Sunday 26 February 2017

ILMU MAKRIFAT vs RASA MAKRIFAT

ILMU MAKRIFAT vs RASA MAKRIFAT
Ilmu menyedarkan manusia akan adanya Allah dengan akal, sedangkan makrifat membawa manusia ke/hadirat-Nya. Ilmu diperoleh dengan mencari, mempelajari, menelaah sehingga memperoleh sebuah kesimpulan dan kesimpulan tersebut disebut sebagai pengetahuan. Untuk mendapatkan ilmu diperlukan pancaindera sebagai media penerimanya.
Makrifat tidak dapat diperolehi melalui pencarian atau pun penelitian, tidak dapat terhasil dari diskusi dan tidak pula melalui kajian-kajian semata. Berpuluh tahun kita mempelajari makrifat dan beribu buku yang kita baca tidak akan menghantarkan kita kepada makrifat di hati... Hanya sekadar ilmu di akal.
Apabila diuji oleh Allah... Gagal menyerlahkan akhlak sebagai ahli makrifat... Ahlillah. Kalau ada sebuah tulisan/karangan/kitab yang mengupas tentang makrifat adalah sekadar suatu ilmu. Itu hanyalah ilmu makrifat bukan makrifat itu sendiri, yang tentu sahaja tidak membawa rohani kita sampai ke alam makrifat.
Makrifat yang dimaksudkan adalah "Makrifatullah", yang sering disederhanakan maknanya menjadi "Mengenal Allah". Makrifat boleh diertikan sebagai keadaan di mana manusia benar-benar telah mengenal Tuhan sehingga tidak ada keraguan sedikit pun dalam hati batinnya bahawa sesuatu yang diyakini itu benar-benar Allah adanya.
Seperti ungkapan Syeikh Abu Yazid Al-Bustami tentang makrifat, “Tiada keraguan sedikit pun bahawa yang aku saksikan adalah Allah”. Makrifat dalam pandangan Syeikh Abu Yazid Al-Bustami adalah Penyaksian (Musyahadah), sebagai syarat awal untuk melayakkan seseorang sebagai telah mengenal Tuhannya. Syarat seseorang disebut sebagai muslim apabila telah mengakui Allah dan Rasul-Nya dalam sebuah kalimat pendek, “Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi Muhammad adalah Rasul-Nya”.
Dalam tahap selanjutnya tentu kalimat itu bukan sekadar diucapkan belaka, tetapi kita benar-benar telah menyaksikan Allah SWT dan telah menyaksikan Muhammad sebagai Rasul sehingga kita tidak tergolong sebagai orang yang bersaksi palsu atau hanya sekadar mengaku-ngaku.

No comments:

Post a Comment