiri. Inilah diantara kiasan zakat.

Zakat itu, ada yang berupa zakat peliharaan, zakat emas, zakat harta dan sebagainya. Adapun zakat yang berupa barang berharga seperti itu, hanya dapat dikeluarkan oleh orang yang berada dan orang yang berduit sahaja. Bagi yang tidak berkemampuan, mereka tidak diwajibkan menurut hukum feqah. Akan tetapi, menurut hukum ilmu makrifat, zakat itu hendaklah dikeluarkan oleh setiap insan.

Zakat mata, digunakan untuk membaca ilmu dan kemudian, ilmu yang dibaca itu, disebar sebarkan kepada orang ramai. Zakat telinga, digunakan untuk mendengar ceramah ceramah agama misalnya, dan disampai sampaikan pula kepada orang ramai. Begitulah pada setiap anggota tubuh kita yang tujuh itu, ada hak bagi mengeluarkan zakat.

Zakat ibubapa kepada seorang anak dan zakat anak kepada ibubapa. Zakat isteri terhadap suami dan zakat suami terhadap isteri. Zakat diri kepada negara, zakat diri kepada haiwan, tumbuh tumbuhan, kepada amanah orang dan zakat kita kepada janji orang, apa lagi zakat kita kepada Allah swt. Iaitu, dengan menyerah segala anggota tujuh (menyerah diri) kepadaNya dan sebagainya.

Zakat itu luas skopnya. Bukan sahaja pada ternakan, emas atau harta benda. Zakat menurut suluhan ilmu makrifat itu luas, tinggi, besar dan berat, iaitu zakat bagi mengeluarkan sifat keberadaan diri kepada sifat kosong. Zakat adanya diri kepada sifat kembali kepada Allah swt. Pulangkan diri kepadaNya.

Ilmu makrifat itu, biar apapun ilmu yang diperbincangkan, semuanya berlegar disekitar penyerahan diri. Apapun ilmu yang diperbincangkan, semuanya berbalik kepada ilmu menyerah diri, iaitu ilmu mentauhidkan Allah swt, setelah ketiadaan diri. Itulah zakat yang besar, erat dan zakat yang paling tinggi.

Akhir kata..
Semoga semua sahabat sahabat sentiasa berada didalam rahmat Allah..

Terima kasih Ya Allah.

Aamiin Ya Allah.

ZAINI ZAKARIA.

No comments:

Post a Comment