Saturday 18 June 2016

SOLAT

SALAH FAHAM TENTANG SOLAT YANG MEMUSNAHKAN GENERASI

Seorang warga emas berusia lewat 60an sering berulang alik ke RPWP. Asalnya atas urusan perniagaan, namun ada ketikanya beliau saja-saja hadir untuk mempelajari sesuatu tanpa kami tahu.

Pada suatu hari beliau berpeluang meluahkan isihati kepada murobbi yang bertugas waktu itu. Luahan pertama ialah bagaimana cara kami mendidik anak-anak ini sehingga dilihat begitu tertib, beradab dan mematuhi semua arahan.

Beliau cemburu melihat anak-anak seramai ini saban hari berderetan berjalan ke surau dengan teratur dan tidak berkeliaran. Dengan jujur beliau katakan kadang-kala beliau tidak terus pulang dari RPWP, tetapi beliau berhenti di kedai kopi hanya untuk melihat deretan anak-anak ini berjalan menuju ke masjid. Yang besar memimpin yang kecil sambil berbual mesra sepanjang perjalanan.

Pernah beliau ikut ke masjid hanya untuk melihat bagaimana tabiat anak-anak kecil ini ketika solat dimasjid. Beliau akui anak-anak ini cukup tertib dan menyenangkan hati ketika di masjid. Alhamdulillah kami kembalikan pujian itu kepada Allah.

Beliau yang mempunyai 2 isteri serta 9 anak dan tinggal di sebuah Flat di Sg Besi itu mengakui gagal membentuk anak-anaknya. Bukan itu sahaja, malah anak-anak adik beradik beliau, termasuk yang bergelar Datuk juga mengalami masalah yang sama. Yang lelaki begitu liar, suka melawan dan mudah terjebak dengan gejala dadah dan jenayah. Yang perempuan pula suka berkeliaran sehingga beberapa di antara anak saudaranya telah terlanjur dan hamil.

Agak menyedihkan juga segala apa yang diceritakan oleh beliau ini. Kami yang telah terlibat secara langsung dalam mendidik atau memperbaiki akhlak anak-anak yang sebahagiannya memang telah tercalar ini amat memahami segala isi hati dan kebimbangan yang beliau luahkan.

Pada masa yang sama kami sendiri masih jauh dari berpuashati dengan akhlak anak-anak jagaan kami. Masih banyak lagi yang perlu diperhati dan diperbaiki walaupun masyarakat nampak ianya sudah terlalu baik di mata mereka.

APA RAHSIA PEMBENTUKAN AKHLAK DI RPWP?

Soalan itu kami jawab dengan penghayatan solat dan puasa. Semua sisi disiplin yang diterapkan itu ada dalam ritual solat itu sendiri. Kerana itu Nabi SAW katakan solat itu tiang agama.

Dalam wuduk anak-anak dididik untuk sentiasa membersihkan diri dari segala kemungkaran sebelum mengerjakan solat. Sucikan kerjabuat tangan hingga ke lengan. Sucikan mulut dari fitnah dan berkata dusta. Sucikan hidung dari menghidu berita atau perkara-perkara batil. Sucikan mata dan wajah dari suka memandang dan menghadap perkara mungkar. Sucikan telinga dari mendengar perkara mungkar. Sucikan juga kepala dari melayani regime (pemikiran dan hasutan jahat) syaitan. Sucikan kaki dari melangkah ke tempat-tempat mungkar.

Segala rukun perbuatan (af’al) dan rukun bacaan (Qauli) dalam solat itu sendiri sarat dengan bahan pendidikan terhadap anak-anak jika kita mampu zikirkan mereka dengan pelejaran di sebalik perlaksanaan rukun-rukun dalam ritual solat itu sendiri.

Dalam Azan kita dididik agar mendengar dengan khusyuk serta menyahut panggilan itu. Di situ anak-anak dididik agar sentiasa mendegar panggilan murobbi dan datang dengan segera, tanpa bertangguh apabila diminta. Perbuatan sambil lewa atau tidak menyahut panggilan murobbi merupakan satu kesalahan besar bagi mereka.

Dalam solat berjemaah kita dididik untuk mematuhi ketua. Takbiratul ikhram dan semua lafaz takbir di setiap peralihan rukun fe’li itu juga mendidik kita agar apa sahaja kerjabuat kita harus semata-mata untuk membesarkan Allah.

Fatihah itu satu surah penting yang Allah wajibkan kita baca dan zikirkan segala titah perintah di dalamnya 17 kali sehari.

http://prihatin.net.my/blog/category/agama/rahsia-fatihah/

Semua pelajaran di sebalik ritual solat ini pernah kami kongsikan suatu masa dahulu secara bersiri. Yang berminat boleh sahaja selongkar di website kami.

http://prihatin.net.my/blog/category/agama/rahsia-solat/

DI MANA SILAP IBUBAPA SEKARANG?

Apabila ditanya kepada warga emas ini adakah beliau mementingkan solat, maka dengan jujur dijawabnya tidak. Beliau dengan jujur mengakui yang beliau hanya mula belajar solat ketika usia 40 tahun. Pegangan beliau dan ramai di kalangan rakan-rakan seangkatan yang agak ‘brutal’ ketika itu ialah Nabi SAW sendiri mula solat ketika berusia 40 tahun.

