Sunday 19 November 2017

hi m


“Maka apabila AKU telah menyempurnakan kejadiannya dan telah Kuhembuskan ke dalam jasadnya RuhKu, maka segera tunduklah kamu kepadanya (iaitu Adam) dengan keadaan bersujud.” – Q.S. Al-Hijr : 29
Petikan dari ayat Al-Qur’an tersebut membuktikan pernah berlaku suatu peristiwa dahulu apabila Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah sempurna menciptakan manusia pertama bernama Adam, maka diperintahkan kepada semua malaikat supaya segera bersujud kepada Adam. Sujud itu bukanlah semata-mata demi memberikan penghormatan kepada Adam, tetapi menurut para ulama sufi bahwa sujud kepada Adam itu sebenarnya adalah sujud untuk Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Justeru tatkala itu, para malaikat pun merasa hairan dan bingung lalu tertanya-tanya mengapakah mereka harus bersujud kepada Adam sedangkan Adam itu makhluk, padahal selama ini mereka cuma bersujud kepada Allah Azzawajalla Rabbul Izzati Rabbul ‘Alamin? Namun para malaikat itu tidak berani menyoal dan membantah perintahNya, mereka terus sahaja bersujud kepada Adam. Kecuali Iblis, makhluk jin yang ketika itu namanya Azazil dan masih bermartabat setaraf malaikat, tiba-tiba membentak dengan sebegitu angkuh dan amarah, lantas mengingkari tidak mahu bersujud kepada Adam, malah menuduh pula Allah Subhanhu Wa Taala itu tidak bersikap adil. Apabila ditanya oleh Allah sendiri mengapakah Iblis mengingkari perintahNya? Maka dijawab oleh Iblis bahwa dirinya lebih mulia dari Adam. Adam diciptakan dari tanah yang kotor sedangkan ia diciptakan dari api yang suci. Kemudian Allah pun melaknatinya dan mengatakan bahwa ia adalah makhluk yang sombong.
Ketika semua malaikat dalam keadaan bersujud kepada Adam, pada ketika yang sama itulah Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah menyingkap seluruh tabir yang menyelubungi Adam. Para malaikat pun dapat menyaksikan betapa besarnya hakikat Adam itu. Kini sedarlah para malaikat bahwa hakikat diri Adam itu bukanlah semata-mata kosong atau tiada, tetapi pada diri Adam itulah tertampungnya tujuh petala langit dan tujuh petala bumi sehingga ke Singgahsana Allah lalu mereka pun langsung dapat menyaksikan WAJAH ZAT RABBUL IZZATI YANG MAHA AGUNG DAN MAHA MULIA itu yang sebelumnya tidak pernah mereka saksikan, rupa-rupanya tersembunyi dalam diri Adam. Lantas mereka pun mengerti bahwa yang dinamakan manusia itu bukan hanya terdiri pada sebatang tubuhnya, tetapi yang dinamakan manusia itulah seluruh alam semesta ini sebagai Insan Saghir dan Insan Kabir. Para malaikat memuji betapa bijaksananya Allah telah memindahkan dari alam yang besar kepada alam yang kecil, dari alam yang kecil kepada alam yang besar, dan semua itu ditampung dalam satu hakikat manusia yang paling terdalam dan tersembunyi bernama Qalbu. Qalbu itulah juga yang digelarkan sebagai KURSI kerana Qalbu itulah yang dapat menampung ZAT ALLAH YANG MUTLAK, Qalbu itulah TITIK bagi seluruh penciptaan alam semesta ini. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Taala pernah berfirman dalam sebuah Hadis Qudsi bahwa seluruh petala langit dan petala bumi tidak mampu untuk menampung ZATNYA, tetapi ZATNYA dapat ditampung oleh Qalbu manusia, Qalbu itulah TAHTA KURSINYA seluas langit dan bumi.
Dalam keadaan bersujud itu, malaikat pun dapat menyaksikan kehebatan Adam diperhiaskan dengan persalinan Ketuhanan. Lantaran itulah Allah menyatakan sebagaimana firmanNya, “RahsiaKu Rahsia Insan, Rahsia Insan RahsiaKu.” Kini barulah para malaikat itu mengerti mengapakah Allah Subhanahu Wa Ta’ala menciptakan Adam. Adam itu bukanlah semata-mata diri yang tiada berhakikat, tetapi bermaksudnya Adam itu ‘tiada’ bukanlah Adam sebagai Adam sahaja, tiadanya Adam itu adalah menunjukkan Hakikat Yang Maha Ada. Ketika Allah Subhanahu Wa Ta’ala hendak menzahirkan SifatNya lalu menciptakan alam semesta ini atau disebut Alam Khabir. Dan ketika Allah Subhanahu Wa Ta’ala hendak menampakkan ZATNYA, maka DIA menciptakan Adam. Maka Adam itu umpama CERMIN tempat Allah memandang WAJAHNYA sendiri di luar Diri iaitu yang bernama Adam.
