Monday 23 May 2016

hakikat ?


SESI SOAL JAWAB BERSAMA FOLLOWER PAGE HAKIKAT INSAN & MAKRIFAT TOK KENALI
Pertanyaan Pertama;
Adakah hambaNya yang beriman menjadikan roh sebagai rumah-rumah Allah itu, hanya sebagai ungkapan?
Pertanyan Kedua;
Apakah kesan dan rasanya pada jasad sebagai sarung roh, jika roh itu menjadi rumah Allah? Mohon pencerahan.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian. Bersyukur saya kepada Allah swt, kerana dengan limpah kurnianya, pada hari ini telah memberi kekuatan kepada saya untuk menjawab pertanyaan tuan. Sebelum subuh, saya terjaga dari tidur, tiba-tiba tergerak hati saya untuk menjawab pertanyaan tuan.
Semua itu, gerak siapa? Jika tidak dari Allah Taala. Sedangkan sebelumnya saya tidak berhajat untuk menjawab melalui laman sosial ini. Namun di pagi yang hening ini, di kediaman yang tidak kepunyaan ku, hati ini terdetik untuk menggerakkan jejari ini untuk menekan butang-butang di papan kekunci.
Jawapan kepada persoalan pertama;
Tuan yang dirahmati Allah, Di manakah bertakhtanya Allah, jika tidak di hati, di qalbu atau di roh? Bertakhtanya Allah di qalbu (roh) itu, adalah perkara benar dan bukan satu ungkapan atau omong kosong!
Persoalannya di sini, di manakah hati (hati halus), di manakah qalbu dan di manakah roh? Jika tuan-tuan tidak mengenal hati, tidak mengenal qalbu dan tidak mengenal roh, bagaimana mungkin tuan-tuan tahu yang Allah itu bertakhtanya di roh (qalbu)? Orang yang mengenal hati, mengenal qalbu dan orang yang mengenal roh sahaja, yang tahu bagaimana rasanya roh bila mana menjadi rumah Allah Taala. Untuk itu, saya sarankan tuan belajar mengenal hati dan belajar mengenal qalbu, barulah tuan akan tahu siapa itu roh. Setelah mengenal roh, barulah tuan-tuan akan tahu, di mana rumah Allah? Sekali lagi saya nyatakan di sini bahawa, roh itu adalah rumah Allah, adalah perkara benar!
Jawapan kepada persoalan kedua;
Bila mana roh menjadi rumah Allah, apakah kesan dan apakah rasanya pada jasad selaku sarungnya? Kesan atau rasa yang dialami oleh jasad bila mana didiami oleh Allah itu, adalah seperti berikut;
Sebelum itu, saya ingin tanya satu soalan, Apa yang tuan rasa bila mana rumah tuan “didatangi” oleh pembesar negara seumpama Ketua Polis Negara atau didatangi oleh seorang Raja? Bila mana rumah kita akan dilawati atau didatangi oleh pembesar negara, apa yang tuan rasa dan apa yang pernah tuan terfikir? Cuba jawab…
Apa lagi bila mana tuan dipanggil tinggal dan duduk di Istana Raja! Apakah rasanya yang pernah terfikir di benak fikiran tuan-tuan, bila mana kita dijemput tinggal dan duduk di dalam istana bersama Sultan? Cuba jawab…
Saya tidak perlu menjawab pertanyaan tuan, kerana tuan-tuan sendiri sudah boleh menilai dan sudah boleh menjawab! Apa lagi bila mana roh menjadi istana Allah (rumah Allah)! Bila mana kita berada di dalam Istana Raja, tentunya Istana Raja dijaga dan dikawal rapi oleh pengawal keselamatan (keselamatan terjamin). Bila mana tinggal, duduk dan makan minum di dalam Istana Raja, tentunya tidak putus bekalan makanan, sudah tentu terjamin makan minum, pakainya, keselamatannya, kesihatannya, kewangannya, kawalannya dan berbagai-bagai kebahagiaan dan kenikmatan!
Bila mana kita tinggal di Istana Raja, sudah tentu kita akan merasa aman, rasa bahagia, rasa berbesar hati, rasa tidak takut, rasa selesa, rasa puas, rasa terjamin dan rasa segala macam rasa. Apa lagi bila mana jasad yang busuk, hanyir, najis, kotor dan jasad yang hina ini, duduk dan tinggal di Istana Allah (bersama Allah!), cuba tuan-tuan bayangkan?
Bila mana kita mengenal hati, mengenal qalbu dan mengenal roh, bererti tuan-tuan sudah mengenal diri. Bila mana kita mengenal diri dengan rata, sudah tentu tuan mengenal Allah yang nyata! Bila mana mengenal Allah dengan nyata, maka nyatalah qalbu (roh) itu, sebagai rumah Allah!
Dalam rumah Raja (Istana Raja), terdapatnya peti ais, alat penghawa dingin, sofa empok, tilam empok, ada televisyen besar, bilik besar, makanan lazat, taman yang indah dan dayang-dayang yang cantik-cantik, apa lagi jika tinggal di rumah Allah bersama Allah!
Bila mana Allah mendiami qalbu kita, mendiami hati kita atau bila mana Allah mendiami roh kita, “jasad” kita akan didatangi rasa redha, rasa sabar, rasa tenang, rasa, aman, rasa bahagia, rasa selamat, rasa bertimbang rasa, rasa tidak dengki, rasa tidak khianat, rasa tidak sanggup menipu, rasa tidak sampai hati menzalimi sesama makhluk, rasa tidak menderhakai ibu bapa, rasa tidak sanggup mengingkari janji, rasa tidak bimbang jika ditimpa sakit, tidak mengeluh bila mana tidak dibayar hutang, rasa tidak kedekut untuk menghulur derma, tidak berat tulang untuk membantu orang, rasa kasih kepada anak isteri, rasa berkasih sayang kepada sesama makhluk manusia mahu pun kepada binatang, tidak tendang kucing bila mana kucing mencuri ikan di bawah tudung saji dan tidak menyesal atau tidak mudah putus asa atas rahmat Allah.
Bila mana Allah duduk bertakhta dan duduk mendiami di qalbu (roh) kita, jasad tidak tergamak mencaci cerca orang, tidak tergamak membuka aib orang, tidak sampai hati menyerang peribadi orang, tidak menuduh orang itu jahat atau buruk, tidak membantah keputusan yang telah dipilih rakyat, tidak membantah keputusan yang telah ditakdirkan oleh Allah melalui tangan-tangan manusia, tidak keluar membuat kacau di bandar-bandar, tidak menentang kerajaan, tidak membakar bendera-bendera dan tidak menjatuhkan kerajaan yang telah ditakdirkan Allah. Tidak menuduh kerajaan itu salah, kerajaan itu silap atau tidak menuduh kerajaan itu tipu, tidak mengaku yang kerajaan kita sahaja yang benar, yang baik atau yang elok! Orang yang hatinya diduduki Allah itu, adalah hati yang redha, ikhlas dan membenarkan dengan apa yang telah ditetapkan Allah!
Inilah kesan atau rasa kepada jasad hasil dari rumah yang diduduki atau didiami Allah.
Admin Nur Muhammad
LikeShow More Reactions
Comment/




/







??

No comments:

Post a Comment