Monday 23 May 2016

hakikat taubat

Proses Untuk Sampai Kepada Tahap Mengenal Allah
Untuk sampai kepada tahap tidak berhuruf dan tidak bersuara itu, hendaklah terlebih dahulu melalui proses sebagaimana proses yang dilalui oleh ulamak-ulamak terdahulu! Seumpamanya
Pertama; Bertaubat!
Apakah itu bertaubat?
Bertaubat mengikut bahasa feqah, adalah memohon ampun atas dosa-dosa silam!
Mengikut kefahaman atau suluhan melalui kaca mata ilmu makrifat, bertaubat itu, “bukan sahaja” memohon ampun di atas dosa-dosa silam!
Segala dosa atau segala pekerjaan keji, buruk dan pekerjaan jahat yang kita kerjakan itu, bukan dari kehendak, keinginan atau bukan dari ketetapan kita! Sebelum kita perbuat sesuatu itu, sesungguhnya ketetapan buruk atau baik itu, adalah datangnya dari ketetapan Allah!
Jadi mengikut fahaman ilmu makrifat, bertaubat itu bukan sahaja memohon ampun atas segala dosa. Ada pun erti taubat mengikut suluhan ilmu makrifat itu, adalah bertujuan bagi “mengembalikan hak kepada yang berhak !”. Membersihkan diri dengan menyerah semula segala pekerjaan, segala kelakuan dan segala baik buruk kepada tuan punya yang asal!
Kita Bersifat Tidak Ada Daya Upaya!
Kita bersifat “la haula wala quwwata illa billah hill ali yil azim” (tiada daya upaya kita untuk menggerak atau menahan). “La tataharoku Illa biiznillah” (tidak bergerak sebesar zarah, jika tidak izin Allah). Segala buruk atau baik itu, sesungguhnya adalah kepunyaan Allah. Jadi bertaubat mengikut kefahaman ilmu makrifat itu, adalah mengembalikan baik buruk dan mengembalikan awal dan akhir kepada Allah Taala.
Bertaubat Orang Makrifat!
Bertaubat orang makrifat itu, adalah membawa maksud menerima baik buruk! Setelah menerima baik buruk, mengembalikannya semula kepada pencipta baik buruk! Setelah mengembalikan segalanya, maka terlihatlah Allah, dalam perkara baik dan terlihatlah Allah, dalam perkara buruk.
Baik itu, adalah baik manakala buruk itu, sesungguhnya adalah juga baik sebenarnya. Segala kejadian Allah itu, apakah ada yang buruk? Cuba jawab…
Perkara yang baik sahaja kita katakan daripada Allah, apakah perkara jahat, buruk atau keji itu, datangnya dari Allah lain? Baik itu, ada Allah lain yang buat dan buruk itu, ada Allah lain yang buat? Cuba jawab…
Baik dari Allah dan perkara buruk juga adalah asal datangnya dari Allah yang sama. Tidak ada Allah lain buat jahat dan Allah lain yang buat baik! Itulah makanya orang makrifat itu, hati mereka adalah hati yang hanya nampak Allah di sebalik baik mahu pun di sebalik yang keji! Jadi taubat bagi orang makrifat itu, adalah bertaubat untuk “ mengembalikan segalanya kepada Allah!”.
Bagi orang yang berilmu makrifat itu, apa sahaja perbuatan yang telah, sedang, dan yang akan kita kerjakan itu, tidak pernah tersasar atau lari dari ketetapan Allah. Sama ada pekerjaan kita itu baik mahu pun buruk, adalah dari ketetapan Allah.
Segalanya Datang Dari Ketetapan Luh Mahfuz!
Apa sahaja kelakuan yang kita lakukan itu, adalah datangnya dari ketetapan Allah melalui kitab Nya Luh Hul Mahfuz. Kita tidak berkuasa melakukan perbuatan amal baik atau amal jahat, kiranya itu tidak dari ketetapan Allah. Kita kena yakini rukun iman tentang qodo dan qadar Allah (untung baik dan untung jahat). Gerak Iblis sekali pun bukan datangnya dari kehendak atau kemahuan Iblis itu sendiri, malahan gerak atau kelakuan Iblis itu sendiri, adalah juga datangnya dari ketentuan dan ketetapan Allah sedari azali. Iblis tidak boleh menggoda kita, jika tidak mendapat keizinan Allah. Jadi buat apa takutkan Iblis. Marilah kita bersama-sama takut kepada Allah berbanding takut kepada Iblis.
Tidak Takut Kepada Iblis!
Bagi orang makrifat itu, tidak takut kepada Iblis dan tidak dia takut kepada Allah! Buat apa nak takut kepada Allah, sedangkan Allah itu baik. Allah itu, Maha Pengampun dan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang! Allah bukan jahat dan Allah bukan garang, kenapa perlu takut kepada Allah! Orang makrifat itu, tidak takut kepada iblis, hantu, syaitan dan tidak takut kepada Allah.
Takut Hanya Pada Allah Taala!
Yang paling ditakuti oleh orang makrifat itu, adalah apabila tidak berkesampaian untuk “berserah diri kepada Allah!”. Takut untuk mengaku diri dan takut untuk mengatakan diri! Katakanlah segala-galanya Allah, itulah taubat orang makrifat!
Khairul Mukmin
LikeShow More Reactions
C

No comments:

Post a Comment