DIALOG ANTARA SHEIKH DR RAMADAN AL-BUTI (TOKOH ULAMA AHLUSSUNNAH WALJAMAAH) DENGAN SHEIKH NASIRUDDIN AL-ALBANI (TOKOH WAHHABI)
Telah berlaku pendebatan yang menarik tentang ijtihad dan taqlid antara Syeikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti, seorang ulama Ahlussunnah wal Jama’ah di Syria bersama Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani, seorang tokoh Wahhabi Jordan.
Syeikh al-Buti bertanya: “Bagaimana cara anda memahami hukum-hukum Allah, adakah anda mengambilnya secara langsung dari al-Qur’an dan Sunnah, atau mengambil hasil ijtihad para imam mujtahid?”
al Bani menjawab: “Aku membandingkan antara pendapat semua imam mujtahid serta dalil-dalil mereka lalu aku ambil yang paling dekat dengan al-Qur’an dan Sunnah.”
Syeikh al-Buthi bertanya: “Seandainya anda mempunyai wang sebanyak 5000 Lira, anda simpan selama enam bulan, kemudian anda beli barang untuk berniaga, maka bilakah barang itu anda keluarkan zakatnya. Adakah selepas enam bulan berikutnya atau menunggu setahun lagi?”
al Bani menjawab: “Maksud daripada soalan tadi, adakah anda menetapkan harta perniagaan ada dikeluarkan zakat?”
Syeikh al-Buti berkata: “Saya hanya bertanya. Sila anda jawab dengan cara anda sendiri. Di sini ada kitab-kitab tafsir, hadith dan fiqh, silakan anda telaah.”
al Bani menjawab: “Wahai saudaraku, ini masalah agama. Bukan persoalan yang mudah dan boleh dijawab dengan sesuka hati. Saya perlu mengkaji dan meneliti. Tujuan saya datang ini adalah untuk membahas masalah lain”.
Mendengar jawapan tersebut, Syeikh al-Buti beralih kepada pertanyaan lain: “Baiklah kalau begitu. Sekarang saya bertanya, adakah setiap muslim wajib membanding dan meneliti dalil-dalil para imam mujtahid, kemudian mengambil pendapat yang paling sesuai dengan al-Qur’an dan Sunnah?”
al Bani menjawab: “Ya.”
Syeikh al-Buti bertanya: “Maksud jawapan anda, semua orang mempunyai kemampuan berijtihad seperti yang dimiliki oleh para imam mazhab? Bahkan melebihi kemampuan ijtihad para imam mazhab. Sebab secara logik, seseorang yang mampu menghakimi pendapat-pendapat imam mazhab dengan al-Qur’an dan Sunnah, pastilah dia lebih alim dari mereka.”
al Bani menjawab: “Sebenarnya manusia itu terbahagi tiga iaitu muqallid (orang yang bertaklid), muttabi’ (orang yang mengikut) dan mujtahid. Orang yang mampu membandingkan mazhab-mazhab yang ada dan memilih yang lebih dekat kepada al-Qur’an adalah muttabi’. Jadi muttabi’ itu darjat pertengahan antara muqallid dan mujtahid.”
Syeikh al-Buti bertanya: “Apa kewajiban muqallid?"
al Bani menjawab: “Dia wajib mengikuti para mujtahid.”
Syeikh al-Buti bertanya: “Adakah berdosa kalau dia mengikut seorang mujtahid saja dan tidak berpindah kepada pendapat mujtahid lain?”
al Bani menjawab: “Ya, dia berdosa dan haram hukumnya.”
Syeikh al-Buti bertanya: “Apakah dalil yang mengharamkannya?”
al Bani menjawab: “Dalilnya dia mewajibkan pada dirinya sesuatu yang tidak diwajibkan Allah kepadanya.”
Syeikh al-Buti bertanya: “Dalam membaca al-Qur’an, anda mengikut qira’ah siapa di antara qira’ah yang tujuh?”
al Bani menjawab: “Qira’ah Hafsh.”
Sheikh al-Buti bertanya: “Adakah anda hanya mengikut qira’ah Hafsh sahaja atau setiap hari anda mengikut qira’ah yang berbeza-beza?”
al Bani menjawab: “Tidak....saya hanya mengikut qira’ah Hafsh saja.”
Syeikh al-Buti bertanya: “Mengapa mengikut qira’ah Hafsh sahaja, padahal Allah swt tidak mewajibkan demikian. Sepatutnya kewajiban anda membaca al-Qur’an perlu sesuai dengan riwayat yang datang dari Nabi Saw secara mutawatir.”
al Bani menjawab: “Saya tidak sempat mempelajari qira’ah-qira’ah yang lain dan sukar membaca al-Qur’an dengan selain qira’ah Hafsh.”
Syeikh al-Buti berkata: “Orang yang mempelajari fiqh mazhab asy-Syafi’i juga tidak sempat mempelajari mazhab-mazhab yang lain. Dan dia juga tidak mudah memahami hukum-hukum agamanya kecuali mempelajari fiqh Imam asy-Syafi’i.
Apabila anda mewajibkan mengetahui semua ijtihad para imam, maka anda sendiri juga wajib mempelajari semua qira’ah sehingga anda membaca al-Qur’an dengan semua qira’ah itu. Kalau alasan anda kerana tidak mampu melakukannya, maka anda juga mesti
menerima alasan muqallid dalam masalah ini. Bagaimanapun saya sekarang ingin bertanya, dari mana anda berpendapat bahawa seorang muqallid harus berpindah-pindah dari satu mazhab ke mazhab lain padahal Allah tidak mewajibkannya. Maksudnya sebagaimana dia tidak wajib menetap pada satu mazhab, dia juga tidak wajib berpindah-pindah dari satu mazhab ke mazhab yang lain?”
al Bani menjawab: “Sebenarnya yang diharamkan bagi muqallid itu menetap pada satu mazhab dengan keyakinan bahawa Allah memerintahkan hal demikian.”
Syeikh al-Buti berkata: “Jawapan yang ini untuk persoalan lain dan memang demikian adalah benar. Akan tetapi pertanyaan saya adalah adakah seorang muqallid itu berdosa jika menetap pada satu mujtahid saja, padahal dia tahu bahawa Allah tidak mewajibkan hal tersebut?”
al Bani menjawab: “Tidak berdosa.”
Syeikh al-Buti berkata: “Tetapi isi buku yang anda ajar berbeza dengan yang anda nyatakan tadi. Dalam buku tersebut, menetap pada satu mazhab sahaja hukumnya haram. Malah dalam bahagian lain buku tersebut, orang yang menetapi satu mazhab sahaja dihukum kafir.”
Menjawab pertanyaan tersebut, al Bani menjadi bingung.
Demikianlah dialog antara Syeikh al-Buti dengan al Bani yang didokumentasikan dalam kitab beliau
al-Lamazhabiyyah Akhtar Bid’ah Tuhaddid asy-Syari’at al-Islamiyyah.
---------------'----'''''------------------
Dialog tersebut menggambarkan kaum Wahhabi melarang umat Islam mengikuti mazhab tertentu dalam bidang fiqh tetapi ajakan tersebut sebenarnya muslihat mereka agar umat Islam mengikut mazhab yang mereka buat.
No comments:
Post a Comment