Wednesday 25 May 2016

TASAWUF/

🔱 *MENGENAL TOKOH TASAWUF SILAM*🔱
*TAG : TASAWUF/WALI/SUFI/ULAMA/MELAYU*

*PROFILE DIRI SYEIKH SUFI TOKKU PALOH*

Nama : *Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus*

Asal : *Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu*

Tahun Lahir: *1817*

Tahun wafat: *1917*

Usia Wafat : *100 tahun*

Status : *Para Wali-Wali Setiap 1 Abad*

Sumbangan : *Ulama Terengganu Abad ke-19*


Bismillah : Tok Ku Paloh adalah seorang Pejuang, Ulama, Sufi, Tokoh Tasawuf Nudantara dan Wali Besar tanah Melayu

Beliau adalah Penasihat utama Sultan Zainal Abidin III, semarakkan semangat jihad Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau untuk tentang penjajah British di Pahang.

Seorang Besar Terengganu pada abad ke-19, Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus atau dengan panggilan Tokku Paloh Idrus, turut dikenali sebagai salah seorang Wali Allah yang penuh keramat serta sangat ditakuti oleh penjajah.

Diceritakan pada suatu ketika, British cuba berunding dengan Sultan Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin III supaya membenarkan mereka menduduki kawasan Bukit Besar tetapi baginda menyuruh penjajah itu menemui Tokku Paloh.

Baginda menyebut, *“Terengganu ini ada 'tuannya' (Khalifah Allah), hendaklah berunding dengan tuannya terlebih dulu,”* yang mungkin bermaksud bahawa Tokku Paloh adalah orang yang lebih berhak memutuskan permintaan berkenaan."

Mendengar jawapan Sultan Terengganu itu, sepasukan pegawai British kemudian bergerak ke rumah ulama itu untuk berunding. Tokku Paloh mengatakan bahawa :  *"Mereka boleh ‘mengambil’ Bukit Besar itu dengan syarat bukit itu dibawa balik ke negeri mereka,"* ianya adalah sebuah sindiran tajam buat pihak British.

*"Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami, saya menolak walau atas alasan apa sekalipun, tapi kalau hendak tanah, silakan. Isikan ke dalam armada tuan sebanyak mana yang pihak British mahu, ambillah tanah,”*

Demikianlah jawapan ulama besar itu. Mendengar jawapan sindiran ulama itu, British berasa sangat sakit hati dan cuba menunjukkan kemarahan mereka dengan bangun daripada kerusi yang diduduki.

Akan tetapi, dengan izin Allah, secara tiba-tiba kerusi yang diduduki penjajah melekat di punggung mereka. Lalu Tokku Paloh menyindir, *“Bukan Bukit Besar saja yang kamu mahu ambil, tapi kerusi saya pun kamu mahu ambil juga?”*

Sekali gus menyebabkan pihak British tersentak kehairanan dengan peristiwa tersebut lalu beredar begitu sahaja dengan perasaan malu.

Selepas peristiwa itu, British cuba berunding untuk kali kedua dan proses itu diadakan di atas kapal perang besar mereka yang sangat besar, mungkin ini adalah suatu mainan psikologi mereka bagi menunjukkan kekuatan ketenteraan mereka kepada Tokku Paloh.

Ia bertujuan untuk mengugut secara sinis ulama itu kononnya British memiliki angkatan perang yang besar dan mampu menyerang menghancurkan Terengganu jika hasrat mereka menduduki negeri itu dihalang.

Mereka menjemput Tokku Paloh menaiki ke kapal berkenaan tetapi ulama itu mengatakan, bahawa kapal perang besar itu tak mampu bertahan jika beliau naik di atasnya.

Pihak British kemudian _ketawa tanda mengejek_ sebaik mendengar kata Tokku Paloh.

Namun Ulama yang penuh di dada dengan ilmu kerohanian & ketuhanan itu kemudian menaiki ke kapal besar itu dengan beberapa orang pembesar dan pengikut _(si penyampai kisah ini)_

Dan tak semena mena pada saat rundingan sedang ingin dimulakan, dengan izin Allah juga, _setiap kali Tokku Paloh menyengetkan serbannya_ ke kanan atau ke kiri, maka kapal besar itu turut senget _mengikut sudut arah serban Tokku Paloh._

Keadaan itu menjadikan suasana di atas kapal sangat mencemaskan pihak British, sehingga mereka terpaksa membatalkan rundingan itu serta merta lalu meminta agar Tokku Paloh meninggalkan perut kapal itu dengan segera, atas kerana mereka merasakan Tokku Paloh ini bukanlah orang yang sebarangan untuk mereka 'makan' dan 'ugut', malah satu armada isi kapal merasa terancam dengan kehadiran Tokku Paloh di atas kapal besar mereka.

Pada masa yang lain pula, penjajah itu cuba menghampiri perairan Terengganu tetapi mereka mula ketakutan sebaik melihat negeri itu dijaga pahlawan Melayu yang siap bersenjata sejauh mata memandang.

Keadaan itulah yang menyebabkan mereka takut menjajah Terengganu selagi mana Tokku Paloh masih hidup.

Demikianlah antara beberapa kisah Tokku Paloh, seorang ulama besar yang berjaya menyekat penjajahan British pada peringkat awal di Terengganu.

