Friday 24 November 2017

*AKU YANG BENAR(ANA AL HAQ) BUKAN AKULAH TUHAN*

*AKU YANG BENAR(ANA AL HAQ) BUKAN AKULAH TUHAN*
Ungkapan yang terzahir dari mulut Mansur al-Hallaj, “Ana al-Haq” (AKU Yang Benar), banyak disalahtafsirkan oleh pengkritik-pengkritiknya bahwa ungkapan tersebut samalah dengan permaknaannya mengaku diri sebagai Tuhan atau sebutannya ‘Akulah Tuhan’. Lantaran itu Mansur al-Hallaj menerima hukuman bunuh yang paling kejam. Padahal ungkapannya itu cukup jelas dan terang, ia tidak menyebutkan samasekali dirinya adalah Tuhan kecuali menyatakan Kebenaran atau Haq dari Dzat Yang Maha Agung. Dan pada ketika itu menurut Imam Ghazali, sebenarnya itu bukanlah pengakuan Mansur al-Hallaj sendiri, tetapi langsung daripada Kalam Dzat Yang Maha Ada setelah tersingkap habis semua tabir diri dan telah fana atau lebur di dalam Keagungan Dzat Maha Mutlak itu.
“Apabila telah tersingkap Kebenaran (Haq) maka lenyaplah semua yang bathil”
Q.S. Al-Isra’ : 81
Jika menurut terminologi sufi, perkataan ‘Tuhan’ itu belum lagi ada sebelum terciptanya alam semesta ini. Yang Ada hanyalah Si Ada yang tanpa sifat, nama dan perbuatan. Justeru itu, perkataan ‘Tuhan’ itu sebenarnya adalah suatu istilah sahaja bagi menyatakan sifatNya yang sebenar wujud setelah Si Ada itu rindu hendak memperkenalkan DiriNya lalu menerbitkan CahayaNya yang amat suci dari DzatNya sendiri tetapi masih batin dalam UjudNya. Kemudian daripada CahayaNya itu DIA membungkuskanNya menjadi Ruh Al-Adzam (Penghulu segala nyawa) atau disebut Ruh Muhammad dan daripada Ruh Al-Adzam DIA membungkuskanNya menjadi Ruh Idafi (Ruh Adam dan keturunannya), dan daripada Ruh Idafi DIA membungkuskanNya menjadi Qalbu atau Hati Insan, dan daripada Qalbu DIA membungkuskanNya ke dalam benda yang bernama Nasut yang diciptakanNya daripada empat anasir iaitu air, api, angin dan tanah. Dan daripada keempat anasir itu DIA menjadikan empat warna iaitu: merah, kuning, hitam dan putih. Dan daripada keempat warna itu DIA membungkuskanNya menjadi debu. Dan daripada debu itu DIA membentuk rupa jasad manusia dengan tanganNya sendiri iaitu kejadian manusia pertama. Maksud dengan tanganNya adalah difahami secara maknawi, yakni tadbir urusanNya tanpa dicampuri oleh para malaikat.
Ketika Dzat Maha Ada itu telah mengistiharkan DiriNya Tuhan, bererti telah ada yang menyaksikanNya. Yang menyaksikanNya hanyalah Ruh Al-Adzam kerana pada ketika itu belum terciptanya para malaikat dan sekalian yang lainnya. Menurut kefahaman sufi bahwa sebenarnya penampakan Tuhan itu sendiri merupakan tabir Cahaya dan bukanlah melihat Dzat Maha Ada dan Mutlak itu secara hakiki. Ibarat seorang yang melihat gambar dalam skrin komputer tetapi penglihatan itu bukan melihat gambaran yang sebenarnya tetapi hanyalah menatap bayangan.
“Alastu birobbikum?” Qalu “Bala syahidna!”
