Tuesday 27 September 2016

NGO Islam

*Memorandum Kesepakatan Gabungan Angkatan Melayu Islam Nusantara (AMIN) Dan NGO Islam Dalam Malaysia*

1. Merujuk kepada PEW Research Centre, populasi umat Islam di dunia pada tahun 2014 adalah di anggarkan sebanyak 1.7 Bilion orang. Negara Arab Saudi mempunyai seramai 25.5 Juta orang dan di anggarkan kurang daripada 5% dari jumlah 1.7 bilion seluruh dunia yang berfahaman Wahabi Salafi. Manakala dianggarkan golongan Syiah berjumlah 8% daripada penduduk Islam dunia.

2. Ulama terkemuka dunia termasuk daripada Arab Saudi, Morocco, Algeria, Indonesia dan agensi-agensi keselamatan daripada pelbagai negara seperti Malaysia, Pakistan, Kanada, UK, USA dan pelbagai lagi negara telah mengenal pasti gejala eksterimism  dan keganasan yang dilakukan atas nama Islam dilakukan oleh segelintir mereka yang berfahaman Salafi Jihadi.

_Diriwayatkan dari Umar Al-Khattab R.hu bahawa Baginda Rasulullah SAW bersabda:_

_“Aku berwasiat kepada kalian untuk mengikuti sahabat-sahabatku, kemudian orang-orang yang datang sesudah mereka, kemudian orang-orang yang datang sesudah mereka”. (Dan termasuk dalam rangkaian hadis ini): “Hendaklah kalian berpegang kepada majoriti (Jemaah) dan jauhilah perpecahan, kerana syaitan akan menyertai orang yang menyendiri. Dia (syaitan) dari dua orang akan lebih jauh. Maka barangsiapa mengingingkan tempat lapang di syurga hendaklah ia berpegang teguh kepada Jemaah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)_

3. Kami menghormati, bergabung dan menyokong penuh resolusi yang dibuat oleh lebih 250 alim-ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang mewakili majoriti penduduk dunia Islam dalam Muktamar di Chechnya pada tanggal 25 hingga 27 Ogos 2016 baru-baru ini, yang antara lain telah memberikan definisi fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebagai berikut:

“Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah Al-Asya’irah dan Al Maturidiyah dalam akidah, empat mazhab Hanafi, Maliki, Syafii dan Hambali dalam Fikih, serta ahli tasawuf yang murni – ilmu dan akhlak – para ulama yang meniti jalannya.”

Definisi fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah daripada muktamar ini juga selaras dengan Resolusi Muzakarah Ulama Nusantara yang dianjurkan pada 22 Mei 2016 bertempat di Hotel Shangri-La, Putrajaya yang menekankan manhaj pendidikan warisan leluhur Ulama Nusantara adalah berteraskan prinsip Ahlus Sunnah Wal Jamaah dengan pedoman:

i) Akidah Al-Asya’rah dan Al Maturidiyah
ii) Fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan mazhab-mazhab muktabar (Hanafi,Hambali dan Maliki)
iii) Pendekatan Tauhid Irfani menerusi Tarekat Tasawuf Imam Al Ghazali, Syeikh Junaid al Baghdadi, Ibnu Arabi serta ulama tasawuf yang muktabar.

Selain itu, ia turut mengukuhkan kenyataan YBhg Tan Sri Dato' Haji Othman Bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM di dalam akhbar Berita Harian yang menyatakan bahawa:
“Anutan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi tradisi di Malaysia merujuk kepada pengikut mazhab syafieyyah dan dari segi teologinya beraliran Asya'irah tanpa menolak tiga mazhab lain yang muktabar. Dari segi akhlak atau rohaniyahnya dipengaruhi oleh pandangan imam al Ghazali”
Kesepakatan Ulama terhadap pegangan yang di atas bertepatan dengan dalil-dalil berikut:
Firman Allah SWT yang bermaksud: _“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai..”_ (Surah Ali-‘imran, ayat:103)
_Daripada Anas bin Malik R.hu berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya umatku tidak akan bersepakat dalam kesesatan, jika kalian melihat perselisihan maka hendaklah kalian berpegang dengan al-Sawad al-`Azham (Majoriti)”_ (Hadis riwayat ibnu Majah)

