Tuesday, 10 January 2017

PENYUCIAN HATI

PENYUCIAN HATI DARI MAKHLUK
Berapa banyakkah kurnia yang telah diberikan Allah kepadamu, sehingga kamu masih tidak sedar juga? Janganlah kamu merasa senang kepada makhluk, janganlah kamu cinta kepada makhluk, dan janganlah kamu menceritakan hal ehwal kamu kepada sesiapa pun.
Hendaklah cintamu itu kamu tujukan hanya kepada Allah semata, hendaklah kamu hanya merasa senang kepadaNya dan hendaklah kamu mengadukan kesusahanmu hanya kepadaNya pula.
Janganlah kamu melihat yang lain selain Allah, kerana yang lain selain Allah itu tidak dapat
memberikan mudarat atau manfaat, untung atau rugi, kebaikan atau kejahatan, menghina atau memuliakan, meninggikan atau merendahkan, mengkayakan atau memiskinkan, menggerakkan atau mendiamkan.
Segala apa sahaja selain Allah,itu adalah ciptaan Allah dan berada di dalam kekuasaanNya serta pergerakan mereka pun dengan izin dan kehendakNya pula. Mereka akan tetap ada, selagi Allah masih menghendaki mereka untuk ada. Segala
sesuatu itu ada di dalam masa yang telah ditentukan oleh Allah. Apa yang telah didahulukan tidak dapat dikemudiankan, dan apa yang telah dikemudiankan tidak dapat di didahulukan.
Jika Allah hendak menimpakan bahaya kepada kamu, maka tidak ada yang dapat mengelakkan bahaya itu selain Dia juga. Jika Dia hendak memberikan kebaikan kepada kamu, maka tidak ada yang dapat mengelakkan kebaikan itu datang kepadamu, selain Dia jua.
Oleh kerana itu, jika kamu muram dan mengeluh kerana hatimu tidak puas ketika kamu mendapatkan kesenangan dan kemewahan, hanya lantaran kamu menginginkan untuk dilebihkan dan ditambahkan nikmat kemewahan dan kesenangan itu, dan kamu menutup mata dari kesenangan dan kemewahan yang telah ada pada kamu dengan menuduh bahawa Allah itu tidak berbuat baik kepadamu, maka Dia akan murka kepadamu, akan menarik kembali kesenangan dan kemewahan dari kamu, akan menyusahkanmu lebih berat lagi dan kamu akan dijauhkan daripadaNya.
Maka, janganlah kamu mengeluh dan merintih walaupun badanmu dipotong-potong dengan
gunting dan pisau. Peliharalah diri kamu. Takutlah kepada Allah dan berhati-hatilah.
Sesungguhnya kebanyakan bencana yang menimpa anak Adam itu adalah akibat keluhan dan ketidak redhaan terhadap Allah. Patutkah seorang hamba Allah untuk mengeluh, muram, dan tidak berpuas hati,padahal Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Adil, Maha Tahu dan Maha Bijaksana?
Nabi Muhammad pernah bersabda, “Kasih Allah kepada hambaNya adalah melebihi kasih ibu kepada anaknya.”
Wahai manusia, tunjukkanlah sopan santunmu yang baik. Bersabarlah di dalam menghadapi
kesusahan, walaupun kamu merasa lesu letih untuk bersabar itu. Bersabarlah, di samping kamu bertawakal dan berserah diri kepada Allah. Redhalah dengan Dia. Amiin²

No comments:

Post a Comment