Tuesday 28 February 2017

"Perhiasan Yang Sangat Indah"

"Perhiasan Yang Sangat Indah"
Salam Sekalian Muhammad...
Sangat sulit menjelaskan hakikat dan makrifat kepada orang-orang yang mempelajari agama hanya pada tataran Syariat sahaja, menghafal ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadis akan tetapi tidak memiliki ruh daripada Al-Qur’an itu sendiri. Padahal hakikat dari Al-Qur’an itu adalah Nur Allah yang tidak berhuruf dan tidak bersuara, dengan Nur itulah Rasulullah SAW memperoleh pengetahuan yang luar biasa dari Allah SWT.
Hafalan tetaplah hafalan dan itu tersimpan di otak yang dimensinya rendah tidak akan mampu menjangkau hakikat Allah, otak itu baharu sedangkan Allah itu adalah Qadim sudah pasti Baharu tidak akan sampai kepada Qadim. Kalau anda cuma belajar dari dalil dan mengharapkan dapat sampai ke hadirat Allah dengan dalil yang anda miliki maka PASTI anda tidak akan sampai ke hadirat-Nya.
Ketika anda tidak sampai ke hadirat-Nya sudah pasti anda sangat hairan dengan ucapan orang-orang yang sudah bermakrifat, boleh berjumpa dengan Malaikat, berjumpa dengan Rasulullah SAW dan melihat Allah SWT, dan anda menganggap itu sebuah kebohongan, dan sudah pasti anda mengumpulkan lagi puluhan bahkan ratusan dalil untuk membantah ucapan para ahli makrifat tersebut dengan dalil yang menurut anda sudah benar, padahal kadang kala dalil yang anda berikan justeru sangat mendukung ucapan para Ahli Makrifat cuma sayangnya matahati anda dibutakan oleh hawa nafsu, dalam Al-Qur’an disebut Khatamallahu ‘ala Qulubihim (Tertutup mata hati mereka) itulah hijab yang menghalangi anda menuju Tuhan.
Rasulullah SAW menggambarkan Ilmu hakikat dan makrifat itu sebagai “Haiatul Maknun” ertinya “Perhiasan yang sangat indah”. Sebagaimana hadis yang dibawakan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya sebahagian ilmu itu ada yang diumpamakan seperti perhiasan yang indah dan selalu tersimpan yang tidak ada seorang pun yang mengetahui kecuali para Ulama Allah. Ketika mereka menerangkannya maka tidak ada yang mengingkari kecuali orang-orang yang biasa lupa (tidak berzikir kepada Allah)”
(H.R. Abu Abdir Rahman As-Salamy)
Di dalam hadis ini jelas ditegaskan menurut kata Nabi bahawa ada sebahagian ilmu yang tidak diketahui oleh siapa pun kecuali para Ulama Allah yakni Ulama yang selalu Zikir kepada Allah. Ilmu tersebut sangat indah laksana perhiasan dan tersimpan rapi yakni ilmu Tariqat yang di dalamnya terdapat amalan-amalan seperti Ilmu Latahif dan lain-lain.
Masih ingat kita cerita nabi Musa dengan nabi Khidir yang pada akhir perjumpaan mereka membangunkan sebuah rumah untuk anak yatim piatu untuk menjaga harta berupa emas yang tersimpan dalam rumah, kalau rumah tersebut dibiarkan sahaja maka emasnya akan dicuri oleh perompak, harta tersebut tidak lain adalah ilmu hakikat dan makrifat yang sangat tinggi nilainya dan rumah yang dimaksud adalah ilmu syariat yang harus tetap dijaga untuk membentengi agar tidak jatuh ke tangan yang tidak berhak.
Semakin tegas lagi pengertian di atas dengan adanya hadis nabi yang diriwayatkan dari Abu Hurairah sebagai berikut:
“Aku telah hafal dari Rasulullah dua macam ilmu, pertama ialah ilmu yang aku dianjurkan untuk menyebar luaskan kepada sekalian manusia iaitu Ilmu Syariat. Dan yang kedua ialah ilmu yang aku tidak diperintahkan untuk menyebar luaskan kepada manusia iaitu Ilmu yang seperti “Hai’atil Maknun”. Maka apabila ilmu ini aku sebar luaskan nescaya engkau sekalian memotong leherku (engkau menghalalkan darahku).
(H.R. Thabrani)
Hadis di atas sangat jelas jadi tidak perlu diuraikan lagi, dengan demikian barulah kita sedar kenapa banyak orang yang tidak senang dengan Ilmu Tariqat? Kerana ilmu itu memang amat rahsia, bahkan para sahabat nabi pun tidak diizinkan untuk disampaikan secara umum, kerana ilmu itu harus diturunkan dan mendapat izin dari Nabi, dari nabi izin itu diteruskan kepada Khalifah nya, terus kepada para Aulia Allah sampai saat sekarang ini.
Jika ilmu Hai’atil Maknun itu disebarkan kepada orang yang belum berbait zikir atau “disucikan” sebagaimana telah Allah firmankan dalam Al-Quran surat Al-‘Ala, orang-orang yang cuma Ahli Syariat semata-mata, maka sudah barang tentu akan timbul anggapan bahwa ilmu jenis kedua ini yakni Ilmu Tariqat, Hakikat dan Makrifat adalah Bidaah dlolalah.
Dan mereka ini mempunyai Iktiqat bahawa ilmu yang kedua tersebut jelas diingkari oleh syarak. Padahal tidak demikian, bahawa hakikat ilmu yang kedua itu tadi justeru merupakan inti sari daripada ilmu yang pertama ertinya ilmu Tariqat itu inti sari dari Ilmu Syariat.
Oleh kerana itu jika anda ingin mengerti Tariqat, Hakikat dan Makrifat secara mendalam maka sebaiknya anda berbai’at sahaja terlebih dahulu dengan Guru Mursyid (Khalifah) yang ahli dan diberi izin dengan taslim dan tafwidh dan redha. Jadi tidak cukup hanya melihat tulisan buku-buku lalu mengingkari bahkan mungkin mudah timbul prasangka jelek terhadap ahli tariqat.
Dalam setiap peristiwa yang mewarnai kehidupan ini, seringkali kita tidak mampu atau tidak mahu menangkap kehadiran Allah dengan segala sifat-sifatNya. Padahal sifat-sifat Allah sangat terkait erat dengan ayat-ayat kauniyah-Nya yang terhampar di atas muka bumi-Nya.
Betapa Allah melalui ayat-ayat kauniyahNya, memang ingin menunjukkan keMaha Kuasaan-Nya dan keMaha Besaran-Nya agar hamba-hamba-Nya senantiasa sedar diri, waspada, dan berhati-hati dalam bertindak dan berperilaku agar tidak mengundang turunnya sifat JalilahNya yang tidak akan mampu dibendung, apalagi dilawan oleh siapa pun, dengan upaya dan sarana kekuatan apa pun tanpa terkecuali, kerana memang Allah lah satu-satunya pemilik kekuatan dan kekuasaan terhadap seluruh makhlukNya.

No comments:

Post a Comment