Friday 22 September 2017

SEBENAR-BENAR HIJRAH

SEBENAR-BENAR HIJRAH
Alhamdulillah, bertemu lagi kita dengan tahun hijrah yang baru. Di kala kita sibuk meraikan peristiwa hijrah Nabi Muhammad dan para sahabat dari Kota Makkah ke Kota Madinah, janganlah sesekali kita melupakan hakikat atau erti hijrah yang sebenar-benarnya.
Hijrah nabi telah pun lama berlalu, akan tetapi hijrah kita, tetap berlaku setiap detik dan setiap masa, sehinggalah saat kita menghembuskan nafas yang terakhir. Namun itu juga bukanlah pengakhiran, kerana kita ini cuma berhijrah ke alam lain sahaja.
Di kesempatan yang singkat ini, marilah sama-sama kita menghayati, apakah yang dikatakan hakikat hijrah itu sendiri. Dari sudut pandang dan kefahaman ilmu hakikat dan makrifat, hijrah itu bererti "PERPINDAHAN KEFAHAMAN DARI JAHIL KEPADA ALIM".
Jika sebelum ini, kita tidak pernah kenal akan tuhan kita, berhijrahlah kepada keadaan mengenal akan Allah Taala. Jika sebelum ini, kita selalu sahaja dalam keadaan mensyirikkan Allah, maka berhijrahlah kepada keadaan sentiasa mentauhidkan Allah. Dan jika sebelum ini kita sentiasa mengharapkan balasan dan ganjaran pahala serta syurga, maka berhijrahlah kepada keadaan sentiasa mengharapkan rahmat dan redhaNya sahaja.
Hijrah dan taubat juga, merupakan dua perkara yang tidak dapat dipisahkan... tiada hijrah tanpa taubat, dan tiada taubat tanpa hijrah. Taubat itu ertinya kembali. Dan mengikut kefahaman dari kaca mata ilmu hakikat dan makrifat, hakikat taubat itu ialah "MENYERAHKAN KEMBALI DIRI KITA ZAHIR DAN BATIN".
Penyerahan yang dilakukan itu pula, adalah penyerahan total, sehingga sampai kepada tahap nyawa kita. Kerana pada hakikatnya, tiada yang sebenar-benar milik kita, melainkan semuanya adalah hak mutlak Allah Taala. Ke-Aku-an diri kamu itu, sebenarnya tiada. Yang wujud, ujud, dan maujud, hanyalah ke-AKU-an Allah Azzawajalla semata-mata.
Akhir Kata buat para sahabat;
"SALAM MAAL HIJRAH"

No comments:

Post a Comment