Q.S. Al-Araf : 172
Keadaan ini dinamakan oleh ahli sufi sebagai Alam Bahut. Alam Bahut seumpama Cermin Cahaya di antara Alam Jabarut dan Alam Lahut. Cermin Cahaya itu ialah penampakan yang sebenar-benarnya ada tidak lain dari Dzat semata-mata atau Kunhi Dzat. Maka Ruh yang berada di Alam Jabarut sesungguhnya tidak menyaksikan atau melihat Dzat Mutlak itu secara telus (direct) kecuali melalui tabir Cermin cahaya iaitu Alam Bahut. ‘Ba’ adalah bahasa pengucapan pertama dari makhluk iaitu Ruh dan belum ada bahasa lainnya sebelum itu. Lantaran itulah Ba menjadi awal huruf dalam Kitab Suci Al-Qur’an iaitu dalam ayat Basmallah dan di dalam hadis menyatakan Titik di bawah huruf Ba itu pula mengandungi rahsia seluruh Al-Qur’an.
Orang-orang sufi dalam mukasyafah tentang kalimah “Lailaha illallah” membawakan kepada maksud yang lebih dalam dan disebaliknya dengan membalikkan pandangan matahati iaitu tiada yang maujud secara benar kecuali Allah. Perkataan ‘Tuhan’ telah digantikan dengan ‘Ujud’. Jelas sebagaimana maksudnya ‘tiada Tuhan melainkan Allah’, maka Allah itulah sahaja yang Ujud iaitu nama bagi Dzat Wajibal Wujud. Perkataan ‘Tuhan’ itu bersifat majazi (sementara ada dan bukan perkataan itu kekal selama-lamanya dan wujud dengan sendirinya). Selagi perkataan ‘Tuhan’ disebut, selagi itulah terdapat persaingan di antara tuhan-tuhan yang menjadi penyembahan jin dan manusia. Dan ini masih perlukan kepada penafian dan itsbatul yakin. Tidak seperti orang awam yang perlukan penafian berkali-kali, tetapi orang sufi mengambil langkah dengan hanya satu kali sahaja penafian seumur hidup iaitu mengistbatkan Ujud itu hanya Yang Satu. Yang Satu itulah KeEsaan Dzat tanpa berserta dengan yang lain, maka yang lain itu adalah DIA juga walau bukan DIA Yang Haqiqi tetapi hanya sebagai penampakan DIA Yang Mutlak. Tidak ada Tuhan, tidak ada hamba dan Tuhan kecuali Allah. Allah itulah Dzat Yang Berdiri Dengan SendiriNya. Jadi bagaimanakah dikatakan bahwa Mansur al-Hallaj mendakwa dirinya Tuhan, sedangkan istilah Tuhan itu sendiri tidak ada di dalam kamus dzauk ahli sufi kecuali semata-mata Ujud yang menamakan DiriNya Allah?
“Akulah Tuhan”, itu adalah ungkapan Fir’aun yang zalim. Sedangkan apa yang terungkap melalui mulut Mansur al-Hallaj “Ana al-Haq” adalah daripada Kalam Allah sendiri iaitu Al-Haq. Kedua ungkapan itu sangat jauh pertentangan dan perbedaan maksudnya. Yang terkeluar dari mulut Fir’aun adalah hawa nafsu yang mendakwa sebagai Tuhan. Tetapi yang terkeluar dari mulut Mansur al-Hallaj adalah CahayaNya yang teramat suci sebagaimana terjelas dalam Surah An-Nur : 35
“Allah itulah Cahaya langit dan bumi. Umpama CahayaNya itu seperti sebuah Pelita Agung di dalam sebuah Misykat.”
