Friday 27 May 2016

Mengenal Allah

Assalamualaikum.
Sekadar renungan bersama.

Hari ini hari Jumaat dan esoknya hari sabtu.

Nak kenal tubuh Muhammad, diri dua menjadi satu.....

Mengenal Allah itu, hendaklah MELALUI DUA SIFAT MENJADI SATU!. Ertinya disini hendaklah kita menfanakan diri (membinasakan diri). Daripada dua diri asalnya, hendaklah menjadi satu. Iaitu tidak lagi ada diri zahir dan tidak lagi ada diri yang batin. Diri kita yang sebenar benar diri itu, ADALAH SATU DAN TIDAK DUA.

Setelah mengenal diri yang satu, maka mengenal lah kita kepada Allah Taala. Lihatlah apa saja yang hendak kita pandang dan tiliklah apa yang hendak kita tengok. Yang pentingnya disini, pandangan kita itu jangan sampai singgah dimana mana, melainkan singah dan tamat pada yang satu. Mengenal Allah itu, adalah melalui CANTUMAN DUA SIFAT MENJADI SATU. Asal bermulanya kita itu, adalah dari yang satu. Memandangkan kebanyakannya kita ini leka dan terbuai dengan dunia KEBERADAAN SIFAT KEAKUAN, maka menjadinya kita itu terbahagi kepada dua. Sedangkan sebenarnya kita itu, adalah satu. Tetapi dikarenakan terbuai dengan sifat keakuan diri, maka jadilah kita itu dua (walaupun pada hakikatnya satu).

Untuk kembali menjadi satu, hendaklah kita lihat bahawa yang diri kita (diri zahir dan batin) ini, sesungguh dan sebenar benarnya tidak ada (kalaupun ada, adanya itu tidak lebih sekadar bayang). Itu makanya kita kena ingat kata kata ini sampai bila bila iaitu perkataan JANGAN SAMPAI TERLIHAT ADANYA DIRI.

Setelah satu kembali kepada yang satu, barulah dikatakan sebenar benar mengenal Allah, mengenal diri dan itulah baru dikatakan sebenar benar berilmu makrifat (iaitu bermakrifat yang putus). Katakanlah bahawa kita dan segalanya ini, adalah berasal dari satu, maka hendaklah kembali semula kepada yang satu.

Firman:
Dan apakah orang orang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi adalah bertaut (keduanya dahulu suatu yang satu (padu), kemudian kami pisahkan antara keduanya.... Al Anbiyaa:30...

Seumpama Firman diatas, "bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu suatu yang padu (satu), kemudian kami pisahkan antara keduanya". Asal sesuatu perkara itu, pada asal mulanya adalah satu, dari asal yang satu itulah makanya menjadikan kepada banyak.

Asalnya diri kita dan asalnya alam (yang terdiri dari langit dan bumi) itu, adalah satu. Kemudian ALLAH PISAHKAN PADA KHAYALAN AKAL, kelihatan seperti dua. Kelihatan pada pandangan kasar, ianya seperti dua tetapi pada kenyataan hakikatnya, ianya adalah satu jua.

Contohnya, seumpama perkara siang dengan perkara malam. Perkara malam dan perkara siang itu, kelihatannya seperti ada dua perkara, dua benda atau dua kewujudan. Pada asalnya dan pada hakikatnya yang dua itu, sebenarnya adalah satu (sebagaimana firman diatas).

Kalau perkara malam dan perkara siang itu dikatakan ada memiliki dua sifat yang berlainan, cuba kita pisahkan antara keduanya!. Bolehkah kita pisahkan antara keduanya?. Seumpama kain dengan warna. Kelihatannya seperti ada dua sifat (dua unsur) tetapi kalau ianya dua sifat atau dua unsur, cuba tuan tuan pisahkan antara kain dengan warna. Bolehkah tuan tuan pisahkan antara kain dengan warna. Kalau kita pisahkan antara warna dengan kain, nescaya koyaklah kain.

Kain dan warna umpama lagu dan irama. Sebagaimana kain dengan warna dan sebagaimana lagu dan irama, sebegitulah hubungan antara Allah dengan hambaNya!. Lihat dan perhatikan baik baik antara perkara malam dan perkara siang.

