Thursday 26 May 2016

Hakikat Insan

SEBAB PERLU MANDI HADAS ADALAH BUKAN KERANA NAJIS, TETAPI KERANA LALAI DAN LUPA KEPADA ALLAH
Tuan-tuan dan puan yang dirahmati Allah. Saya ada membaca pertanyaan dari para sahabat kita yang bertanyakan tentang mandi junub setelah didatangi “haid atau Nifas”.
Sebelumnya, saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan memahami terlebih dahulu konsep yang mensyaratkan kita mandi junub. Konsep asas yang mewajibkan kita mandi junub itu, adalah dari hadis nabi yang mengatakan bahawa “Bila mana Sesuatu Yang Terkeluar Dari Rongga” maka berhadaslah kamu (dalam keadaan kotor).
Keluar sesuatu dari rongga yang berupa air kencing atau najis dari dubur itu, dikatakan hadas kecil. Manakala keluarnya sesuatu yang berupa air mani atau darah haid dan nifas dari rongga itu, dikatakan hadas besar.
Dalam keadaan berhadas itu, ertinya dalam keadaan kotor atau dalam keadaan diri yang tak suci! Asasnya dari hadis “keluar sesuatu dari ronggga”, maka berbagai-bagai hukumlah timbul, mengikut fahaman mazhab masing-masing. Mazhab itu begini dan mazhab ini begitu.
Jawapan Dari Sudut Pandang Hakikat
Memandangkan keluarnya air mani, darah haid dan nifas itu, terkeluar dari lubang rongga yang sama, maka dihukumkan wajib mandi junub. Tidak adil kiranya air mani sahaja yang kena mandi junub, sedangkan air nifas dan haid juga dari rongga yang sama itu juga, jadi ditetapkanlah kedua-duanya kena mandi junub.
Sedangkan mengikut suluhan ilmu makrifat Tok Kenali Kelantan atau mengikut sudut pendapat dari kaca mata ilmu makrifat, bukan air mani, bukan air kencing, bukan haid atau bukan nifas yang menjadi titik persoalan, yang menjadi persoalannya di sini, adalah perkara yang di sebalik itu!
Sesuatu yang keluar dari rongga belakang diistilahkan sebagai hadas kecil dan sesuatu yang terkeluar dari rongga hadapan dikatakan hadas besar. Hadas itu, ertinya kotor. Lalu inginlah saya bertanya kepada tuan-tuan yang cerdik pandai sekalian. Mana lebih kotor, lebih cemar dan mana yang lebih jijik antara sesuatu perkara yang terkeluar dari rongga hadapan atau sesuatu perkara yang terkeluar dari rongga belakang?
Mana lebih besar kotornya antara air mani dengan najis tahi? Bila mana najis tahi itu lebih kotor daripada air mazi (air mani), kenapa pula air mani (air mazi) itu dikatakan hadas besar? Yang teramat kotor dikatakan hadas kecil dan yang teramat bersih dikatakan hadas besar? Kenapa, kenapa dan kenapa?
Ini menggambarkan bahawa maksud sebenar yang tersembunyi disebaliknya itu, bukanlah merujuk kepada mani atau tahi dan bukan juga merujuk kepada haid atau nifas!
Sandaran mandi junub, bila mana terkeluar darah haid atau nifas itu, adalah dikeranakan ianya secara berkebetulan terkeluar dari ruang rongga yang sama! Biar pun dari rongga yang sama, maksud sebenar dari sudut kaca mata ilmu makrifat itu, bukan merujuk kepada terkeluarnya sesuatu, yang berupa cecair atau darah!
Yang menjadi pertimbangan atau perhitungan sudut pandang ilmu makrifat itu, bukan kerana terkeluar sesuatu dari rongga. Yang menjadi pertimbangan atau perhitungan ilmu makrifat itu, adalah kerana susuatu yang melalai atau sesuatu yang melupakan kita kepada Allah Taala.
Perkara lalai kepada Allah itu, bukan sahaja tertakluk atau terikat semasa terkeluar sesuatu dari rongga sahaja. Yang menjadi kotor dan yang menjadi najis bagi Allah Taala itu, adalah bila mana diri kita itu lupa dan lalai kepada Allah. Tidak kira lupa kita kepada Allah itu, semasa waktu keluar air ke atau tidak keluar air!
Sebut sahaja lupa atau lalai kepada Allah, maka hukumnya diri kita itu, adalah berada dalam keadaan kotor dan berjunub! Semasa terkeluar sesuatu atau semasa tidak terkeluar sesuatu. Lebih-lebih lagi lalainya kita itu, bila mana terkeluarnya sesuatu dari rongga semasa bersama suami isteri!
Lalainya kita itu, bila mana terkeluar sesuatu dari rongga semasa bersama isteri atau suami! Itulah yang selalu berlaku pada kebanyakan kita! Membuatkan diri kita itu benar-benar berjunub atau berhadas (diri dalam keadaan kotor). Kotor bagi Allah itu, bukan kerana najis tahi, air mani atau darah haid atau nifas. Kotor, najis atau berhadas bagi Allah itu, adalah bila mana diri kita dalam keadaan lupa dan lalai kepada Allah Taala!
Cuba tuan-tuan ambil kira najis yang berada di dalam perut atau darah yang berada di dalam daging. Najis darah atau najis tahi yang keluar atau pun yang belum keluar dari dalam jasad. Kedua-dua itu, adalah dari jenis darah atau tahi yang sama! Kenapa pula bagi Allah itu, hanya nampak najis yang terkeluar sahaja, sedangkan najis darah yang belum keluar dari dalam perut itu, apakah Allah tidak nampak?
Yang di dalam perut pun najis dan yang keluar dari perut pun adalah juga dari jenis najis yang sama. Kenapa dalam perut tidak diwajibkan junub. Sedangkan najis yang sama dan darah yang sama, bila mana keluar sahaja dari tubuh, dikira najis yang memfardhukan kita supaya mandi junub?
Ini menggambarkan kepada kita bahawa najis atau kotor yang menjijikkan bagi Allah Taala itu, bukannya perkara di dalam perut atau di luar perut, yang menjadi jijik dan kotor bagi Allah itu, adalah seseorang yang berkeadaan “Lupa Dan Lalai Kepada Allah”.
Admin Sheikh al-Islam

No comments:

Post a Comment