Sunday, 7 May 2017

PENYERAHAN TOTAL


PENYERAHAN TOTAL
Yang dimaksud dengan dekat dan bersatu dengan Tuhan itu ialah, kamu mengosongkan hati kamu dari makhluk, hawa nafsu dan lain-lain selain Allah, sehingga hati kamu hanya dipenuhi oleh Allah dan perbuatan-Nya saja. Kamu tidak bergerak, kecuali dengan kehendak Allah saja. Kamu akan bergerak jika Allah menggerakkan kamu.
Keadaan seperti ini dinamakan ‘fana’. Fana inilah yang dimaksud dengan ‘bersatu dengan Tuhan’. Tetapi harus diingat, bahawa bersatu dengan Tuhan itu tidak seperti bersatu dengan makhluk atau dengan yang selain Tuhan.
Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Al-Khaliq itu tidak sama dengan apa sahaja yang kamu duga. Hanya orang yang telah mengalami dan menyedari bersatu dengan Tuhan itu sahajalah yang dapat mengerti dan memahami apa yang dimaksud dengan ‘bersatu dengan Tuhan’ itu.
Orang yang belum pernah merasakan atau mengalaminya tidak akan dapat mengerti apa yang dimaksud dengannya. Setiap orang yang pernah merasakan pengalaman tersebut mempunyai perasaan dan pengalaman tersendiri. Dan masing-masing mempunyai perasaan dan pengalaman yang tersendiri pula.
Pada setiap Nabi, Rasul dan Wali Allah terdapat rahsia. Masing-masing mempunyai rahsianya tersendiri. Seseorang tidak akan dapat mengetahui rahsia seseorang lainnya. Kadang-kadang seorang murid mempunyai rahsia yang tidak diketahui oleh gurunya. Ada kalanya pula, rahsia yang dimiliki oleh guru itu tidak dapat diketahui oleh muridnya, meskipun murid itu sudah hampir sedarjat dengan gurunya.
Apabila seorang murid dapat mencapai keadaan kerohanian yang ada pada gurunya, maka murid itu diperintahkan untuk memisahkan dirinya dari gurunya itu. Dengan kata lain, dia sekarang telah setaraf dengan gurunya. Murid itu pun berpisahlah dari gurunya dan Allah sahajalah yang menjadi penjaganya. Kemudian Allah akan memisahkannya dari seluruh mahluk.
Bolehlah diibaratkan bahawa guru itu laksana ibu dan murid itu laksana bayinya yang masih menyusu. Apabila si bayi telah mencapai usia dua tahun, maka berhentilah dia meyusu dari ibunya. Tidak ada lagi kebergantungan kepada makhluk, setelah hawa nafsu amarah dan kehendak-kehendak kemanusiaan terhapus.
Guru atau syeikh itu hanya diperlukan selagi murid masih mempunyai hawa nafsu angkara murka dan kehendak-kehendak badaniah yang perlu dihancurkan. Setelah semua itu hilang dari hati si murid tadi, maka guru itu tidak lagi diperlukan, kerana si murid sekarang sudah tidak lagi memiliki kekurangan atau dia telah sempurna.
Oleh kerana itu, apabila kamu telah bersatu dengan Tuhan, maka kamu akan merasa aman dan selamat dari apa sahaja selain Dia. Kamu akan mengetahui bahawa tidak ada yang wujud melainkan Dia sahaja. Kamu akan mengetahui bahawa untung, rugi, harapan, takut dan bahkan apa sahaja adalah dari dan kerana Dia juga. Dia-lah yang patut ditakuti dan kepada Dia sahajalah meminta perlindungan dan pertolongan.
Kerananya, lihatlah selalu perbuatan-Nya, nantikanlah selalu perintah-Nya dan patuhlah selalu kepada-Nya. Putuskanlah hubunganmu dengan apa sahaja yang bersangkutan dengan dunia ini dan juga dengan akhirat. Janganlah kamu melekatkan hatimu kepada apa sahaja selain Allah.
Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani

No comments:

Post a Comment