Tuesday 27 February 2018

AL-HALLAJ & ANA AL-HAQ

AL-HALLAJ & ANA AL-HAQ
Biodata Ringkas
Nama lengkapnya adalah Abdul Muqith Al-Hussain Bin Mansur Al-Hallaj, beliau lahir di Baidha (Persia), pada tahun 244 H, dan meninggal di Baghdad pada 309H. Beliau meninggal kerana dijatuhi hukuman mati oleh pemerintah dinasti Abbasiyah, kerana ajaran tasawufnya dianggap menyimpang dari hukum syariat dan dapat mengganggu ketenteraman masyarakat. Pendapatnya yang dianggap menyimpang adalah, Allah menjelmakan dirinya pada peribadi nabi Muhamad, semua agama yang ada di dunia ini adalah agama Allah, dan seseorang yang bersih hatinya tentu dapat melaksanakan haji batin.
Ungkapan Kontroversi
Akulah Tuhan (Ana Al Haq)
Dalam Islam Tuhan hanya ada satu iaitu Allah, tidak ada tuhan kecuali Allah, dan tidak ada yang patut disembah selain Allah, tiada tuhan kecuali Allah dan Muhamad itu utusan Allah, konsep yang sudah jelas dan merupakan Syahadat di dalam islam.
Tetapi Al-Hallaj berteriak Ana Al Haq, dia mengatakan bahawa dirinya adalah tuhan, di dalam Al Quran ada empat surah yang menyebutkan kalimat Al Haq; iaitu surah Thaha ayat 114, Al Hajj ayat 6 dan 62, dan Al Mukminun ayat 116. Erti kata Al Haq sendiri adalah kebenaran, merupakan salah satu nama dalam Asma ul Husna, dan hanya Allah SWT saja yang berhak menyandang nama tersebut.
Perbuatan Al Hallaj terang saja membuat banyak orang tercengang, betapa tidak seorang ulama yang terkenal alim tiba-tiba saja mengucapkan kata-kata yang sangat berbahaya dan sangat tidak patut, banyak orang menjadi khuwatir akan keselamatan jiwanya, termasuk sang guru Imam Junaidi Al Baghdadi yang berkali kali menyuruhnya agar menahan diri tapi sia-sia saja.
Khabar mengenai ucapan Al Hallaj dengan cepat tersebar ke seluruh pelosok negeri dan memancing perdebatan para ahli, ada yang mendukungnya dan banyak pula yang mengecamnya.
Pandangan Ulama Fiqh Tentang Al Hallaj
Dalam memutuskan suatu masalah hukum; ulama fiqh berpedoman kepada Al Quran sebagai sumber utama, Hadis nabi, Ijma dan Qiyas (jika persoalan tersebut tidak terdapat dalam Al Quran / hadis).
Salah satu ulama fiqh yang menentang keras adalah Ibnu Daud Isfahani, yang hidup sezaman dengan Al-Hallaj, yang bermazhab Dzahiri, menurutnya Al Hallaj telah murtad, dan menyimpang dari ajaran islam yang murni, baginya perkataan Ana Al Haq adalah bukti bahawa Al Hallaj telah melanggar Syariat.
Pandangan ulama Tasawuf terhadap Al Hallaj
Para ulama tasawuf sangat berbeza dalam memahami persoalan dengan ulama fiqh, meskipun sama-sama berpedoman pada Al Quran dan hadis. Jika ulama fiqh cenderung memahami persoalan secara tersurat, maka ulama tasawuf lebih mementingkan makna yang tersirat. Misalnya, ketika memahami ayat “janganlah mendekati solat jika kamu dalam keadaan mabuk”, ulama fiqh memahaminya dengan mabuk minuman keras, tapi ulama tasawuf memahaminya lebih jauh lagi, iaitu mabuk harta, mabuk kuasa, dan lainnya.
Di antara ulama tasawuf yang hidup sezaman dengan Al Hallaj adalah Al-Baghdadi (guru Al Hallaj), Abu Bakar As Sibli dan Al Wasithi (keduanya sahabat Al Hallaj). Mereka berpendapat bahawa Al Hallaj tetap seorang muslim. Menurut mereka ucapan Ana Al Haq bukanlah kata-kata biasa, akan tetapi merupakan kata-kata mistik yang timbul kerana rasa cinta yang sangat mendalam kepada Tuhan.
Pandangan Penguasa Terhadap Al Hallaj
Al Hallaj hidup pada masa pemerintahan Muqtadir Billah dari dinasti Abbasiyah. Ketika itu usia Muqtadir masih sangat muda sehingga belum mempunyai kemampuan yang bagus dalam memutuskan hal-hal yang besar, sedangkan perdana menterinya Hamid Bin Abbas di pandang kurang layak menduduki jawatan penting tersebut. Pada masa itu pihak penguasa kerajaan menganut fahaman Ahlus Sunah Wal Jamaah, sedangkan sebahagian besar rakyat menganut fahaman Syiah, sehinggakan antara keduanya sering berlaku konflik.
