Tuesday 25 July 2017

MAKSIAT DAN KETAATAN

MAKSIAT DAN KETAATAN
Seorang tokoh sufi dari Mesir, Syeikh Ibnu Atha’illah As-Sakandary mengatakan bahawa “Maksiat yang menciptakan sikap hina dina di hadapan Allah SWT itu lebih baik daripada ketaatan kepada Allah SWT yang menciptakan sikap merasa lebih mulia dan sombong.”
Sebesar apapun dosa dan kejahatan yang diperbuat seseorang, jika kemudian dia bertaubat maka Allah SWT akan membukakan pintu keampunan dan menyambut dengan kegembiraan yang Maha Dahsyat. Seperti yang dikisahkan berikut ini.
Adalah seseorang yang dijuluki Khali’ iaitu seorang pemuda yang suka berbuat kejahatan besar. Pada suatu ketika ia bertemu dengan seorang ‘abid, yakni seorang yang taat beribadah dari kaum Bani Israil. Lalu si khali’ berkata, “Aku adalah seorang pendosa yang suka berbuat kejahatan, sementara orang itu adalah seorang ‘abid, sebaiknya aku duduk di sebelahnya, dan semoga Allah memberikan rahmat-Nya kepadaku dan mengampunkan dosaku.”
Kemudian si khali’ duduk di sebelah si ‘abid. “Aku adalah seorang yang taat beribadah, sementara pemuda ini adalah seorang yang amat suka berbuat kejahatan, lalu layakkah aku duduk bersebelahan dengannya?”, Kata si ‘abid. Dan tiba-tiba si ‘abid memaki serta menendang si khali’ hingga jatuh tersungkur.
Lalu Allah SWT menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW mengenai peristiwa ini. “Perintahkanlah kepada kedua orang ini, iaitu ‘abid dan khali’ untuk memperbanyak amal mereka. Sesungguhnya Aku benar-benar telah mengampuni dosa-dosa khali’ dan menghapuskan semua amal ibadah ‘abid.”
Dengan demikian semua dosa-dosa yang pernah diperbuat oleh si ahli maksiat menjadi terhapus kerana ia merasa takut kepada Allah SWT atas semua dosa yang telah dilakukannya, sementara Allah SWT menghapuskan semua amal ibadah yang telah dikerjakan oleh si ahli ibadah kerana sifatnya yang sombong dan merasa dirinya lebih mulia dibandingkan si ahli maksiat.
Mengapa demikian? Kerana sesungguhnya ada dosa yang jauh lebih besar jika dibandingkan dengan berbuat maksiat, iaitu dosanya orang-orang yang merasa kagum pada diri sendiri. Rasulullah SAW bersabda:
“Jika kalian tidak pernah melakukan dosa, nescaya sesungguhnya yang paling ditakutkan pada kalian adalah yang jauh lebih dahsyat, iaitu ‘ujub (merasa kagum pada diri sendiri).”
(H.R. Imam Ahmad)

No comments:

Post a Comment