"Keris bangun berdiri sendiri bukan disebabkan khadam atau jin yang menjaganya," kata pengumpul keris lama, Mansur Mohamad, 70, dari Rusila di sini.
Mansur yang sudah berpengalaman lebih dua dekad mengumpul senjata warisan Melayu itu berkata, sebaliknya keris dapat ditegakkan kerana hasil pembuatan yang betul dan teliti sehingga senjata itu dapat diseimbangkan dengan cara berdiri.
Katanya, bukan sahaja keris, malah parang dan senjata besi lain juga dapat ditegakkan sekiranya pembuatannya betul dan tidak mengalami sebarang kecacatan semasa proses tempaan senjata itu dilakukan.
“Namun, proses untuk menegakkan keris atau senjata besi tersebut kadang-kadang menjadi, kadang-kala tidak menjadi. Semua itu perlukan kemahiran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Rusila, hari ini.
Mengenai khadam pula, Mansur berkata, keris tidak memiliki kuasa kekebalan hanya disebabkan besi yang ditempa, sebaliknya kelebihan itu disebabkan jin yang dimasukkan ke dalam keris berkenaan.
"Bagaimanapun ia hanya diamalkan pada zaman dahulu, perbuatan itu adalah satu keperluan kepada pemilik keris bertujuan menjaga keselamatan termasuk ketika berlawan dengan musuh pada zaman itu.
"Pada hari ini, penggunaan keris dan jampi serapah memasukkan jin telah menjadi perbuatan menyimpang daripada ajaran Islam sebenar dan ia lebih menjurus kepada perbuatan khurafat," katanya.
Bagaimanapun, katanya, jika keris berkhadam itu masih disimpan, senjata besi itu berupaya untuk merasuk ke dalam tubuh manusia sekiranya keris itu tidak dijaga dengan baik oleh pemilik atau waris.
"Tetapi khadam dalam keris ini boleh dibuang dengan izin tuhan dengan menggunakan cara tertentu dan ramai juga individu yang mampu melakukannya," katanya yang turut mempunyai kemahiran itu.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/40540/EDISI/Terengganu/Keris-berdiri-bukan-sebab-khadam-jin
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
No comments:
Post a Comment