Monday 30 January 2017

tasawuf

KEASLIAN TASAWUF (bahagian 1)
Assalamualaikum Kepada Para Ikhwan Yang Dikasihi.
Firman Allah SWT : "Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat dan benar (dalam segala hal), supaya ia memberi taufik dengan menjayakan amal-amal kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu."
Para Ikhwan yang dikasihi,
Segala yang berlaku (dalam kehidupan) tidak lain adalah untuk menguji hati-hati hambaNya sama ada benarkah iman mereka atau tidak. Bagi orang yang beriman, apabila berlaku sesuatu perkara, mereka mengatakan, "Sesungguhnya ia datang dari Allah dan kembali kepada Allah SWT". Disini kita perlu berpegang pada akhlak tasauf yang menekankan mujahadah dengan kesabaran, keredhaan dan tawakal kepadaNya. Apa yang perlu kita lakukan ialah muhasabah diri kita, kesilapan kita sebelum kita menuding sepenuhnya pada yang lain.
Para Ikhwan sekelian,
Saya perhatikan bahawa kebanyakan para penuntut Ilmu Tasauf yang ingin menempuh perjalanannya jahil dalam beberapa kaedah Ilmu Tasauf dan Adab-Adab dalam berguru serta kesalahan dalam pentafsiran tentang istilah tasauf, tarekah, syeikh, salsilah, karamah, kasyaf , ilham, mimpi, kisah para Auliya', matlamat dan tujuan bertasauf. Disini saya menggariskan beberapa perkara yang boleh (menyumbang kepada) berlakunya penyelewengan berdasarkan penelitian dan pengalaman saya yang beberapa kali terperangkap dengan guru dan pengajaran yang tidak membawa kepada tujuan tasauf hakiki, malah boleh membahayakan akidah.
1. Keikhlasan
Sabda Nabi SAW : "Bermula amal itu dengan niat."
Niat yang ikhlas adalah semata-mata mendapatkan redha Allah SWT. Lafaz yang masyhur di kalangan para ahli sufi ialah "Illahi anta maqsudi waridhaka matlubi", maksudnya "Tuhanku, tiada lain yang ku maksudkan, dan keredhaan Engkaulah yang ku cari."
Apa yang berlaku, ramai di kalangan penuntut Tasauf telah subahat dalam mencari keredhaanNya. Mereka inginkan kelebihan dalam bentuk maqam seperti menjadi para auliya', Sultan Auliya', penghubung dengan Imam Mahadi, setiausaha wali-wali, khalifah, syeikh, karamah, kasyaf, firasat, perubatan, bersahabat dengan auliya' yang ghaib, dengan Jin, malaikat dan sebagainya. Justeru itu mereka mencari dan menilai kehebatan dan kebenaran Guru berdasarkan hal-hal tersebut. Itulah ukuran kebenaran Guru mereka sehingga hal ini menjadi tajuk awal dan perbincangan diantara mereka.
Disinilah (pada permulaannya) sudah rosak, apabila permulaannya tidak betul ia akan berakhir dengan natijah yang tidak betul. Niat-niat yang seperti itu tidak lain adalah niat mencari keduniaan. Ia tidak lari dari perasaan inginkan kemasyhuran atau dimuliakan oleh manusia. Apabila niatnya bersubahat dengan hal-hal dunia, ia tidak akan mendapat natijah yang benar. Apabila ia berzikir, zikirnya tidak akan membentuk sifat hati yang mulia sehingga tersingkap hatinya dengan rahsia Tuhan, ia terhijab dengan nafsu kebodohannya dengan nilai yang rendah dalam kaca mata para 'ArifbiLlah.
Biasanya para murid yang mempunyai perasaan seperti ini berada dalam martabat nafsu ammarah, lawammah dan malhamah.Apabila niat ingin mencari hal tersebut, mereka sebenarnya telah membuka pintu syaitan untuk masuk ke dalam jiwanya sehinggalah ia membawa pengamal zikir tersebut kepada penyelewengan tanpa disedari. Guru-guru yang haq wajib menutup pintu tipu daya syaitan yang ada pada muridnya dengan tidak menunjuk atau menceritakan kelebihan apa-apa yang dikurniakan Tuhan, serta melarang hal ini dibicarakan kerana bimbang tercedera hati para muridnya dalam menuju Tuhan.
Ia wajib memastikan hati muridnya sentiasa ikhlas dalam membersihkan diri menuju Allah. Apabila Guru tersebut suka membuka kelebihan dirinya, suka menceritakan tentang karamah walaupun karamah tersebut dari para auliya' sekalipun dan tidak melarang ianya menjadi tajuk perbincangan, maka tinggalkan guru tersebut kerana ia bukannya Guru Mursyid yang hakiki, ia masih ahli dunia.
Nabi SAW bersabda, "Tidaklah berbicara seseorang itu akan sesuatu hal melainkan ia kasih padanya".
Membicarakan kelebihan atau memesongkan matlamat tasauf kepada hal-hal yang lain sehingga murid menyangka apabila mereka dapat berubat, dapat melihat alam kubur, dapat berjumpa Nabi, dapat melihat wali yang ghaib dan sebagainya, mereka mengatakan mereka sudah tinggi dan mencapai maqam (tertentu), padahal perkara tersebut bukannya dapat menentukan kedudukan dan ketinggiannya, malah disana adanya tipu daya yang makin menyuburkan nafsu takaburnya. Apabila keegoannya bertambah, maka semakin jauhlah ia dengan Allah SWT, malah syaitanlah yang menjadi sahabanya.
Saya melihat sendiri bagaimana akhlak guru yang Haq ketika berdamping dengan mereka. Ia amat takut berlakunya hal-hal kelebihan (diri) dilihat oleh murid, malah guru saya, Tuan Guru Haji Ismail Bukit Payung telah diberi amaran keras oleh gurunya iaitu Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal, seorang ulama dan sufi terkenal supaya tidak menceritakan kelebihan yang dilihatnya pada murid yang lain apabila bergaul dengannya.
Telah berkata Ibnu 'Athaillah, "Barangsiapa yang ingin manusia mengetahui kelebihan yang ada pada dirinya, dia tidak ikhlas dalam menuju pada Allah SWT."
Berkata Ibrahim Adham, "Siapa yang ingin kemasyhuran, ia tidak ikhlas."
Berkata Ibnu 'Athaillah lagi, "Sesiapa yang mencintai karamah, tanda ia jauh dengan Tuhan kerana karamah adalah hal dunia."
Karamah dalam pandangan ahli sufi tidak lain hanyalah untuk menambah keyakinan para arif tadi pada Allah, sebagaimana Nabi Ibrahim (a.s) meminta Allah menunjukkan kepada Baginda bagaimanakah manusia dicantumkan kembali tubuh badan mereka. Adapun dizaman sahabat radiaLlahu anhum, mereka tidak perlu kepada karamah kerana keimanan yang ada pada mereka begitu tinggi dan mukjizat Nabi SAW menenggelamkan segala kelebihan yang dimiliki oleh mereka.
#TintaSufi
🌸Tokku Ibrahim🌸

No comments:

Post a Comment