4. Berbeza pula dengan fahaman wahabi yang tidak sesuai di amalkan di Malaysia. Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin selepas sesi Muzakarah Fatwa Kebangsaan diadakan pada tahun 2015. Hal ehwal agama Islam di Malaysia di bawah kuasa Raja-raja Melayu yang diamanahkan pula kepada Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam di setiap negeri. Negeri-negeri yang mengeluarkan kenyataan larangan atau sekatan penyebaran fahaman wahabi adalah seperti berikut:

i) Johor
ii) Negeri Sembilan
iii) Selangor
iv) Perak
v) Kedah
vi) Pahang

5. Fahaman Wahabi di ambil daripada fahaman Ibnu Taimiyah yang disegarkan semula oleh Muhammad Bin Abdul Wahab. Fahaman ini juga merupakan pemangkin kepada gerakan militan ekstrim seperti ISIS seperti yang telah didedahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

6. Justeru itu, Kami mengharapkan agar pegangan majoriti Ulama dihormati dan langkah untuk membanteras fahaman Wahabi, Liberalism, Sekularism dan Syiah perlu dilaksanakan. Kami mendesak agar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan semua Jabatan Agama Negeri-negeri mengharamkan mana-mana penceramah yang mengajar fahaman Wahabisme dalam apa jua bentuk sekalipun. Kami mendesak supaya dibuat kajian yang terperinci bagi kitab-kitab karangan Ibnu Taimiyyah dan Muhammad bin Abdul Wahab bagi menyenaraikan serta memperbetulkan segala bentuk penyelewengan yang tersasar dari fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah yang sebenar dan mengharamkan kitab-kitab karangan mereka dari penerbitan, penjualan dan edaran kepada masayarakat. Ini termasuk membenteras buku-buku yang dikarang oleh mereka yang mengambil fahaman Wahabisme. Bagi negeri-negeri yang belum membuat keputusan terhadap fahaman ini, kami memohon supaya kenyataan dan penguatkuasaan terhadap larangan fahaman ini dilaksanakan dengan segera sebelum menjadi lebih parah lagi.

7. Kami mendesak supaya Kementerian Pendidikan mengambil apa jua langkah yang wajar bagi memperbetulkan kembali silibus pelajaran akidah yang kini menggunakan pendekatan ‘Tauhid Tiga Serangkai’ yang masih diajar di sekolah-sekolah arus perdana dan pusat-pusat pendidikan swasta sehingga pada hari ini.

8. Kami menyarankan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan negeri melaksanakan tapisan keselamatan ke atas semua penjawat jawatan kritikal kerajaan serta penasihat  kerajaan untuk memastikan yang penjawat-penjawat awam dan penasihat kerajaan bukan daripada berfahaman yang boleh membahayakan akidah dan keselamatan negera. Kami difahamkan tapisan keselamatan ini pernah dikuatkuasakan satu ketika dahulu tetapi pada masa kini telah diliberalisasikan. Kami menyarakan supaya tapisan ini diwajibkan semula.

9. Kami merafak sembah kepada Duli Yang Mulia Raja-raja Melayu untuk mencemar duli dalam memainkan peranan yang lebih aktif dan berkesan bukan sahaja dalam  perkara memurnikan kembali kefahaman dan ajaran agama umat Islam mengikut neraca Ahlus Sunnah Wal Jamaah di Malaysia ini, tetapi juga dalam menaungi aspek-aspek pembangunan Islam & modal insan yang merangkumi pendidikan Fardhu ‘Ain termasuk bimbingan kerohanian.

10. Kami menyeru semua pihak untuk mengambil apa jua inisiatif dan pendekatan lain yang dapat membantu dalam memasakkan kembali masyarakat Islam, khususnya generasi muda di tanahair kita, kepada fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah, termasuk mendedahkan kepada sejarah perkembangan Islam di negara kita semenjak beratus-ratus tahun di tangan alim-ulama, khususnya alim-ulama sufi yang beraliran Ahlus Sunnah Wal Jamaah sehingga berhasil diterjemahkan kepada ketamadunan dan peradaban murni & mulia yang diwariskan kepada kita sehingga hari ini. Desakan ini adalah dorongan kami supaya negara Malaysia tidak menjadi kucar kacir seperti yang terjadi di negara-negara Timur Tengah.

11. Kami juga ingin melafazkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada tindakan tegas PDRM dalam menjaga keselamatan negara terutama sekali mengendalikan ancaman elemen pelampau agama. Kami yakin akan kepakaran dan kewibawaan PDRM yang mempunyai pengalaman dalam menangani ancaman komunis, al-maunnah, al-arqam dan lain-lain elemen anti keganasan di dalam negara setakat ini.

12. Memorandum ini di buat dan dipersetujui oleh semua daripada kami seperti yang tersenarai di dalam lampiran A. Kami membuat memorandum ini atas keprihatinan kami ke atas ancaman akidah dan ketenteraman negara.

No comments:

Post a Comment