Monday 26 February 2018

KAPITALISME AGAMA


KAPITALISME AGAMA
Orang sering mengelirukan agama dengan apa yang saya boleh panggil Kapitalisme Agama. Mereka menyerang agama tanpa mengetahui bahawa mereka sebenarnya menyerang Kapitalisme Agama.
Dengan renungan ini, anda akan mendapati bahawa agama tidak mempunyai kaitan dengan Kapitalisme Agama; anda juga akan mendapati bahawa apa yang kebanyakan orang anuti di dunia, terutamanya di Malaysia, bukan agama tetapi Kapitalisme Agama.
Kapitalisme Agama adalah sistem kepercayaan yang mana wang (modal) dihormati sebagai nilai terunggul. Ia sistem ibadat di mana orang kaya diraikan dan golongan miskin dipinggirkan, sebuah sistem di mana orang kaya semakin kaya manakala orang miskin semakin miskin. Ia satu sistem di mana beberapa kaum atau puak percaya bahawa mereka dilahirkan untuk memerintah orang lain.
Ia sistem di mana orang miskin yang membersihkan rumah ibadat setiap hari tidak pernah dipandang sedangkan orang kaya yang mengunjungi rumah ibadat sekali-sekala diraikan. Kapitalisme Agama ialah sistem di mana “pemimpin agama” sibuk berkhidmat untuk orang kaya.
Ia sistem di mana ahli-ahli politik kaya, rasuah terutamanya yang korup, diberi pelbagai anugerah walaupun jelas bahawa mereka tidak berkhidmat untuk rakyat. Ia sistem di mana orang berdosa yang kaya dapat diraikan sebagai wali suci.
Kapitalisme Agama adalah sistem di mana jenayah orang kaya dimaafkan. Ia sistem di mana orang kaya dianggap sebagai ahli syurga sedangkan orang miskin dilihat sebagai terperangkap di alam barzakh atau bahkan dihumban ke neraka.
Kapitalisme Agama adalah sistem di mana barisan depan dikhaskan untuk orang-orang yang istimewa di dalam rumah ibadat. Ia sistem di mana orang miskin boleh diminta untuk meninggalkan tempat mereka di barisan depan bagi mereka yang dianggap lebih penting; sebuah sistem di mana orang pergi ke rumah ibadat hanya untuk mempamerkan fesyen mereka.
Dengan definisi ini, anda boleh bersetuju dengan saya bahawa kebanyakan mereka yang mengaku sebagai orang beragama, tidak dengan apa-apa cara mengikuti contoh junjungan besar kita.

No comments:

Post a Comment