Saturday, 2 November 2019

Pengganas-Pengganas Yang Menggunakan Agama

Pengganas-Pengganas Yang Menggunakan Agama
Pengganas adalah pengganas, mereka akan cuba menunggani pelbagai platform samada menyertai gerakan politik, perjuangan nationalis, atau agama.
Antara pembakar semangat yang ampuh adalah dengan menggunakan eleman agama dan ketuhanan bagi memperjuangkan kepentingan kelompok mereka. Perkara ini seakan ditonjolkan oleh media hanya berlaku di dalam agama Islam sahaja. Yang mana mereka seakan meletak mutlak bahawa Islam adalah agama keganasan. Walhal tindakan yang dilakukan oleh kumpulan seperti ISIS itu tidak pernah pun mewakili umat Islam malah mereka juga dikecam hebat oleh ulama-ulama Islam di seluruh dunia.
Jika ingin dimainkan sentimen tindakan pengganas yang menggunakan agama itu sebagai imej bagi agamanya maka apa kurangnya gerakan pengganas yang menggunakan agama dalam Hindu, Buddha, Sikh, Kristian dan lain-lain.
Akan tetapi sikap sebegini adalah tidak adil kepada sesebuah agama, kerana ada beza diantara ajaran agama dengan tindakan orang yang menganut ajaran tersebut.
Realitinya, tidak ada agama utama di dunia ini yang mengajar membunuh manusia hanya disebabkan suka-suka atau disebabkan berbeza bangsa semata-mata.
Setiap agama mengajar bahawa nyawa manusia merupakan harga yang sangat bernilai untuk dijaga. Malah jika dilihat di dalam kandungan ajaran agama Islam, Kristian, Hindu, Buddha, Baha’I, Konfusian, dan lain-lain adalah mengandungi ajaran moral dan nilai yang baik terutama dalam soal membentuk sosial masyarakat.
Apa yang dilakukan oleh golongan penunggang agama ini adalah mereka memperjuangkan kepentingan kumpulan mereka bagi menampakan apa yang dibuat oleh mereka itu adalah satu ‘arahan Tuhan’. Walhal tindakan mereka itu bukanlah mewakili kepada ajaran agama yang mereka bawa. Unsur dan imej agama digunakan untuk ‘menghalalkan’ tindakan mereka semata-mata.
Hakikatnya, pengganas tidak memiliki agama.

No comments:

Post a Comment