BELAJAR ERTI IKHLAS DARI SEKETUL NAJIS
Assalamualaikum w.b.t. buat semua sahabat dan juga rakan Hakikat Insan.. diharapkan kalian semua berada di dalam ketenangan jiwa dan juga kebahagian hati.. Di hari raya yang kedua ini, marilah kita bercerita sedikit mengenai topik atau pun bab #ikhlas
Apakah itu yang dinamakan ikhlas? Apakah sebenar-benar pengertian ikhlas? Apakah indikator atau pun kayu ukur kepada berapa ikhlasnya seseorang itu? Inilah di antara soalan-soalan cliche yang sering menjadi bualan orang, baik di kalangan pak lebai kedai kopi, mahu pun syeikh-syeikh pondok.
Jawapan yang sering diberikan ustaz-ustaz syariat, di antaranya adalah: ikhlas itu adalah ibarat memberi sesuatu dengan tangan kanan, dalam masa yang sama tangan kiri tidak tahu. Lagi perlambangan ikhlas yang sering kali diberikan adalah seperti ini; ikhlas itu dapatlah diibaratkan seperti seekor semut hitam, yang berada di atas batu berwarna hitam, di tengah-tengah kepekatan malam kelam.
Suatu ketika dahulu, sewaktu sedang duduk berbual bersama guru saya, antara soalan yang pernah saya tanyakan kepada beliau saat itu adalah mengenai bab ikhlas. "Ayah, apakah yang dikatakan sebagai ikhlas itu?" Tanya saya. Beberapa detik kemudian, beliau pun tersenyum kambing, lalu menuturkan seperti ini, "anak, perlambangan ikhlas itu adalah seperti layaknya kamu dan juga najis kamu."
Saya kebingungan, lantas saya pun lalu melanjutkan pertanyaan saya, "apakah maksud ayah itu? boleh ayah huraikan lagi". Lalu beliau pun berkata, "anakku, sewaktu kamu sudah selesai berak, dan sesudah selesai kamu flush akan najisnya, apakah kamu masih memikirkan mengenai najis kamu itu? Apakah kamu berfikir ke mana ia pergi? Dan Siapa pula yang akan menguruskannya? Dan apakah kamu masih berfikir di mana pengakhiran najis kamu itu??"
Sekarang barulah saya benar-benar mengerti akan maksud yang cuba disampaikan oleh sang guru saya itu. Sebelum saya sempat berkata apa-apa lagi, beliau pun terus melanjutkan kata-katanya, "bahkan anakku, andai kata kamu telah berak di tengah-tengah jalan, lalu ada orang yang bertanyakan kepadamu apakah najis itu adalah milik kamu, sampai mati pun kamu takkan mengaku."
Lalu kami pun tertawa bersama-sama. Di sebalik kisah beliau itu, terselit pengertian atau pun makna ikhlas yang masih lagi saya ingat dan pegang sehinggalah ke saat ini. Terima kasih dari lubuk hati saya yang terdalam, dan salam aidil fitri minal aidil wal faizin saya ucapkan buat guruku yang amat aku kasihi.
No comments:
Post a Comment