GERAK SILAT GERAK MAKRIFAT
Silat
Kata Ayahanda kami, Silat ringkasan dari perkataan Silaturahim. Seorang
persilat sejati yang bersanad dengan para Aulia adalah zahirnya
bersilaturahim sesama insan dan batinnya bersilaturahim dengan Allah.
Sanad batin adalah sama iaitu Syuhud dengan Allah dalam setiap langkah,
ia adalah pakaian yang sama semua pendekar Alam Melayu, justeru itu
tiada bercerai pendekar sejati dengan ilmu Tauhid Makrifat dan Tasawwuf.
Ia adalah sanad yang menyambung sampai pada Rasulullah. Adapun sanad
Zahir seperti gerak, langkah, bunga, kunci dan buah adalah dicipta atau
ilham yang datang daripada para Guru Silat yang dinisbahkan pada
pengasas.
Maka apa jua ilmu yang dinisbahkan sanad sampai pada RASULULLAH adalah
sanad Syuhudiah bukannya sanad kaedah atau bentuk seperti persilatan,
perubatan, gerak jurus, zikir tareqah dan lain-lain. Maka apabila batin
mereka tiada syuhudiah, maka ia adalah hal yang terputus sanadnya dengan
RASULULLAH SAW.
Gerak Silat atau Jurus yang tiada berdiri atas Tauhid Syuhudi maka ia
tiada kekuatan Illahiah tetapi hanya kekuatan yang berasaskan zahiriah
semata-mata seperti latihan fizikal, gerak langkah, tenaga dalam, khadam
wirid dan lain-lain.
Tiada Tauhid Syuhudi maka pahlawan tersebut tiada miliki kekuatan yang
hakiki, bagaimana mungkin mereka kuat jika gerak langkah mereka dalam
kesyirikan berhala keakuan diri, ia adalah berhala batin yang bertali
dengan iblis yang membuahkan kesombongan, riak dan ujub. Mereka terputus
dengan ALLAH dan kekuatan hanya pada zahir semata-mata serta dibimbangi
tanpa disedari kedatangan Jin-jin kafir yang membantu kekuatan atau
jurus ghaib yang tujuannya untuk menyesatkan.
Segala ilmu yang tiada membuahkan Kefaqiran diri dengan ALLAH adalah
tiada berdiri atas ketauhidan yang hakiki. Ia terputus dari sanad batin
RASULULLAH. Zahirnya dilihat benar tapi batinnya adalah batil lantaran
menyembah keakuan diri.
Justeru itu segala ilmu dan amal wajib berdiri di atas ketauhidan
Syuhudi bukannya iktiqadi. Tauhid iktiqadi hanya sah iman tapi tiada
hancurkan berhala keakuan diri. Mereka tetap syirik dalam ilmu, amal,
gerak diam yang membawa pada kesombongan.
Pendekar sejati baik ilmu gerak zahir atau jurus batin adalah mereka
yang meletakkan kekuatan hakiki pada ALLAH dengan fana’ dalam tauhid
Syuhudi. Dalam gerak adanya nafas, dalam nafas adanya al Hayat, dalam Al
Hayat adanya Ar Rahman, dalam Ar Rahman adanya DZAT AHADIAH. Syariatnya
bergerak pantas, hakikatnya diam sepi dalam Dzat Ahadiah. Tiada daya
upaya walau satu gerak melainkan dengan pertolongan ALLAH. Insan wajib
kembali pada sifat kefaqirannya yakni tiada miliki apa jua walau satu
zarah dan Allah jua yang miliki segalanya. Ia adalah Tauhid yang hakiki
yang wajib difahami, diingati, dirasai dan disyuhudkan.
Anak jati warisan bangsa melayu adalah pemilik Tauhid Makrifat, adab dan
budi bahasa yang indah, bijaksana dalam melangkah dan Hebat dalam ilmu
tempur persilatan.
"Silat Melayu indah tarinya
buahnya penuh keperkasaan
Batinnya silaturahim dengan Tuhannya.
Zahirnya silaturahim sesama insan.
Hidupkan kembali duhai anakku dengan warisan budaya bangsa ini demi pertahankan agama, negara dan maruah diri"
![]() |
| Iko
Uwais, pesilat muda Indonesia yang mewarisi ilmu persilatan dari
Ayahnya, Mustapha Kamaluddin mencipta nama dalam Dunia
Perfileman. Mengangkat Pesilatan dalam Filem Aksi. |
Setiap silat ada gerak dan falsafahnya, namun terasnya dalah tauhid dan
jati diri. Sebagai contoh Teras Pendidikan Seni Silat Gayong (Silat
Seni Gayong sebagai salah satu daripada seni silat Melayu tertua terlah
terbukti mampu menjadi wadah untuk mempertahankan akidah dan maruah umat
Islam).
Teras pendidikan Silat Seni Gayong pada dasarnya telah disimpul dalam kalimah Gayong itu sendiri:
Ga - mewakili genggam. Genggam
bermaksud kepatuhan dan taat seti yang tidak berbelah bahagi kepada
ajaran Islam dan amanah Silat Seni Gayong yang telah ditinggalkan
al-marhum Dato' Paduka Meor Abdul Rahman, Pendita Agung Gayong.
Alif - mewakili angkat. Ia
bererti kewajipan murid-murid Gayong untuk menjunjung kedaulatan
Al-Quran dan syariatNya. Di samping itu juga, semua murid Gayong
mestilah memelihara segala amanah sebagai murid dan ahli Gayong yang
digenggam agar ia terus dihormati dan dipatuhi.
Ya - mewakili yakin. Bahawasanya
kita beriman dengan kebenaran Al-Quran dan segala apa yang dilakukan
hendaklah bertauhidkan Allah S.W.T. Semua murid dan ahli Gayong juga
mestilah yakin dengan kelebihan ilmu yang dipelajari dan hanya
menggunakannya untuk kebaikan.
Wau - mewakili waras. Waras
dalam ertikata sedar, rasional dan penuh keinsafan atas segala tindakan
dan keputusan yang hendak diambil. Ia menggambarkan bahawa seorang
murid dan ahli Gayong tidak akan bertindak sesuka hati tanpa memikirkan
buruk baik dan akibat sesuatu perkara.
Nga - mewakili ngeri. Ngeri
dengan kebesaran Allah S.W.T. dan azab seksaanNya, ngeri dalam
melakukan sesuatu perkara atau ketika mempamirkan Silat Seni Gayong dan
kengerian yang terhasil apabila satu keputusan terpaksa diambil dalam
saat-saat genting.
Lima huruf diatas juga melambangkan lima prinsip asas yang menjadi rukun
atau teras agama Islam iaitu mengucapkan dua kalimah Syahadah,
menunaikan sembahyang fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan
zakat dan mengerjakan haji di Mekah. Lima huruf yang membina kalimah Gayong itu
juga menekankan bahawa seorang murid Gayong itu mestilah menjaga
kewajipan mereka sebagai seorang Muslim dengan menegakkan tiang agama
iaitu menunaikan sembahyang fardhu lima kali sehari semalam. Pada
hakikatnya, kekuatan seorang murid Gayong terpancar daripada keupayaan
melaksana segala titah perintah Allah S.W.T. dan menjauhi segala
laranganNya.
bacaan lanjut - http://alumnigayonguia.tripod.com/artikel/etikagayong.htm



No comments:
Post a Comment