Kemana perginya malam bila datangnya siang dan kemana perginya siang bila datangnya malam?. Bilamana datangnya malam, kemana perginya siang dan bilamana datangnya siang, kemana perginya malam?. Kedua dua itu, sebenarnya satu jua. Siang dan malam itu, adalah perkara satu, HANYA DIPISAH PISAHKAN OLEH MATA (KHAYALAN AKAL). Cuba tidak ada mata dan cuba tidak akal. Mana ada siang dan mana lagi adanya malam. Melainkan satu jua!. Jika perkara malam dan perkara siang itu wujud dua sifat, pastinya ada sempadan. Manakah sempadan malam dan manakah sempadan siang. Jika sesuatu perkara yang dikatakan berdua, semestinya mempunyai sempadan diantaranya. Jadi manakah sempadan siang dan manakah sempadan malam, kalau kita kata ianya ada dua wujud?.

Siang dan malam itu, sesungguhnya adalah satu. Begitu juga kehidupan kita dengan Allah. Dalam kehidupan kita, kita jangan sekali kali pisahkan antara kita dengan Allah. Jangan sekali kali kita pisahkan antara dunia dengan akhirat. Dunia dan akhirat, hidup dan mati, fana dan baqo, nafi dan isbat itu, sesungguhnya adalah satu. Begitu juga Allah dengan kekasihnya Muhammad Rasulullah. Begitu juga antara hamba dengan tuannya dan begitu jugalah antara makhluk dengan Allah Taala. Apa lagi antara Allah dengan kekasihNya Muhammad Rasulullah.

Hari ini hari jumaat dan esoknya hari sabtu.

Nak kenal tubuh Muhammad, diri yang dua jadikan satu...

Diri yang dua dijadikan satu, barulah dikatakan benar benar mengenal Allah. Setelah yang dua dijadikan satu, barulah dikatakan sebenar benar mengenal Muhammad Rasulullah. Ingat, ingat dan ingat!. Kita bukan nak jadi Allah, kita bukan nak mengaku Allah, kita bukan nak bersatu dengan Allah, kita bukan nak bercantum dengan Allah dan kita bukan nak bersekutu dengan Allah, ingat itu. Jangan karena kenyataan berunsur makrifat, nantinya disalah ertikan!.

Kita bukan nak bersyarikat atau kita bukan nak berkongsi kuasa dengan Allah. TETAPI NAK MENGESAKAN ALLAH, BIAR BENAR BENAR JADI SATU ( AHAD ATAU WAHDAH). Begitu juga dengan kejadian diri kita. Asal kejadian diri kita itu, pada asal mulanya adalah datangnya dari Allah sendiri. Iaitu asal datangnya dari Allah (Nur Allah). Dari Nurullah maka terjadinya Nur Muhammad dan dari Nur Muhammad itulah, makanya terjadi diri kita dan sekalian makhluk alam.

Untuk mengembalikan diri kita kepada tempat asal (Nur Allah), hendaklah terlebih dahulu  mengenal erti dan mengenal terlebih dahulu sifat yang dua menjadi satu. Bilamana kita sudah benar benar mengenal dan benar benar mengesakan yang banyak kepada yang satu, barulah akan menjadi benar benar sampai kepada Allah Taala. Selagi yang dua tetap kekal sebagai dua, maka selama itulah Allah tidak akan kita kenal. Untuk kita benar benar sampai kepada Allah (benar benar jasad kita ini sampai kepada Allah), maklumilah, hayatilah, amatilah dan fahamilah betul betul SYUHUDUL WAHDAH FIL KASYARAH DAN SYUHUDUL KASYRAH FIL WAHDAH (PANDANG SATU KEPADA BANYAK DAN PANDANG BANYAK KEPADA YANG SATU).

Akhir kata....
Wa alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh wamaghfiratuh waridhwaanuh pada sahabat sahabat yang memberikan salam dan terima kasih semua diatas segala bentuk perkongsian ilmunya disini......

Terima kasih Ya Allah.

Aamiin Ya Allah.

ZAINI ZAKARIA...

No comments:

Post a Comment