Ketika Maha Guru Sufi Junaid Al-Baghdadi memerintahkan Mansur Al-Hallaj datang mengadapnya adalah demi menasihatkan agar muridnya itu berhati-hati dari mengucapkan ‘Ana Al-Haq’ kerana ucapan itu boleh menimbulkan fitnah besar. ‘Ana Al-Haq’ mempunyai dua maksud tersirat yakni kepada Diri Yang Benar atau Diri Yang Sebenar-benar Diri iaitu Wujud Rabbul Izzati yang bernama AKU (bukan Akunya manusia yang diistilahkan kepada roh kerana roh itu hanyalah bayangan yang ditajallikan dari Zat Allah Yang Maha Ada). ‘Ana Al-Haq’ itu berasal dari kalimat Al-Qur’an iaitu “Lailaha Illa Ana” yang bermaksud “Tiada Tuhan kecuali AKU. AKU atau Ana Al-Haq itu muncul dari DIRI YANG MAHA GHAIB yang disebut Ahadiyat Ghuyub Al-Ghuyub (DIA Yang Tersembunyi atau Batin dalam DiriNya Sendiri tanpa diketahui. Setelah DIA Yang Tersembunyi itu keluar dari DiriNya maka DIA pun menyatakan “Ana Allah Lailaha Illa Ana” – “Sesungguhnya AKUlah Allah, Tiada Tuhan melainkan AKU. Justeru apabila DIA menyaksikan ketika itu tiada yang ada kecuali WujudNya sahaja sebagai Ariful Wujud maka DIA pun menyatakan ‘Ila’ lalu menciptakan ‘yang lain’ supaya ada yang bersujud dan beribadah kepadaNya. Pertama-tama yang dizahirkanNya adalah Haqiqat Muhammad. Haqiqat Muhammad itu umpama cermin yang membayangkan DiriNya berada di dalamnya itulah AKU – Haqiqat bagi segala Haqiqat atau disebut Jauhar Al-Haqaiq.
Akan tetapi Mansur Al-Hallaj menjawab kepada gurunya Junaid Al-Baghdadi bahwa pengucapan ahwalnya itu memang sukar untuk dikawal. Sesungguhnya ada dua orang murid Junaid Al-Baghdadi yang pada ketika itu mengalami ahwal pengucapan ‘Ana Al-Haq’, iaitu Al-Syibli dan Mansur Al-Hallaj. Namun pada tanggapan masyarakat Baghdad di zaman itu, apabila Mansur Al-Hallaj yang mengucapkan ‘Ana Al-Haq’ maka dituduh kepadanya seorang yang kafir. Sebaliknya pula kepada Al-Syibli bebas dari tuduhan kafir dan menganggapnya sebagai orang yang tidak siuman sepertimana istilah orang Melayu ‘gila isim’. Kenapa?
Ada dua faktor jawabannya di sini. Pertama Al-Syibli yang bebas dari tuduhan kafir adalah disebabkan dirinya di dalam keadaan mabuk spiritual yang keterlaluan hingga menyebabkan hilang seluruh pancaindera kesedarannya. Para ulama syariat memfatwakan bahwa orang yang tidak sedarkan diri atau gila semasa mengucapkan Akulah Tuhan adalah tidak bersalah maka tidak boleh dijatuhkan hukuman. Akan tetapi apabila Mansur Al-Hallaj yang mengucapkan ‘Ana Al-Haq’ bahwa dirinya masih di dalam keadaan sedar dan terkawal. Malahan Mansur Al-Hallaj adalah seorang yang mempunyai daya kematangan intelektual yang tinggi dan penuh kewarasan.
Sebenarnya peringkat yang diduduki oleh Al-Syibli itu adalah baru di maqam fana. Al-Syibli belum lagi terlepas dari maqam fana seperti Mansur Al-Hallaj. Sedangkan Mansur Al-Hallaj sudah mencapai maqam Baqa yakni kekal bersama-sama Allah setelah memfanakan dirinya dari sifat kemakhlukan. Mansur Al-Hallaj sedar akan apa yang diucapkannya itu tetapi yang menzahirkan ucapan Ana ‘Al-Haq’ itu sebenarnya bukan datang darinya tetapi datang dari Zat Allah itu sendiri yang berada di martabat Wajibal Wujud. Martabat Wajibal Wujud ertinya seseorang yang menyedari bahwa dirinya tidak memiliki wujud sebenar maka kewujudannya itu adalah Wujud Zat Allah yang berada di dalam hakikat dirinya maka itulah disebut Wajibal Wujud atau wujud yang tampak nyata adanya. Wujud di peringkat rohani disebut Mumkinul Wujud. Wujud di peringkat rahsia disebut Mumta’inul Wujud. Dan Wujud di peringkat makrifat disebut Ariful Wujud.
Selanjutnya Junaid Bagdadi berkata kepada muridnya Mansur Al-Hallaj, “Aku lihat di alam musyahadahku sekeping papan berwarna merah darah. Dan darah itu adalah darah kamu sendiri!”
