Sunday 26 February 2017

Apa itu Erti Allah Maha Besar?

Apa itu Erti Allah Maha Besar?
Rahsia Allah di Sebalik Amalan
Di kala hati kita “sampai” kepada Allah, jangan lagi terpandangan dan jangan lagi terhenti pada sifat dunia, sifat benda, mahu pun pada sifat amal dan apa lagi pada sifat balasan pahala. Di kala melihat kepada sesuatu, hendaklah kita lihat apa yang di sebalik sesuatu. Begitu juga dalam kita mengerjakan amal ibadat. Di sebalik amal dan di sebalik ibadah itu sesungguhnya ada Allah bersertanya (inilah yang dikatakan rahsia amal). Di sebalik amal itu adanya Allah. Di sebalik amal bukan ada balasan pahala dan di sebalik ibadat bukan ada ganjaran syurga.
Di sebalik amal itu ada Allah dan di sebalik ibadat itu ada Allah, inilah amalan-amalan orang yang ikhlas. Sekalipun syurga neraka dan pahala itu ada, buat apa untuk diingat, buat apa untuk dikenang dan buat apa untuk dinanti benda yang belum tentu dapat. Tidakkah syurga, neraka atau pahala itu makhluk muhadas (makhluk yang menerima binasa) buat apa diingat barang binasa, barang yang belum tentu dapat, dan buat apa kepada barang yang mati, apa salah kalau kita sama-sama ingat kepada Allah. Allah kekal, Allah hidup, Allah bukan benda mati, Allah adalah barang yang sudah tentu ada dan barang yang sudah tentu dapat.
Syurga, pahala, ganjaran, bidadari, payung emas, sungai susu dan madu yang mengalir di bawahnya termasuk neraka, belum tentu kita dapat kerana ia adalah milik orang bukannya milik kita. Kalau syurga, neraka atau pahala itu milik kita dan hak kita, senang kita atur dan senang kita tempah. Ini semuanya milik orang dan hak orang (tidak ada satu pun milik kita), jadi kenapa nak harap hak orang, lebih baik kita harap Allah, sudah tentu ada, barang yang pasti dapat dan sudah pun tersedia ada di depan mata kita sekarang ini.
Kenapa tuan-tuan suka sangat mengejar barang yang belum tentu? Barang yang sudah tentu dapat dan barang yang sudah tentu ada, kenapa tuan-tuan tak mahu? Pelik betul tuan-tuan ni, barang yang sudah ada di depan mata masih lagi mencari barang yang belum tentu ada.
Kenapalah tuan-tuan ini dilahirkan sebagai manusia, adalah lebih baik jadi haiwan, ada akal tetapi tidak mahu guna untuk mendapatkan Allah. Masih mencari yang lain berbanding mencari Allah! Masih mencari barang mati, barang palsu, barang belum tentu dapat, barang yang masih di dalam laut, barang tidak kenal dan masih juga mencari barang yang binasa.
Ayam kalau ditabur emas dan ditabur jagung, malahan jagung juga yang dipilihnya. Biarpun emas bernilai tinggi namun jagung juga yang menjadi pilihan kerana silau dengan sama-sama bewarna kuning. Apakah kita sama dengan sifat haiwan yang bernama ayam? Pelik betulkan manusia ini! Elok-elok jadi manusia (sebaik kejadian) tetapi masih juga ingin jadi ayam…
Mulai hari ini, jangan letak selain Allah dalam akal fikiran, mari kita sama-sama letak Allah. Letak Allah di sebalik syurga, letak Allah di sebalik neraka, letak Allah di sebalik pahala dan letak Allah di sebalik makhluk! Kenapa letak pahala di sebalik solat, kenapa letak syurga di sebalik amal? Pahala boleh buat apa dan syurga boleh buat apa? Semua itu adalah makhluk yang bersifat mati, bersifat binasa dan bersifat sementara. Buat apa ingat kepada benda mati dan buat apa ingat kepada benda palsu, adalah lebih baik kita ingat kepada yang hidup, yang kaya, yang gagah, yang kebal, yang kekal dan yang maha berkuasa (Allah)…
Bukan ada sesuatu di sebalik sesuatu, sesungguhnya di sebalik sesuatu itu adanya Allah. Allahlah di sebalik sesuatu, Allahlah di sebalik amal, Allahlah di sebalik ibadah, Allahlah di sebalik dunia, Allah di sebalik solat dan Allahlah juga di sebalik apa jua.
