Tuesday 30 May 2017

Syaikh Abdul Qadir Jailani Mengais Sisa-Sisa Makanan Kerana Lapar


Syaikh Abdul Qadir Jailani Mengais
Sisa-Sisa Makanan Kerana Lapar
Syaikh Abdul Qadir berkata, “Aku memungut selada, sisa-sisa sayuran dan daun carob dari tepi kali dan sungai. Kesulitan yang menimpaku kerana melambungnya harga yang terjadi di Baghdad membuatku tidak makan selama berhari-hari. Aku hanya mampu memungut sisa-sisa makanan yang terbuang untuk aku makan.”
Suatu hari, kerana sangat laparnya, aku pergi ke sungai dengan harapan mendapatkan daun carob, sayuran, atau selainnya yang boleh aku makan. Tidaklah aku mendatangi suatu tempat melainkan ada orang lain yang telah mendahuluinya. Ketika aku mendapatkannya, maka aku melihat orang-orang miskin itu merebutkannya. Maka, aku pun membiarkannya, kerana mereka lebih memerlukan.
Aku pulang dan berjalan di tengah kota. Tidaklah aku melihat sisa makanan yang terbuang, melainkan ada yang mendahuluiku mengambilnya. Hingga, aku tiba di Masjid Yasin di pasar minyak wangi di Baghdad. Aku benar-benar keletihan dan tidak mampu menahan tubuhku. Aku masuk masjid dan duduk di salah satu sudut masjid. Hampir saja aku menemui kematian.
Tiba-tiba ada seorang pemuda bukan Arab masuk ke masjid. Ia membawa roti dan daging panggang. Ia duduk untuk makan. Setiap kali ia mengangkat tangannya untuk menyuapkan makanan ke mulutnya, maka mulutku ikut terbuka, kerana aku benar-benar lapar. Sampai suatu saat, aku mengingkari hal itu atas diriku. Aku bergumam, “Apa ini?” aku kembali bergumam, “Di sini hanya ada Allah atau kematian yang telah Dia tetapkan.”
Tiba-tiba pemuda itu menoleh kepadaku, seraya berkata, “Bismillah, makanlah wahai saudaraku.” Aku menolak. Ia bersumpah untuk memberikannya kepadaku. Namun, jiwaku segera berbisik untuk tidak menurutinya. Pemuda itu bersumpah lagi. Akhirnya, aku pun mengiyakannya. Aku makan dengan tidak nyaman. Ia mulai bertanya kepadaku, “Apa pekerjaanmu? Dari mana kamu berasal? Apa gelaranmu?”
Aku menjawab, “Aku orang yang tengah mempelajari fiqh yang berasal dari Jailan bernama Abdul Qadir.” Pemuda itu bertanya, “Ia dikenal sebagai cucu Abdillah Ash-Shauma ‘I Az-Zahid?” Aku berkata, “Akulah orangnya.”
Pemuda itu gementar dan wajahnya seraya berubah. Ia berkata, “Demi Allah, aku tiba di Baghdad, sedangkan aku hanya membawa nafkah yang tersisa milikku. Aku bertanya tentang dirimu, tetapi tidak ada yang menunjukkanku kepadamu. Bekalku habis. Selama tiga hari ini aku tidak mempunyai wang untuk makan, selain wang milikmu yang ada padaku. Bangkai telah halal bagiku (kerana darurat). Maka, aku mengambil barang titipanmu, berupa roti dan daging panggang ini. Sekarang, makanlah dengan tenang. Kerana, ia adalah milikmu. Aku sekarang adalah tamumu, yang sebelumnya kamu adalah tamuku.”
Aku berkata kepadanya, “Bagaimana ceritanya?” Ia menjawab, “Ibumu telah menitipkan kepadaku wang 8 dinar untukmu. Aku menggunakannya kerana terpaksa. Aku meminta maaf kepadamu.” Aku menenangkan dan menenteramkan hatinya. Aku memberikan sisa makanan dan sedikit wang sebagai bekal. Ia menerima dan berlalu pergi.”

No comments:

Post a Comment