Mendengarkan ucapan gurunya itu, Mansur Al-Hallaj tersenyum. “Wahai tuan guru, pada ketika itu tuan sendiri telah menanggalkan jubah sufimu dan memakai jubah orang awam!” pintas Mansur Al-Hallaj.
Sebelum Mansur Al-Hallaj ditangkap atas tuduhan telah menyeleweng dari akidahnya, khalifah yang memerintah di masa itu telah menghimpunkan semua ulama syariat di sekitar Baghdad. Lalu khalifah meminta fatwa apakah Mansur Al-Hallaj itu kafir atau Islam? Setelah semua ulama syariat itu bermuafakat di dalam persidangan itu, semuanya memutuskan fatwa bahwa Mansur Al-Hallaj adalah kafir dan wajar dijatuhkan hukuman bunuh ke atas dirinya.
Setelah mendengari fatwa tersebut, khalifah berkata pula, “Aku tidak mahu menjatuhkan hukuman ke atas Al-Hallaj dahulu sebelum aku mendapatkan fatwa dari gurunya sendiri!”
Lalu khalifah pun mengutuskan surat kepada Junaid Al-Baghdadi untuk bertanyakan fatwa bahwa apakah Mansur Al-Hallaj kafir atau Islam? Tetapi surat itu tidak dilayani oleh Junaid Al-Baghdadi sehinggalah menyusul surat yang kedua. Surat yang kedua kali pun tidak dijawab, lalu diutuskan surat-surat yang ketiga, keempat, kelima dan keenam langsung tidak dilayani juga oleh Junaid Al-Baghdadi. Akhirnya, khalifah mengutuskan surat yang ketujuh yakni surat buat kali terakhir jika Junaid Baghdadi masih tetap tidak mahu menjawab maka khalifah akan mengambil tindakan yang tegas untuk menghukum semua ahli sufi dan mengusir mereka keluar dari Baghdad.
Setelah membaca surat ketujuh dari khalifah itu, setiap malam Junaid Al-Baghdadi bermunajat kepada Allah dan menunggu jawaban dari Allah sendiri. Justeru Allah mengilhamkan kepadanya untuk membalas surat khalifah itu dengan menuliskan sepucuk surat balasan, “Jika menurut pada hukum syariat, Mansur Al-Hallaj adalah kafir dan wajar dihukumkan bunuh. Akan tetapi jika menurut dari sudut Haq Allah itu sendiri bahwa Mansur Al-Hallaj adalah benar!”
Sebelum berlangsungnya hari hukuman bunuh, Mansur Al-Hallaj pernah bermunajat kepada Allah, “Kekasih yang kucintai adalah diriku yang kucintai. Diriku yang kucintai adalah Kekasih yang kucintai. Inilah Lembah Thuwa yang membingungkan para pencari-Mu. Aku ini tukang bidaah maka semua ulama mahu membunuhku. Mereka tidak tahu rahsia yang aku tahu bahwa Engkau sahaja yang menyembah Engkau. Aku bersyukur atas kurniaan-Mu untuk memperlihatkan kepadaku siapakah Engkau sebenarnya sehingga tidak cukup ruang di lidahku untuk membalaskan sebesar-besarnya ucapan syukur kepada-Mu. Aku redha atas hukuman-Mu kerana itu kehendak-Mu dan aku sangat-sangat gembira atas cara kematian yang ingin Engkau perlakukan terhadapku.”
Di tempat hukuman, Al-Syibli sempat bertanyakan kepada Mansur Al-Hallaj tentang tasawuf di peringkat muntahi dan bagaimana seseorang itu boleh mencapainya? Jawab Mansur Al-Hallaj bahwa apa yang akan disaksikan sebentar nanti dan bagaimana cara hukuman yang diperlakukan ke atasnya itulah tasawuf di peringkat muntahi. Maksudnya ialah mencapai maqam Baqa billah – kekal bersama Allah. Tetapi menurut Al-Hallaj, Al-Syibli belum lagi layak untuk capai ke peringkat itu.
Seketika nyawa Mansur Al-Hallaj bercerai dari badan dan semua bahagian anggotanya yang terpotong itu pun menjerit, “ANA AL-HAQ!”

No comments:

Post a Comment