Anggaplah semua amal ibadah itu datangnya dari Allah, kembalinya juga kepada Allah dan amal serta pengamalnya juga adalah berserta Allah. Lihat sesuatu sesungguhnya tersembunyi wajah Allah di sebalik sesuatu. Apabila wajah Allah yang terselindung di sebalik sesuatu, janganlah pandang sesuatu, adalah lebih baik pandang Allah di sebalik sesuatu!
Para guru terdahulu, ada menyatakan kepada kita, bahawa di dalam diri kita itu ada terdapat suatu rahsia. Manakala di sebalik rahsia itu, masih terdapat satu lagi rahsia (rahsia di sebalik rahsia). Yang dimaksudkan dengan rahsia di sebalik rahsia itu, adalah merujuk kepada diri roh kita. Yang menjadi rahsia kepada diri roh kita itu adalah Allah. Kalau kita tingkatkan lagi ilmu melalui sudut makrifat, yang menjadi rahsia di sebalik rahsia itu adalah antara Nur Muhamad dengan Allah. Allah rahsia Muhamad dan Muhamadlah rahsia Allah. Inilah yang dikatakan rahsia di sebalik rahsia (mengikut suluhan ilmu makrifat).
Diri zahir kita ini tempat tersembunyinya roh. Manakala di sebalik roh pula adalah tempat tersembunyinya Nur Muhamad. Di dalam diri Nur Muhamad pula terkandung dan tersembunyinya Nur Allah. Diri kita ini menyimpan dan menanggung tiga rahsia. Pertama menanggung rahsia roh, keduanya menanggung rahsia Muhamad dan ketiganya menaggung rahsia Allah.
Rahsia Allah ada tersembunyi di sebalik Nur Muhamad. Rahsia Nur Muhamad tersembunyi di sebalik roh. Rahsia roh pula ada tersembunyi di sebalik nyawa keluar masuk. Manakala rahsia nyawa yang keluar masuk itu ada tersembunyi di sebalik tubuh kita. Untuk itu kenallah diri, kenallah diri dan kenallah diri, moga-moga mengenal Allah. Dengan mengenal diri moga-moga tuan-tuan akan dapat mengenal roh sesudahnya (sebenar-benar diri itu adalah roh kita). Mengenal roh rata-rata, Allah akan dapat dikenal dengan nyata.
Setelah nyatanya roh, yang ghaib itu tidak lagi menjadi ghaib malahan tidak lagi dapat menghilangkan diriNya. Yang nyata itu tidak lagi dapat berselindung di sebalik makhluk dan tidak lagi dapat bersembunyi di sebalik yang muhadas (yang bersifat baharu). Yang nyata itu tetap nyata sekalipun ia bersembunyi. Tidakkah Allah itu nyata? Jika Allah itu nyata, terang dan jelas, macam mana sembunyi sekalipun ianya tetap tidak terlepas dari pandangan.
Allah itu besar dan maha besar dari segala sekalian makhluk, bagaimana mungkin yang besar boleh bersembunyi di sebalik yang kecil. Sebaliknya yang kecillah sepatutnya bersembunyi di sebalik yang besar.
Bagaimana mungkin Allah tersembunyi, sedangkan segalanya kecil (mana mungkin yang kecil dapat menutup yang besar).
Sungguh pun Allah itu teramat-amat besar tetapi yang besar itulah yang tuan-tuan tidak dapat melihatnya. Apa silap dan di manakah salahnya? Sehingga yang kecil tidak dapat untuk melihat yang besar? Di mana silapnya kita, di mana silapnya tuan-tuan dalam hal ini sehingga tidak dapat melihat Allah yang maha besar, maha dekat, maha terang dan maha hampir?
