Tuesday 21 June 2016

Hakikat Insan

HAKIKAT TANPA SYARIAT ITU, SESAT!
MAKRIFAT TANPA SYARIAT ITU, SESAT!
Sesungguhnya dewasa ini terdapat di kalangan tertentu yang menggelarkan diri mereka sebagai guru-guru pengajian tarekat dan hakikat berserta dengan anak-anak muridnya, yang berpegang dengan satu kefahaman palsu, di mana mereka berpegang dengan konsep bahawa mereka tidak perlu lagi menunaikan tanggungjawab syariat, selepas seseorang itu menceburkan diri ke alam ilmu hakikat.
Mereka tidak perlu menunaikan solat, tidak perlu lagi puasa, dan sebagainya. Malah tidak kurang pula menghalalkan diri mereka untuk melakukan zina dengan perempuan yang tidak dinikahinya.
Sesungguhnya pemati iman seperti inilah yang menjadi kebimbangan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. di mana baginda sangat-sangat bimbang yang umatnya akan berpecah kepada 73 golongan yang kesemuanya akan disumbat ke dalam neraka kecuali satu golongan saja yang akan dikurniakan syurga.
Sesungguhnya di dalam pengajian ilmu tarekat dan hakikat, tidak ada satu jalan pun untuk membolehkan orang-orang yang beriman dan berilmu ini dapat melepaskan diri mereka daripada syariat Muhammad s.a.w. selagi dirinya berjasad, waras fikirannya, dan masih makan minum sebagaimana makan minumnya orang awam.
Maka selama itulah mereka sekali-kali tidak boleh meninggalkan syariat kerana tubuh itulah yang mengandungi rahsia Allah s.w.t. Selagi adanya tubuh dan tubuh itu masih dikatakan hidup, maka selama itulah syariat meliputi batang tubuh seseorang itu.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
ﺇِﻥَّ ﺍﻟﻠَّﻪَ ﻻَ ﻳَﻨْﻈُﺮُ ﺇِﻟَﻰ ﺻُﻮَﺭِﻛُﻢْ ﻭَﺃَﻣْﻮَﺍﻟِﻜُﻢْ ﻭَﻟَﻜِﻦْ ﻳَﻨْﻈُﺮُ ﺇِﻟَﻰ ﻗُﻠُﻮْﺑِﻜُﻢْ ﻭَﺃَﻋْﻤَﺎﻟِﻜُﻢْ
“Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak melihat kepada bentuk, rupa dan harta benda kalian, tetapi Allah memerhatikan hati dan amal-amal kalian”.
[HR. Muslim.]

No comments:

Post a Comment