Selain menjadi guru kepada Sultan Zainal Abidin III dan Haji Abdul Rahman Limbong iaitu pejuang penentang penjajah di Terengganu, Tokku Paloh juga turut bertanggungjawab _menyemarakkan semangat jihad_ di kalangan pejuang menentang penjajah di Pahang iaitu Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau dll.

Peristiwa itu berlaku apabila pasukan pimpinan Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri selepas mengalami tekanan dan serangan berterusan daripada tentera penjajah pimpinan Residen British, Hugh Clifford.

Keadaan tersepit itu menyebabkan mereka berlindung di hutan Terengganu dan menghubungi Tokku Paloh pada Mei 1894.

Sebaik bertemu dengan ulama itu, mereka diberi perlindungan dan diajar ilmu untuk menentang musuh.

Hasil perguruan singkat dengan ulama itu menyebabkan semangat kumpulan pejuang terbabit kembali membara dan mereka terus tekad melancarkan jihad menentang penjajah British di Pahang.

Walaupun dikenali sebagai ulama, Tokku Paloh turut membabitkan diri dalam bidang pentadbiran dan diplomatik di Terengganu apabila dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Terengganu selain penasihat utama Sultan dalam pelbagai hal.

Malah, ketegasan dan kepintarannya dalam hal ehwal diplomatik menyebabkan ulama itu sering diberi peluang mewakili Sultan untuk berunding dengan British hingga penjajah itu gagal menawan Terengganu.

Tokku Paloh dilahirkan pada 1817 di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu.

Ulama itu mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri iaitu Saiyid Muhammad al-Aidrus atau dikenali Tokku Tuan Besar, selain beberapa ulama tempatan sebelum berhijrah ke Makkah untuk mendalami ilmu agama dan menimba pengalaman.

Sekembalinya dari Makkah selepas kira-kira 10 tahun menuntut ilmu di sana, Tokku Paloh terus mengajar di masjid peninggalan ayahnya di Kampung Cabang Tiga, Terengganu sebelum membabitkan diri dalam bidang pentadbiran negeri.

Tokku Paloh memiliki banyak ilmu dalam bidang kerohanian terutama *ilmu Tasawauf* dan *Sufi.* Beliau juga menjadi khalifah kepada *Tareqat Naqsyabandiah* dan turut mengamal serta mengembangkan amalan _*"Syahadat Tokku"*_ iaitu satu amalan batin kerohanian islam yang disusun oleh bapanya iaitu suatu amalan kaedah dalam bersyahadah dan berzikir menurut sunnah dan maqam ilmu kewaliannya.

Kepercayaan Sultan Terengganu terhadap dirinya menyebabkan Tokku Paloh diamanahkan Sultan Zainal Abidin III untuk mentadbir kawasan Paloh selain mengawasi beberapa daerah di Hulu Terengganu antaranya Kuala Berang hingga Cabang Tiga.

Dalam usaha memastikan kawasan pentadbirannya terhindar daripada perbuatan maksiat dan pelanggaran undang-undang, Tokku Paloh menubuhkan pasukan penguat kuasanya sendiri yang dikenali sebagai _*Budak Raja*_ ... Pasukan Budak Raja ditugaskan bagi menjaga keamanan negeri sama seperti fungsinha pasukan polis yang ada pada hari ini.

Bagi memastikan keselamatan dan kebajikan masyarakat setempat terjaga, Tokku Paloh gemar keluar pada malam hari malah pada hari tertentu, beliau keluar dengan mengenakan kain selubung di kepala.

Tindakannya itu bertujuan membolehkan beliau meninjau kehidupan masyarakat dan sekiranya beliau mendapati ada perkara tidak baik berlaku, Tokku Paloh akan memerintah Budak Raja membuat tangkapan pada keesokan hari.

Ulama itu juga memiliki mahkamah sendiri di Paloh untuk mengadili pesalah di kawasan pentadbirannya. Usaha beliau itu mendapat perkenan daripada pihak istana.

Hubungan rapat antara Tokku Paloh dan Sultan Zainal Abidin menyebabkan baginda menyerahkan puteranya iaitu Tengku Sulaiman untuk dijadikan anak angkat dan murid Tokku Paloh.

Malah, seorang daripada isteri Tukku Paloh iaitu Tengku Mandak ialah kekanda Sultan Zainal Abidin III sendiri.

Tokku Paloh meninggal dunia pada September 1917 selepas jatuh sakit pada usia100 tahun. Tidak lama kemudian, Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 26 November 1918.

Selepas kewafatan ulama itu, barulah British berani dan berjaya menjajah Terengganu pada 24 Mei 1919.

Sumber: http://www.trglib.gov.my/jaringan/trg/tukku_paloh.htm
(lawan web Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu), koleksi artikel Allahyarham Wan Mohd Shaghir Abdullah.

Penulisan Pertama By : *Jalan Akhirat (web)®*
Tarikh Siaran Ulang : Mac 6, 2010 6:34 am
Suntingan Bahasa/Penambahan : PMS®
Tarikh : 25 Mei, 2016 6:34 pm 🔱🙏🏻🔱

No comments:

Post a Comment