Tuesday 24 January 2017

TAJALLI ALLAH

TAJALLI ALLAH
Dalam keadaan Fana, wujud salik yang terhad itu dikuasai oleh wujud Allah yang mutlak, dengan itu salik tidak mengetahui dirinya dan benda-benda lain. Inilah peringkat Wilayat. Perbezaan antara wali-wali itu ialah disebabkan oleh perbezaan tempoh masa keadaan ini. Ada yang merasai keadaan Fana ini dalam satu minit, ada yang satu jam, ada yang satu hari, dan seterusnya. Mereka yang dalam keadaan Fana seumur hidupnya digelar Majzhub. Mereka masuk ke dalam satu suasana di mana mereka menjadi mutlak. Inilah Baqa. Ini bukanlah bererti Baqa Allah yang masuk kepada salik itu, sebagaimana yang dikatakan oleh setengah orang.
Seorang penyair Parsi pernah berkata:
“Aku pergi bersiar-siar di tepi laut dan aku terpandang perkara yang menakjubkan, KAPAL DALAM LAUT DAN LAUT DALAM KAPAL”.
Di sini wujud yang tidak terhad itu dibandingkan sebagai laut dan wujud yang terhad itu sebagai kapal. Ini dimaksudkan kepada zat dan Insan Kamil.Oleh itu, seorang Arifbillah yang sempurna ialah cermin Allah. Tetapi mengapa pula ini tertentu kepada Arifbillah atau Insan Kamil sahaja? Padahal tiap-tiap zarah dalam alam ini adalah cermin yang membayangkan sifat Allah?
Manusia ialah cermin yang paling sempurna sekali bagi semua sifat. Manusia mempunyai cat merah yang tebal di sebalik cermin itu dan ini perlu untuk membalikkan bayangan orang yang melihat dalam cermin itu. Malaikat mempunyai permukaan cermin yang terang itu sahaja tanpa cat merah di belakangnya dan benda-benda lain mempunyai permukaan cermin yang bercat itu sahaja tanpa yang terangnya. Manusia mempunyai kedua-dua permukaan itu, dan oleh yang demikian dia menjadi cermin yang sempurna.

No comments:

Post a Comment