Monday 25 September 2017

WASIAT BUAT ANAK CUCU


WASIAT BUAT ANAK CUCU
Awal-awal lagi aku ingatkan kepada sesiapa yang membaca catitanku ini, supaya janganlah sesekali membawa hal ini ke pengetahuan orang-orang syariat yang buta hakikat, bermata ikan kering, walaupun dia dianggap oleh orang ramai sebagai guru, dan mengajar orang lain pula. Ini disebabkan semua catitan, pengertian dan istilah istilah yang didapati di dalam catitanku ini adalah dibuat dari pandangan hakikat dan makrifat semata mata.
Jikalau kamu bawa hal ini ke pangkuan orang orang syariat, maka sudah tentu mereka akan terus mengatakan semua catitan ini adalah salah, menyeleweng, songsang, sesat, malahan ada di kalangan mereka tersebut yang berani menuduh catitanku ini kafir. Keadaan ini sebenarnya kerana mereka jahil dengan ilmu hakikat dan makrifat. Sesungguhnya mereka itu hanya sesuai mentelaah kitab kitab syariat, yang membincangkan tentang dosa, pahala, sunat, wajib, haram dan makruh sahaja.
Ingatlah, tidak semua tok guru syariat faham dan mengerti dengan catitanku ini. Oleh yang demikian, aku berwasiat pada kamu semua, bertanyalah hal-hal catitanku ini dengan guru guru hakikat dan makrifat, sama ada dari golongan kaya, miskin, jahil, alim, lebai, rakyat mahu pun seorang raja, asalkan mereka itu orang hakikat dan makrifat yang sebenar benar mursyid, dan sampai pula ke martabatnya.
Aku bersyukur kerana dapat membuat sedikit catitan ini. Sekurang kurangnya ia dapat menjadi pedoman kepada aku dan anak cucu aku suatu hari nanti. Oleh itu wahai anak cucuku, belajarlah ilmu hakikat dan makrifat, kerana jalan ini sahajalah kita boleh menjadi manusia, Insan kamil yang diredai Allah di dunia dan akhirat.
Sayugia diingatkan, jangan sekali kali engkau pandang aku dari luar, tentang sejarah hidupku yang tidak pernah belajar di Universiti al Azhar, atau pun pondok pondok Tok Guru, tetapi perhati dan telitilah baik baik tulisan aku ini. Di samping itu juga, jangan sekali kali engkau ikut apa yang aku buat, tetapi ikutlah apa yang aku catitkan ini. Semoga Allah s.w.t. meredhai kita bersama. Amiin2

No comments:

Post a Comment