Astaghfirullah...

Terkedu juga kami mendengar penjelasan warga emas ini. Beliau kemudian berkongsi beberapa pengajian yang bagi kami agak mengelirukan. Antaranya ialah pengajian ‘hakikat’ yang mengatakan semua ibadah ritual itu dipanggil syariat dan itu hanya kulit sahaja. Yang penting ialah isi ibadah yang beliau gelar sebagai hakikat.

Dalam kes lain ada yang mengikuti satu gerakan agama yang mengatakan ibadah ritual tidak wajib kerana Islam masih belum berkuasa. Oleh itu tiada siapa yang berhak menghakimi jika kita tidak melaksanakannya.

Bukan itu sahaja, puak-puak ini tergamak melakukan pelbagai dosa besar yang dilarang Allah seperti mencuri, menipu, berzina, minum arak dan sebagainya atas alasan hukum belum berjalan lagi kerana Islam tiada kuasa mutlak lagi saat ini. Kerana itu meraka menganggap perjuangan sekarang ialah untuk mendapatkan kuasa pemerintahan agar hukum hakam Islam boleh dikuatkuasakan.

Ada pula tersalah faham dengan isu ibadah ritual dan aktual. Mereka sibuk mempelajari HAKIKAT ibadah seperti solat dan puasa, namun mereka tidak mahu mempelajari dan melaksanakan semua RITUAL ibadah itu.

Bagi kami ini adalah satu khilaf yang amat besar.

Kita tidak akan mampu menghayati aktual sesuatu ibadah itu selagi ritualnya juga tidak kita fahami dan amalkan dengan bersungguh-sungguh. Kerana itu anak-anak kami bukan sahaja melakukan ibadah ritual yang wajib, malah mereka juga melakukan yang sunat seperti puasa Isnin Khamis dan sebagainya.

Merujuk kepada beberapa percanggahan pendapat tentang ibadah ritual ini, ramai juga yang sibuk mengkafir dan menyesatkan orang atas alasan bidaah dan sebagainya secara membuta tuli. Antaranya termasuk isu tahlil, bacaan yasin malam jumaat, baca surah alKahfi hari Jumaat, isu selawat dan marhaban, isu talkin di kubur dan sebagainya.

Kami ambil pendekatan yang sederhana dalam hal ini. Bagi mengelakkan kontroversi, kami cari sahaja jalan untuk menjadikan amalan itu sebagai laluan pendidikan. Kami cari rasional di sebalik semua amalan ritual itu dan kami gunakan pelajaran di sebaliknya untuk mendidik anak-anak ini.

Alhamdulillah kami dapati di samping ia mudah diterima masyarakat, ia juga mampu membuka minda anak-anak agar lebih bertoleransi dalam hal ibadah ritual.

Apabila mereka sudah faham hakikat di sebalik ritual yang mereka amalkan itu, maka insyaAllah mereka akan mampu menzikirkan pelajaran itu dan mengamalkan disiplin ibadah itu secara aktualnya sepanjang hari.

NABI MULA SOLAT PADA UMUR 40 TAHUN?

Ungkapan yang mengejutkan dari warga emas ini kami jelaskan dengan rujukan wahyu. Tidak pasti dari mana beliau dapat kefahaman sebegini. Kami cuba nampakkan rasional bahawa kefahaman beliau itu salah kerana Nabi SAW telah solat sejak kecil lagi.

Solat itu tiang agama. Dalam alQuran solat dan puasa juga sudah diwajibkan terhadap para nabi dan umat terdahulu. Ada banyak ayat yang merujuk kepada perintah solat kepada nabi-nabi terdahulu. Antaranya kami bacakan ayat Allah yang memerintahkan Nabi Syuaib a.s. mengajar dan memperbetulkan solat umatnya.

QS 11. Huud 87. Mereka berkata: "Hai Syu'aib, apakah solatmu menyuruh agar kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapak-bapak kami atau melarang kami memperbuat apa yang kami kehendaki tentang harta kami. Sesungguhnya kamu adalah orang yang sangat penyantun lagi berakal."

Jika kita meneliti turutan turunnya wahyu (nuzul qur’an) juga dapat kita kesan bahawa Nabi SAW dan masyarakat jahiliyah kafir Quraisy, termasuk Abu Jahal (Amru Bin Hisham) dan bapa saudara Nabi si Abu Lahab (Abdul Uzza) sendiri turut mengerjakan ritual solat, puasa dan haji.

Malangnya mereka hanya melakukannya tanpa mengamalkan disiplin dari ritual itu secara aktualnya dalam kehidupan harian mereka. Contohnya dalam solat mereka kata Allah Maha Besar, tetapi di luar solat mereka memperkecilkannya. Segala titah perintah Allah mereka langgar buta-buta.

Nabi SAW sendiri adalah bekas petugas yang menjaga kunci Kaabah di mana majikannya ialah Abu Jahal yang juga bapa saudara sepupunya sendiri sebelum baginda menerima wahyu.