Oleh kerana Iblis enggan bersujud kepada Adam, maka sampai ke hari ini pun Iblis tidak pernah mengetahui dan belum pernah menyaksikan hakikat rahsia Adam itu. Hakikat rahsia Adam cuma diketahui oleh para malaikat. Lantaran itulah dikatakan martabat manusia itu lebih mulia dari malaikat. Iblis sekadar dapat menyaksikan bagaimana proses penciptaan zahir Adam itu sejak dibentuk dari saripati tanah sehinggalah tubuhnya itu dibaringkan di halaman syurga sekian ribuan tahun lamanya bak sekujur patung tak bernyawa.
Justeru itulah mengapa Iblis menyangkakan sebab manusia pertama itu diberikan namanya Adam kerana Adam itu bermaksud ‘tiada’. ‘Tiada’ menurut persangkaan Iblis bahwa Adam itu adalah semata-mata diri yang tiada berhakikat dan sekadar nama dan rupa sahaja. Sedangkan selama ini Iblis hanya mengabdikan dirinya dan bersembah-sujud kepada Diri Izzati Yang Maha Ada, kini masakan pula dia mahu bersujud kepada manusia yang tiada berhakikat atau wujudnya?
Lantaran itulah Iblis menganggap pendapatnya benar dan dirinya lebih mulia dari Adam kerana dirinya mempunyai suatu hakikat iaitu roh api dari lidah api yang sangat bernyala berwarna biru. Lalu dengan perasaan hatinya yang bongkak dan sombong, Iblis memandang sungguh jauh berbeda sekali antara Adam dengan dirinya, kerana pada pemikiran Iblis walaupun Adam itu adalah makhluk yang tampak nyata tetapi tiada berhakikat dan kosong semata-mata, sekadar nama dan rupa!
Kemaujudan manusia itu bukanlah seperti berdirinya sebotol plastik yang kosong dan tidak berguna lagi setelah habis isian mineral waternya lalu dicampakkan ke dalam tong sampah recyclelisme. Demi itulah Nabi saw bersabda supaya dapat menginsafkan manusia, “Siapa yang mengenal dirinya, akan kenallah ia kepada Rabbnya”. Mengenal diri itu sangat wajar dan penting kerana itu satu-satunya perjalanan haqiqi untuk mengenal Allah. Jika manusia itu tidak mengenal siapa dirinya sendiri, itulah petandanya kemunduran pemikiran. Apatah lagi apabila terdapat golongan yang meletakkan gagasan jangan sampai terlihat adanya diri, sedangkan pada diri manusia itulah merupakan kiblat sejati untuk kita memandang Allah seperti firmanNya, “Ke mana pun diri kamu menoleh, di situ ada WajahKu.”
Para ulama sufi Melayu terdahulu seperti Syekh Syamsuddin Sumaterani, Syekh Abdul Muhyi, Syekh Muhammad Arsyad Al Banjari, Syekh Abdul Rauf As Sinkili Syekh Daud Al Fatani, Syekh Abdul Samad Al Falembani, Syekh Yusuf Al Makasari (sekadar menyebutkan beberapa nama) telah mewariskan ilmu makrifat yang begitu tinggi pada mengenal diri manusia yang disebut ajaran Martabat Tujuh. Konsep Marbatat Tujuh menjelaskan bahwa dalam diri manusia itulah tersusunnya tujuh martabat alam semesta dari Alam Ahadiyah, Alam Wahdah, Alam Wahidiyah, Alam Arwah, Alam Mitsal, Alam Ajsam dan Alam Insan. Kaum sufi menyebutkan juga sebagai Alam Hahut, Alam Lahut, Alam Bahut, Alam Jabarut, Alam Malakut, Alam Nasut dan kesemua alam tersebut terhimpun di dalam Alam Insan iaitu Diri Manusia yang merupakan tajalli dari ZAT ALLAH.
Di sini agak terlalu panjang untuk menghuraikan satu-persatu tentang maksud alam-alam tersebut. Cukuplah saya memetik dari pandangan seorang Guru Mursyid iaitu Syekh Hizboel Wathony yang merupakan Mursyid Tharikat Khalwatiyah Akmaliyah (Indonesia), yang mendifinasikan tajalli wujud alam-alam tersebut berada di dalam rahsia atau hakikat Diri Manusia adalah seperti berikut:
1. DIRI HAQ/ANA
2. DIRI SIRRI
3. DIRI TERPERI
4. DIRI TAJALLI
Wabillahi taufik wal hidayah.

No comments:

Post a Comment