Para pegawai kerajaan banyak yang hidup mewah, di saat inilah Al Hallaj muncul, dengan kehidupan yang sederhana, rakyat yang sudah meluat terhadap penguasa dan para ulama, menjadi simpati terhadapnya. Hal ini membuat beberapa ulama dan pegawai kerajaan mencurigainya sebagai penghasut kerana dekat dengan kaum Syiah, akan tetapi mereka tidak punyai alasan yang cukup kuat untuk menangkapnya.
Namun ketika ucapan Al Hallaj yang kontroversi sampai ke telinga penguasa, maka Al Hallaj dituduh sesat dan dihumbankan ke penjara pada 910 M. Namun dia sempat melarikan diri dengan bantuan orang di penjara dan bersemnbunyi selama empat tahun di kota Sus, sebelum akhirnya ditangkap kembali pada 913 M. Pada 921 M Al Hallaj dibawa ke perbicaraan, dan dalam persidangan tersebut menghasilkan Fatwa Al Hallaj murtad. Sebelum menjatuhkan hukuman mati, Khalifah Muqtadir sempat berkirim surat ke guru Al Hallaj, imam Junaidi Al Baghdadi. Sebanyak enam kali surat di kembalikan tanpa ada keputusan apapun dari Imam Al Baghdadi, hingga pada surat yang ke tujuh, Khalifah berkirim surat dengan permintaan khusus untuk menjawab “ya” atau “tidak”.
Melihat hal ini, sang imam menanggalkan jubah kebesaran kaum sufi dan memakai jubah kebesaran ulama, lantas menjawab "menurut hukum syariat, Al Hallaj dapat dijatuhi hukuman mati, akan tetapi menurut ajaran kebenaran, hanya Allah yang Maha Tahu."
Al Hallaj dijatuhi hukuman mati pada tanggal 18 Zulhijjah 309 H atau 921 M, dengan disaksikan oleh para sahabatnya.
Pendapat Para Ulama Sesudahnya
Terhadap Al Hallaj
Para ulama sesudahnya mempunyai pandangan yang berbeza mengenai Al Hallaj. Ada yang menyokong dan ada pula yang membangkang, sesuai dengan ilmu dan pengalamannya sendiri. Menurut Ibnu Taimiyah, ulama yang hidup pada abad ke 7 H. Al Hallaj layak dihukum mati kerana telah menyimpang dari Syariat, begitu pula pendapat Ibnu Qayyim Al Jauziyah, murid Ibnu Taimiyah. Lain halnya dengan Ibnu Syuraih, ulama fiqh dari Mazhab Maliki ini tak mahu menghakimi, alasannya adalah “pengetahuanku tidak mendalam tentang dirinya, kerana itu saya tidak dapat berkata apa-apa”.
Berbeza dengan Imam Al Ghazali, Maulana Jalaludin Rumi, Fariduddin Athar, Syeikh Abdul Qadir Jailani dan Ad Damiri. Ulama ulama besar ini membela habis habisan Al Hallaj dan membersihkannya dari tuduhan murtad.
Pandangan Al Ghazali terhadap Al Hallaj cukup bijak. Sebagai seorang sufi dia cukup mengerti apa yang sebenarnya terjadi. Menurutnya mengaku sebagai Tuhan memang bisa menyebabkan murtad jika diucapkan dalam keadaan sedar, akan tetapi ketika itu Al Hallaj sedang dalam keadaan mabuk, iaitu mabuk cinta kepada Tuhan. Hatinya terbakar api asmara yang berkobar-kobar kerana rasa cintanya yang besar tersebut, dan kerana cinta yang sudah sangat mendalam, maka sudah tidak dapat lagi dipisahkan antara diri dengan yang dicintai.
Menurut fiqh orang mabuk tidak dapat dihukum dengan kata lain dia harus dibebaskan dari tuduhan murtad. Apalagi menurut tasawuf kata Ana Al Haq yang diucapkan Al Hallaj tidak bisa difahami secara sepintas dan secara harafiah. Kata-kata tersebut hanya dapat difahami oleh kaum sufi dengan zouq, iaitu cita rasa rohani sebagai satu-satunya alat mencapai kebenaran hakiki.
Pendapat Jalaludin Rumi hampir mirip dengan Al Ghazali, Faridudin Athar bahkan memberi gelar Al Hallaj "Syahidul Haq" (Syahid kerana kebenaran). Syeikh Qadir Al Jailani ketika ditanya tentang Al Hallaj, beliau menjawab, “Andai kata aku hidup pada masanya, sudilah kiranya aku menjadi pengiringnya”. Dalam versi lain "andaikan aku hidup sezaman dengan beliau, akan ku pegang tangan orang yang menghukumnya". Ad Damiri mengatakan, “Bukanlah hal yang mudah menuduh seorang muslim keluar dari agamanya, kalau perkataannya masih bisa ditakwilkan (di ertikan lain), lebih baik di ertikan lain, kerana mengeluarkan seorang dari islam adalah perkara besar, dan tergesa-gesa menjatuhkan hukuman adalah perbuatan jahil”.

No comments:

Post a Comment