Sunday, 20 January 2019

MENCARI GURU MURSYID


MENCARI GURU MURSYID
________________________________________
Bermula guru-guru yang Mursyid itu bukanlah boleh dilihat pada segi penampilan zahirnya sahaja, ataupun tentang kedudukannya di dalam masyarakat, atau berapa jumlah sijil ilmu syariatnya, atau berapa panjang ekor serbannya, atau pun betapa warak wataknya, atau berapa banyak hafalan kitabnya, atau berapa jernih air mukanya, atau pun berapa gelap tanda hitam di dahinya, atau betapa bersopan santun orangnya, dan lagi dan lagi kriteria yang diletakkan oleh orang syariat.
________________________________________
Tetapi ianya hendaklah dipandang dari segi perawakan ilmunya. Ini disebabkan kerana banyak daripada mereka yang mencapai taraf Guru Mursyid sangat suka sekali menyelubungi dan juga merahsiakan ilmunya dan juga penampilan dirinya. Kadang-kadang orang ramai tidak mengetahui ia merupakan seorang Mursyid yang mempunyai martabat yang tertinggi bahkan mencapai taraf Insan Kamil Mukamil yang diredhai Tuhan dunia akhirat.
________________________________________
Seperti kata Pujangga:
"Janganlah sekali-kali kamu menilik kepada pakaian seseorang itu, lalu menandakan bahawa ianya terdiri daripada golongan orang-orang yang alim ulamak serta bijak pandai. Waima yang memakai gelar Syeikh, lebai, ustaz, atau pun yang datang daripada keturunan yang baik-baik, kerana walaupun memakai pakaian sutera dan juga intan berlian sekalipun. Kerana yang kera itu tetaplah kera juga, walaupun berkalung emas di leher”
________________________________________
Oleh itu, bagi yang hendak mencari ilmu keimanan/ Hakikat dan Makrifat, mereka hendaklah mencari dan menuntutnya dengan guru-guru yang Mursyid. Walaupun mereka terdiri daripada seorang yang miskin hina dina, ataupun seorang yang berperawakan gila, ataupun seorang yang berperawakan jahil, samada daripada golongan rakyat ataupun raja, sama ada tempatnya di masjid ataupun di tepi jalan, ataupun di bandar mahupun di hutan. Pendek kata belajarlah ilmu ini di mana-mana saja di atas muka bumi Tuhan ini, asalkan ianya daripada guru yang Mursyid.
________________________________________
Pendek kata, kelakuan dan pe el perangai zahir seseorang itu tidaklah boleh dijadikan sebagai kayu pengukur untuk dijadikan formula terhadap sifat mutlak darjat kemursyidan seseorang itu. Tidak semestinya seseorang yang jahil itu tidak alim. Tidak semestinya seseorang jahat itu tidak baik. Tidak semesti, semesti, semesti, dan begitulah seterusnya.
________________________________________
Ini kerana ilmu Ghaib dan Syahadah ini adalah suatu bidang ilmu yang pelik lagi payah untuk diterima oleh daya fikiran dan juga logik akal seseorang manusia, dan banyak daripada kelakuan yang ditunjukkan olah mereka yang menguasai ilmu Ghaib dan Syahadah ini, adalah terkeluar jauh daripada tahap logik akal untuk difikirkan oleh otak manusia dan juga norma-norma masyarakat sekeliling.
________________________________________
Ingatlah saudaraku, amat jarang sekali kita akan menjumpai seorang guru yang alim Syariat bahkan Mursyid pula dalam ilmu Hakikat dan Makrifat. Kalau terjumpa barang seorang, ketahuilah bahawa itulah seorang guru yang paling baik sekali. Akan tetapi jika tidak bertemu dengan guru yang bersifat di atas, maka sudah cukup bagimu menjumpai seorang guru yang Makrifat lagi Mursyid.

No comments:

Post a Comment