KERANA SEEKOR KUCING, NASIBNYA BERUBAH
__________________________________
James Bowen, seorang pemuda Britain yang hidup gelandangan. Tidak berpelajaran, dia memutuskan mencari rezeki sebagai pemuzik jalanan.
Awalnya, dia menumpang teduh di rumah kakaknya. Namun selepas berlaku perselisihan faham, James keluar dan menjadi gelandangan kerana tidak mampu menyewa rumah.
Beliau tidak mempunyai pilihan selain tidur di kaki lima. Kadang-kadang di bangku taman. Itu pun sudah cukup baik daripada terpaksa berjalan sepanjang malam. Hidup di jalanan membuatkan dia membiasakan diri dengan kesukaran.
Disebabkan tekanan hidup juga, James mula mengambil dadah yang dianggapnya sebagai ubat penenang untuk dia melupakan tekanan masalah hidupnya. Dia berterusan dengan keadaan hidup sedemikian buat satu tempoh yang agak lama sehinggalah kerajaan Britain menawarkan program perumahan bagi golongan rakyat gelandangan. Kadar sewa yang ditawarkan jauh lebih rendah.
Dengan sedikit wang hasil bermain gitar di jalanan, James menyewa rumah tawaran kerajaan. Sekurang-kurangnya dia ada tempat berteduh. Setelah itu kehidupannya sedikit teratur. Dan dia juga mula menjauhkan diri dari dadah.
Namun begitu, hidup James sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sehinggalah...
Suatu hari ketika melintas di sebuah landasan kereta api, James ternampak seekor kucing berwarna oren sedang berjalan dalam keadaan tidak bermaya. Kaki kucing itu luka.
Lama dia merenung sayu ke arah kucing itu. Pengalaman lalu yang pernah hidup di jalanan menimbulkan perasaan belas di hati James, seakan mengerti apa yang dirasai kucing malang tersebut.
Kucing yang cedera itu harus dibantu. James tidak sampai hati membiarkannya. Tanpa berfikir panjang, James terus membawa haiwan itu ke klinik berdekatan. Walaupun duit yang ada sebenarnya hanyalah cukup-cukup untuk membeli makanannya pada hari itu, namun dia tidak peduli. Biarlah dia berlapar asalkan kucing itu kembali sihat.
Dengan rawatan dan ubat, kucing tersebut akhirnya beransur pulih. Ketika itu, James mula merasa sayang dengan kucing itu yang dinamakannya sebagai Bob. Kucing oren itu pula seakan faham, malah sentiasa mengikut ke mana saja kaki James melangkah.
Apabila tiba waktu bermain gitar di jalanan, Bob akan duduk berhampiran James. Kucing itu seakan tidak mahu berenggang langsung.
Keadaan ini sedikit sebanyak menarik perhatian orang awam untuk berhenti dan melihat Bob lalu menghulurkan wang buat mereka berdua. Daripada situ, pendapatan James semakin hari semakin bertambah. Kehadiran Bob bagai satu keajaiban yang membantu mengubah nasib hidup mereka menjadi lebih baik.
Keuntungan yang diperoleh tidak disia-siakan. Dengan pengalaman kesengsaraan hidup yang dilaluinya, James menulis sebuah buku yang bertajuk ‘Street Bob cat: a man and a cat in the street have hope’.
Buku yang ditulis menceritakan tentang persahabatan antara James dan si kucing oren, Bob. Beliau juga turut memberi motivasi kepada pembaca agar bangkit semula selepas jatuh. Kisah berunsur komedi tentang pengalaman kedua sahabat ini juga turut diselitkan bersama.
Usaha James berhasil bila tulisannya mendapat sambutan hangat di pasaran. Bukunya laku dijual.
Ternyata tindakan James menyelamatkan Bob mengubah hidupnya. Kini tiada lagi rumah usang. Perut pun tidak perlu berlapar. Mungkin inilah ganjaran atas kebaikan yang dilakukannya dahulu. Berbuat baik tidak semestinya sesama manusia sahaja tetapi kepada semua makhluk juga.
#copypage💖
No comments:
Post a Comment