Dalam wahyu pertama di surah 96 (al-Alaq), juga dalam wahyu ke 3 turun iaitu dalam surah 73 (al-Muzammil) dengan jelas Allah sebut tentang solat. Padahal Fatihah (surah 1) selaku wahyu yang ke 5 turunnya itu belum pun turun lagi.

Kami nampakkan bahawa Abu Jahal selaku penguasa Mekah dan Masjidilharam itu adalah dari keturunan yang sama dengan keluarga nabi SAW. Dia juga memberi makan dan minum kepada jemaah haji. Bapa kandung Rasulullah SAW yang bernama Abdullah itu sendiri sudah jelas Islam sebelum Nabi SAW diangkat sebagai Rasulullah.

QS 9. At Taubah 19. Apakah orang yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidilharam kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim

QS 22. Al Hajj 78. Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. Agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik- baik Penolong.

Ya… sejak Ibrahim a.s. lagi semuanya sudah Islam sehingga kini ada yang cuba mengenengahkan agama "Milah Ibrahim" pula. Cuma sezaman keIslaman mereka berada di jalan yang lurus dan kemudian ada umat yang membengkokkannya semula. Ibarat silih bergantinya siang dan malam, maka begitulah Islam jatuh dan bangun semula dari Adam sampai zaman baginda. Kini kita pula sedang mengalaminya sendiri fenomena jatuh bangun itu.

Ringkasnya, apa yang terjadi ketika wahyu diturunkan kepada Rasulullah SAW samalah keadaannya dengan apa yang sedang terjadi kepada kita saat ini. Ramai di kalangan kita yang melakukan semua ibadah ritual tanpa memahami apakah mesej dan perintah sebenarnya secara aktual di sepanjang kehidupan kita. Kebanyakkan kita tidak faham pun apa yang dibaca dalam solat.

Kemudian, dengan bimbingan wahyu yang dijelaskan oleh malaikat Jibrail a.s., baginda SAW mampu memahami sudut aktual dari semua ibadah ritual itu lalu menggunakannya secara strategik untuk membangunkan semula Islam yang telah kucar kacir saat itu.

TIDAK PERLU SOLAT DAN MEMATUHI HUKUM HAKAM KERANA ISLAM TIADA KUASA?

Segolongan penganut ajaran sesat seperti ini lebih memudaratkan ummat. Jawapannya mudah sahaja. ..

Jika kita mahu menunggu Islam berkuasa baharu mahu mematuhi segala hukum hakam yang telah Allah turunkan, maka sampai bila pun keindahan Islam itu tidak akan terzahir dan Islam tidak akan menarik hati manusia sedunia.

Allah dan Rasulullah SAW mengajar agar kita sendiri mengikuti langkah baginda yang diutuskan untuk mempamerkan uswah terbaik bagi manusia. Tentunya setiap kali wahyu dan perintah Allah disampaikan, baginda akan segera mematuhinya terlebih dahulu sehingga terbukti pembentukan akhlak yang mulia dari kepatuhan itu.

Dari contoh / uswah terbaik itulah sekalian manusia yang inginkan sejahtera jatuh hati dan berminat untuk bersyahadah.

KESIMPULANNYA

Jangan taksub dan sewenang-wenang mengambil apa sahaja yang diajarkan kepada kita tanpa merujuk kepada alQuran dan sunnah secara mendalam. Sebaiknya merujuk kepada yang arif terlebih dahulu sebelum menetapkan pendirian dan mengamalkannya.

Yang membangunkan akhlak dan menjadikan umat Islam kuat dan membangun ialah prktikal yang aktual dari disiplin semua ibadah ritual itu. Tetapi jika kita tidak pernah ambil tahu atau mengamalkan ibadah ritual itu sendiri, jangan harap kita akan mampu mencerap dan mengamalkan pelajaran dari semua tarbiah dari ibadah ritual itu dengan sempurna.

Justeru itu maka semua ibadah ritual itu adalah wajib lagi fardhu. Semua itu adalah jambatan ilmu dan asas tarbiah kepada pembangunan ummah. Tanpa amalan ritual itu maka tiadalah aktualnya.

Jangan sekali-kali mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, memansuhkan apa yang telah Allah wajibkan dan mencipta sesuatu yang tidak Allah anjurkan.

Alasan bahawa hukum hakam boleh dilanggar kerana Islam belum ada kuasa hanyalah rekaan yang dicetuskan oleh orang yang berniat jahat, yang hanya rakus mengajak manusia merampas kuasa untuk kepentingan dirinya sahaja.

Islam itu menawan manusia dengan cara memikat, bukan memaksa. Keindahan Islam adalah hasil dari kepatuhan umat terhadap titah perintah agama. Atas alasan apa sekalipun, kita harus mematuhi segala titah perintah Allah dalam kehidupan harian agar keindahan dan kesejahteraan Islam itu dapat dilihat dan mampu memikat manusia.

Semuga perkongsian ini bermanfaat.

Selamat berpuasa,
WARGA PRIHATIN

No comments:

Post a Comment