Friday, 6 January 2017

INGAT, RASA, DAN PANDANG.

INGAT, RASA, DAN PANDANG.
Lalai adalah punca kemurkaan Allah dan ibu bagi segala kejahatan.
Tiada satu pun amal yang diperintah melainkan untuk mengingati Diri-NYA.
Tiada satu pun yang dilarang-NYA melainkan ia adalah perkara yang melalaikan daripada ingat pada-NYA hingga membawa kemudharatan.
Matlamat dalam ilmu tauhid Makrifat ialah membawa insan kembali pada fitrah yakni INGAT, RASA dan PANDANG kepada Allah S.W.T.
Wajib setiap insan kembali mencapai Tauhid IHSAN agar dirinya bebas daripada kelalaian yang membawa dirinya alpa dan terjerumus dalam syirik.
Beriman pada Sifat Allah tetapi dalam masa yang sama tetap merasai dirinya memiliki sifat kudrat, iradat, ilmu, hayat, mendengar, melihat, dan berkata-kata yang masih ADA diri dalam keimanannya.
Mengamalkan syariat tetapi memandang dirinya yang amal dan baik sehingga ADA diri dalam amal Islamnya.
Golongan ini masih tidak terlepas daripada martabat lalai dan syirik. Kelalaian daripada ingat, merasai, dan memandang segala sifat dan amal dirinya itu adalah hak ALLAH akan membawa kepada merasai dan memandang kepada semua tesebut adalah hak atau milik dirinya.
Orang yang lalai memandang amalnya itu daripada pemberian ALLAH adalah kerana merasai ada kudrat, tetapi orang yang hatinya ada cahaya (Ihsan) memandang segala amalnya itu adalah anugerah ALLAH padanya lantaran dirinya tiada miliki kuasa dan begitu amat fakir sekali.
Sebab itu apabila dirinya dianugerah amal seperti solat maka ia akan hargai dengan sepenuhnya dengan menjaga rukun, tertib, khusyuk, dan adab dengan sebaiknya dalam solat.
Dengan amal yang hadir hati pada ALLAH dan penuh adab maka amalnya akan membawa ia dicintai ALLAH dan menjadi hamba yang hampir dengan-NYA.
Apabila dirinya dekat dengan ALLAH maka dengan sendiri kejahatan sifat-sifatnya sama ada pada jiwa, lisan, dan perbuatan akan menjadi baik. Semakin hampir dengan ALLAH maka semakin bertambah lagi kebaikannya.
Dalam beramal bukan ukuran banyak atau sedikit, tetapi ukurannya adakah amal yang kita lakukan itu membawa kita hampir dengan ALLAH, atau semakin dimurkai ALLAH.
Jika amal tiada membawa kita hampir dengan ALLAH, maka sifat nafsu, lisan, dan perbuatan kita yang jahat tiada akan berubah.
Justeru itu, tidak sama sifat dan kehidupan mereka yang diterima amalnya dengan mereka yang ditolak amalnya.
Mereka yang diterima amalnya adalah hamba yang dicintai-Nya, maka jika IA mencintai maka akan diberkati kehidupannya hingga jiwa mereka bahagia dalam apa jua keadaan.
Firman ALLAH dalam surah Al-Ma'un ayat 4 dan 5;
"Maka Neraka Weil lah (celakalah balasannya) bagi orang yang solat., iaitu mereka yang berkeadaan lalai daripada menunaikan sembahyang.”
Solat 5 waktu adalah anugerah ALLAH pada umat RASULULLAH. Maka jagalah Solat dengan sebaikya. Sesiapa yang lalai dalam Solat maka murka ALLAH padanya hingga ALLAH memberi amaran Neraka Weil akan menunggu mereka.
Lalai dibahagikan kepada beberapa bahagian.
Lalai pada syariat:
1. Sengaja melewatkan solat hingga membawa pada waktu yang haram atau terluput waktu.
2. Lalai hingga sentiasa melanggar rukun2 dalam solat.
Lalai dalam Hakikat (Ihsan) ialah:
1. Lalai memandang anugerah ALLAH padanya.
2. Lalai daripada ingat kepada ALLAH.
3. Lalai daripada merasai ALLAH.
4. Lalai daripada memandang ALLAH.
Jika dalam solat tiada boleh memandang sifat2-Nya, maka rasailah diri berada dalam sifat2-Nya seperti dalam kudrat atau rasai kebersamaan dengan-Nya.
Jika tiada miliki Rasa maka hendaklah jadikan hati teringat pada Asma' ALLAH dalam apa jua kelakuannya.
Jika antara tiga ini yakni INGAT, RASA, dan PANDANG tiada dalam solatnya maka solatnya adalah lalai, maka solatnya adalah solat ahli Neraka Weil yang mana di dunia ini solatnya tiada akan bawa dirinya hampir dengan ALLAH, tiada akan ada cahaya, tiada mengubah sifat-sifat jahat dalam dirinya dan seluruh kehidupannya tidak diberkati.
Adapun di akhirat mereka akan terima azab dalam Neraka Weil yang ALLAH jua yang mengetahui keadaannnya.
Maka hendaklah menjaga diri daripada kelalaian syariat dan hakikat agar diri tiada terjerumus dalam kemurkaan ALLAH.
Beramal dengan tiga rukun hakikat ini agar mencapai kehampiran dengan ALLAH.
1. Dari ALLAH.
2. Dengan ALLAH.
3. Untuk ALLAH.
Oleh: Muhammad Idris Muharam
Dari FB Syeikh Amdan Maulana

No comments:

Post a Comment