Cuba buat-buat tanya diri masing-masing, kenapa boleh terjadi sebegini, siapa yang patut dipersalahkan? Apakah salah ibu mengandungkan tuan? Kalaulah mereka tahu (ibu tuan-tuan) tahu megandung anak yang tidak mengenal Allah, barang kali ibu kita pun tidak mahu (menyesal) mengandungkan kita. Barang kali dunia ini pun tidak mahu menanggung jasad orang seperti tuan-tuan! Sedarlah…
Yang gelap sudah berlalu, tinggallah terang semakin terang. Terang tidak sekali-kali akan meyembunyikan cahaya. Yang kecil tidak lagi menjadi halus dan yang payah tidak lagi menjadi sulit. Bila mentari mula memancar sirnanya tidak ada sesiapa yang boleh menghalang, mendinding, menutup mahu pun menghijabnya. Kabus tebal yang menyelubungi diri akan segera berlalu dengan sendirinya.
Dengan berlalunya kabus (keberadaan diri), menjelmalah sirna terang (wajah Allah), tanpa terselindung atau terdinding lagi, seterang hati mereka yang mengenal Allah. Di situlah nantinya kita akan dapat melihat Allah di sebaliknya. Untuk itu, beramallah apa pun tetapi jangan lupa untuk menilik Allah di sebaliknya!
Allah terlalu terang untuk dilihat dengan biji mata, biji mata tidak termampu untuk memandang, menilik atau untuk melihatNya. Hanya Dia sahaja yang boleh memandang Dia. Penglihatan akan menjadi kabur dan malahan akan menjadi buta bila mana memandang atau melihat Allah. Setelah mata menjadi buta, barulah Allah dapat dilihat, dipandang dan ditilik. Selagi celik dan selagi tidak buta, selagi itulah Allah tidak akan dapat tuan-tuan pandang. Seandainya mata kita terlihat Allah secara tidak sengaja apa lagi kalau sengaja, seluruh alam akan menjadi kabur malahan akan terkubur dan akan leburlah alam.
Apabila pandangan terhadap makhluk sudah kabur, terkubur, lebur dan lenyap, di situlah pandangan terhadap Allah tidak lagi terselindung, tidak lagi terdinding dan tidak lagi terhijab oleh sesuatu apa pun. Di mana sahaja dialihkan pandangan kita, di situlah juga akan kelihatan wajah Allah bersertanya.
Diri kita ini telah dijadikan tempat rahsia di sebalik rahsia dan menjadi rahsia kepada diri kita sendiri (kalau kita tidak mengenal diri).
Yang menjadi rahsia bagi nama adalah sifat. Yang menjadi rahsia bagi sifat adalah gerak (afaal). Yang menjadi rahsia bagi afaal adalah nyawa. Yang menjadi rahsia bagi nyawa adalah roh. Yang menjadi rahsia bagi roh adalah Nur Muhamad. Yang menjadi rahsia bagi Nur Muhamad adalah Nur Allah. Yang menjadi rahsia bagi Nur Allah tu adalah makrifat (mengenal). Setelah mengenal Allah segala-galanya tidak lagi menjadi rahsia. Pokok pangkalnya di sini adalah mengenal Allah (makrifat).
Sebenarnya Allah tidak bersembunyi atau berselindung. Allah barang nyata dan barang terang. Sayangnya tuan-tuan tidak mengenal barang yang dekat sebaliknya barang yang jauh, tahu pula tuan-tuan kejar tetapi barang yang dekat langsung buat endah tak endah. Inilah sejahil-jahil manusia.
Diri kita banyak menyimpan rahsia ketuhanan sayangnya tidak ramai yang menyelaminya. Bila mana diri zahir menyingkap tabir diri yang batin, maka akan terlihatlah diri yang batin. Setelah tersingkap diri yang batin maka berserahlah kepada batin, hanya batin yang boleh mengenal batin. Setelah batin mengenal batin, di situlah kita akan mengenal Allah. Amiin²
Hj. Shaari Mohd Yusof
Makrifat Tok Kenali

No comments:

Post a Comment