Sunday 21 January 2018

Hi m

Jika terasa Jantung (hati) itu masih gelisah, ternyata kehidupan yang sedang kita lalui sekarang ini masih belum bertemu dengan kebenaran. Kebenaran itu tiada pada orang lain. Ia ada pada Diri kita sendiri. Makanya, teruslah berusaha dengan mencari maklumat sebanyak mungkin dan memecahkan maklumat itu agar menjadi ilmu.

Mencari maklumat itu, harus banyak membaca, harus banyak bertanya kepada guru, harus banyak uji dan kaji, harus banyak berdiskusi,  berteori.  Maklumat yang kita dapat itu kemudianya haruslah pula dipraktikkan. Mempraktikkan apa yang telah kita dapat dari maklumat inilah yang dikatakan Proses OPERASI  ILMU. Setelah segala maklumat ini diproses dengan pertimbangan AKAL dan  rasa JANTUNG (hati), maka barulah kita boleh tahu samada maklumat itu benar atau salah.

Tanda maklumat itu SALAH  ialah, jantung (hati) masih ragu-ragu, jantung (hati) masih tidak tenang, jantung (hati) masih tidak puas, jantung (hati) masih gelisah, perlakuan kita masih negatif. Segala negativiti ini mengakibatkan perbuatan kita menjadi biadap, kata-kata kita kasar, sikap kita ego dan watak masih sombong. Tanda-tanda ini mungkin kita tidak perasan, tapi cuba tanyakan kepada orang lain tentang perilaku kita, nescaya mereka  mungkin perasan  apa yang kita tidak perasan . Ini tandanya, maklumat itu masih belum menjadi ilmu.

Tanda maklumat itu BENAR ialah, berlaku hal yang berlawanan dari di atas. Tanda benar ialah jantung akan tenang, tidak gelisah, diri menjadi puas hingga tiada lagi soalan yang hendak ditanya,  perlakuan menjadi positif, makin IHSAN, makin IKHLAS , makin  redha, makin berani, makin seronok membantu makhluk dan makin seronok  meneruskan hidup dalam IHSAN. Tiada lagi terdetik sekelumit pun rasa riak, rasa cemburu yang membinasakan, rasa tidak cukup itu dan ini. Inilah tanda maklumat (teori) telah menjadi ilmu (praktikal). Inilah yang dilakukan oleh orang berilmu, tukar teori jadi praktikal !

Tanda orang berilmu adalah, dia KAYA sehingga dia tidak memerlukan apa-apapun lagi. Selagi dia masih memerlukan apa-apa, itu tanda dia masih miskin. Makin berkurangan keperluan hidupnya, makin kayalah dia.

Wahai diri,
Bersolat yang 13 rukun itu adalah Fardhu Ain (wajib). Tetapi Ain yang difardhu-kan (wajib yang menjadi kewajipan)  itu adalah menjadi lebih wajib. Apakah Ain yang difardhukan itu atau apakah Wajib yang diwajibkan itu ?

Ain yang difardhukan itu adalah MENCAPAI HAL DALAM SOLAT!

Capai hal apa ?

Hal yang wajib dicapai dalam solat itu adalah KUSYUK.

Bila mencapai Kusyuk, barulah PERBUATAN BERSOLAT, 13 rukun yang kita lakukan itu jadi bermakna. Barulah solat itu jadi enak, barulah solat itu dikatakan mampu mencegah perbuatan keji lagi munkar.  Ramai orang melakukan PERBUATAN BERSOLAT, tetapi mereka tidak mencapai kusyuk, sebab itu solat sekadar jadi  hal ritual bagi mereka. Sebab itu mereka masih melakukan perbuatan keji dan munkar.

Kenapa ? Sebab tak mencapai Kusyuk !!

Jika sudah kusyuk, mana lagi terlihat dua Nya Dia ? Bila Kusyuk,  kita telah melupakan segala sesuatu. Bila telah lupa kepada segala sesuatu, yang tinggal adalah hal KOSONG, yang tinggal adalah hal yang tidak ingat kepada apapun.
Bila tidak ingat kepada apa-apa pun, maka hal yang TIDAK INGAT (Fana/lupa kepada hal lain) itulah satu-satunya, yang secara automatik menjadi INGATAN.

INGATAN  kepada apa?

Ingatan Kepada KHALIQ (Maha Pencipta).

Kehadiran ingatan kepada Khaliq yang automatik ini, akan secara automatik pula melenyapkan ingatan kepada hal makhluk, maka leburlah hal makhluk. Lenyap dan kosong! Lenyap dalam kekosongan itulah satu-satunya INGATAN  TUNGGAL yang tinggal. Jika INGATAN TUNGGAL ini terus BERKEKALAN dan dibawa ke luar PERBUATAN SOLAT lantas di praktikkan ke dalam segenap PERLAKUAN (af’al) kita seharian, maka inilah hal BAQA’ (Kekal). Inilah nikmat fana (Binasa) yang baqa (Kekal)

HAKIKAT PENCIPTA itu wujud di mana-mana. Maksudnya, DIA ada di segala tempat (dimension) dan DIA ada di segala yang tiada bertempat (dimensionless). DIA tidak berbentuk (formless) tetapi DIA meliputi segala bentuk (Absoluteness). DIA meliputi segala dimensi yang ADA Ruang dan Masa dan DIA meliputi segala dimensi yang TIADA Ruang dan Masa.

