Sunday 25 February 2018

SEDIKIT BERKENAAN NUR MUHAMMAD

SEDIKIT BERKENAAN NUR MUHAMMAD
Baiklah kita mulai dengan ayat yang berbunyi: "INNALAHA KHOLAQO QOBLAL ASIA INNURI NABIYUKA". Bahawasanya Allah Taala menjadikan dahulu daripada segala sesuatu itu ialah NUR NABIMU.
Diriwayatkan oleh JABIR r.a. beliau pernah bertanya kepada Nabiallah s.a.w. Lalu dijawab oleh Nabi "AWWALUMA KHOLAQOL LAHU TAALA NURI NABIYIKA YA JABIR". Mula mula dijadikan AllahTaala daripada segala sesuatu itu ialah NUR NABIMU ya JABIR.
Maka nyatalah RUH NABI itu dijadikan dahulu daripada segala sesuatu itu, dan lagi dijadikan ia daripada Zatnya jua, tetapi sebelum Tuhan menjadikan NUR MUHAMMAD, Tuhan telah mengatakan dalam kitabnya Al Quranul Qarim yang ertinya: "Pertama KU jadikan ILMU sebelum KU jadikan NUR MUHAMMAD".
Maka nyatalah kepada kita bahawa NUR MUHAMMAD itu jadi daripada ILMUnya dan daripada KUDRAT DAN IRADATNYA jua, seperti kata Syeikh ABDUL WAHAB SYAHRANI: "INNALAHA KHOLAQOR RUHUN NABIYI MUHAMMADIN MINZATIHI, WAKNOLAQOR RUHUL ALIMU MINNURI MUHAMMAD S.A.W."
Bahawasanya Allah Taala menjadikan Roh Nabi itu daripada Zatnya jua, dan daripada ilmunya jua, dan serta qudrat dan iradatnya. Dan menjadikan Roh sekalian alam ini daripada NUR MUHAMMAD s.a.w. Maka nyatalah kepada kita bahawa Roh sekalian alam ini daripada NUR MUHAMMAD jua.
Dan segala batang tubuh kita ini nyata daripada Adam, tetapi Nabi Adam itu dijadikan daripada tanah, seperti firman Allah Taala dalam Al Quran: "KHOLAQOL INSANA MINTIN" ertinya: Aku jadikan Insan Adam itu daripada tanah dan tanah itu jadi daripada Air, dan Air itu jadi daripada NUR MUHAMMAD s.a.w. jua. Maka nyatalah kepada kita bahawa Roh kita dan batang tubuh kita ini jadi daripada NUR MUHAMMAD; maka wajarlah kita ini bernama MUHAMMAD.
Dan nyatalah bahawa kalau Roh kita dan batang tubuh kita ini daripada Nur Muhammad, maka kita ini tiada lain dan tiada bukan, pada hakikatnya Nur Muhammad jua. Dan jikalau telah jelas dalam hati makrifatkan hakikat Nur Muhammad itu, maka hendaklah engkau mesrakan Nur Muhammad itu kepada Roh dan kepada batang tubuhmu dan kepada seluruh isi alam. Kalau sudah benar-benar mesra, insyaAllah engkau akan melihat keelokan zat yang wajibal wujud.

No comments:

Post a Comment