Makanya, PERBUATAN BERSOLAT itu ada perlambangan yang hendak disampaikan melalui rukun-rukunnya iaitu Rukun Qalbi (Prinsip jantung/hati), Rukun Fi’li (Prinsip perlakuan anggota badan) dan Rukun Qauli (Prinsip sebutan kata-kata). PERBUATAN BERSOLAT itu ada dimensi yang perlu dituju. Untuk ke sini, ia memerlukan kenderaan yang bernama KUSYUK.  Kusyuk itulah yang membolehkan  kita mengembara dari alam yang BERDIMENSI (dunia yang ada ruang dan masa) kepada alam yang TIADA DIMENSI (alam yang tidak tertakluk kepada ruang dan masa). Bila sudah KENAL alam yang BERDIMENSI dan alam yang TIADA DIMENSI, maka barulah dikatakan telah ada pengalaman mencapai hal solat.

Bila telah ada pengalaman mencapai hal solat, makanya barulah kita KENAL HAL KETUHANAN. Nanti barulah kita benar-benar rasa HAQQUL YAKIN bahawa Hakikat Pencipta itu WUJUD dan wujudNya  meliputi segala alam berdimensi dan meliputi segala alam yang  tidak berdimensi. Pengalaman itulah yang akan membenarkan apa yang kita yakini. Bukan sekadar main ikut-ikut yakin ! Bukan sekadar yakin hanya pada lidah !

Bila sudah ada PENGALAMAN  SOLAT, barulah akan terasa GETARAN  JIWA. Jika tidak, ia akan hanya jadi cakap-cakap kosong sekadar penyedap bicara. Mulut berkata semuanya DIA, itu DIA, ini DIA, sana DIA, sini DIA, namun diri tiada pengalaman merasakan DIA. Tiada pengalaman merasakan DIA, baik di alam berdimensi mahupun di alam tanpa dimensi. Akhirnya, bak kata-kata " SEMUANYA DIA"  itu sekadar menjadi sebutan di lidah, sekadar penyedap bicara sahaja! Samada kita ada pengalaman itu atau tidak, hanya diri kita saja yang tahu. Kita boleh sahaja membohongi diri orang lain, tapi satu-satunya diri yang kita tidak boleh bohongi adalah  Diri kita sendiri !

Makanya,

Jika tidak menunaikan PERBUATAN SOLAT, bagaimana kita boleh dapat pengalaman? Bagaimana  kita tahu kita akan menduakan Dia, sedangkan PERBUATAN SOLAT itu tidak pun dibuat? Bukankah kita kena buat dulu baru tahu ? Dah buat solat, baru tau menduakan atau tidak. Jika kita telah bersolat dan masih terasa menduakan DIA, itu tandanya solat kita tidak sempurna, sebab masih ternampak DUALITY (DUA), sedangkan DIA itu ESA dan TUNGGAL (Ahad).  Bila hal di dalam solat tidak sempurna, tentunya hal di luar solat juga akan tidak sempurna, sebab, hal yang di dalam itu menunjukkan hal di luar. Hal di luar pula, menunjukkan hal yang di dalam. Segalanya beriringan dan berpasangan! Jika prinsip berpasangan ini lebur (fana) maka barulah tiada DUANYA DIA (Ahad/Oneness). Lebur (fana) ini pula haruslah benar-benar dirasai, bukan sekadar fana di lidah sahaja.

Jika boleh kusyuk di dalam solat tentunya boleh kusyuk di luar solat, jika sudah kusyuk di luar solat, tentunya akan kusyuk di dalam solat. Jika di dalam solat yang  13 rukun itupun kita tidak boleh mencapai kusyuk, maka jangan harap mencapai kusyuk di luar solat!

Nak tau boleh kusyuk atau tidak, maka buatlah ! Kalau tak buat, maka mana nak tau kusyuknya ? Jika tak kenal salah, mana nak tau benarnya?

MAKA APA YANG HARUS KITA BUAT ?

Tidak ada jalan mudah. Tiada jalan pintas. Semuanya harus ikut aturan. Durian tidak akan berbuah esok jika baru semalam benihnya disemai. Sesudah benihnya disemai, harus pula pokoknya dijaga dengan elok dari anak hingga matang. Bertahun-tahun kemudian, baru boleh dapat buah. Sperma ambil masa 9 bulan untuk jadi bayi, dan bayi ambil masa berpuluh tahun untuk jadi manusia matang. Inilah Undang-Undang alam (Syariat) yang telah ditetapkan.  Makanya undang-undang untuk menjadi manusia ARIFF adalah BELAJAR, BELAJAR DAN TERUS BELAJAR ! Inilah Syariat yang di-Syariatkan. Hasil dari belajar, akan mendapat buah. Buah dari ilmu yang benar adalah AMAL PERBUATAN yang baik.

Sentiasa amalkan dgn istiqomah. Belajar harus PERSISTENT (tetap tekun) dan ketekunan itu harus CONSISTENT (berterusan tanpa putus). Belajar dengan tekun dalam apa jua bidang,  sentiasa bertanya, sentiasa uji dan kaji. Timbang guna AKAL dan setelah menimbang, akhirnya buat keputusan menggunakan SUARA JANTUNG (suara hati).

Jika tidak SABAR, jika tidak TEKUN, jika tidak TAAT dan jika tidak MAHU, maka tidaklah menjadi ARIFF. Maka salahkan saja diri sendiri ! Engkau yang memilih sendiri apa yang engkau buat. Apa yang engkau buat, itulah yang engkau dapat.

Maka buatlah Fardhu Ain dan capailah hal Ain yang difardhukan itu !

No comments:

Post a Comment