Friday 17 November 2017

Perjalanan Makrifatulllah*


*Tahap-Tahap Ilmu Dalam Perjalanan Makrifatulllah*
1. Ilmu Syariat
Ilmu syariat ini sejalan dengan Ilmu Sifat 20. Dengan mempelajari Ilmu Sifat20 ini, sang murid tidak sewajarnya dibelenggu dengan dalil akal dan nas semata-mata. Ia perlu mendalami sifat 20 itu yang tertakluk dalam Salbiah, Nafsiah dan Maani yang hadir pada dirinya itu bahawa harus dikembalikan sebagai Amanah kepada Al-Haq. Apabila Amanah itu dikembalikan dengan ditasydiqkan di dalam hati iaitu dengan keyakinan yang putus tanpa syak dan waham; La haiyun, La qadirun, La muridun, La ‘alimun, La sami’un, La basirun, La mutakalimun, akan tersingkaplah kepada sang murid dengan keperolehan ‘rasa’. ‘Rasa’ iniah yang akan menyingkap ‘Rahsia Allah’ yakni Wahdaniyyah. Seperti contohnya apabila dipulangkan di antara salah satu sifat Nafsiah “bersalahan Allah Ta’ala dari segala yang baharu,” maka pada ketika itu luputlah sifat-sifat Allah yang sebelumnya ada dikatakan kepada hamba, melainkan Allah jua yang mempunyai Sifat, hamba yang tinggal kini sebagai sandaran tempat mengEsakannya. Tatkala itu Allah itu hidup dengan sifat hayatNya, berkata-kata dengan KalamNya, mendengar dengan pendengaranNya, mengetahui dengan IlmuNya, berkehendak dengan kehendakNya, berbuat dengan perbuatanNya, melihat dengan penglihatanNya. Apabila si hamba luput zahir dan batin, tatkala itu tiada yang tahu, kerana keputusan ilmu adalah tidak mengetahui, maka Sifat sebenarnya tidak bercerai dengan Zat, walaupun dalam pandangan ilmu tampak bercerai, Sifat dan Zat adalah satu jua; Allah hidup dengan ZatNya, Allah berkata-kata dengan ZatNya, mengetahui dengan ZatNya, berkuasa dengan ZatNya, mendengar dengan ZatNya, melihat dengan ZatNya, berkehendak dengan ZatNya. Akhir tahapan makrifat itu; Yang Mengenal adalah Yang Dikenal jua.
Salbiah |1 sifat | Wujud
Nafsiah | 5 sifat | Qidam, Baqa, Mukhalafatuhu lilhawadis, Qiyamuhu binafsih, Wahdaniah
Maani | 7 sifat | Qudrat, Iradat, Ilmu, Hayat, Sama’, Basar, Kalam
Maanawiyyah | 7 sifat | kaunuhu qadiran, kaunuhu muridan, kaunuhu ‘aliman, kaunuhu sami’an, kaunuhu basiran, kaunuhu mutakaliman
2. Ilmu Thariqah
Thariqah erti dasarnya ialah perjalanan mencari Allah. Perjalanan itu ada di dalam zikir yang ditalqinkan serta latihan-latihan suluk. Jauh atau singkatnya perjalanan tergantung kepada pengalaman kerohanian seseorang itu. Ada yang berjaya sampai kepada matlamatnya. Ada pula yang tidak mendapatkan apa-apa hasilnya selain penat-lelah. Ada pula yang tertinggal separuh jalan, gagal, kecewa atau putus-asa. Ada yang masih meneruskan perjalanan walaupun jasadnya sudah pun terkubur di bumi. Ada pula yang thariqahnya bersambung-sambung dengan thariqah-thariqah lainnya untuk sampai kepada matlamatnya.
3. Ilmu Haqiqat
Haqiqat berdasarkan kepada Al-Haq. Adapun difinisi Al Haq dalam ilmu haqiqat (lihat tasawuf) bukanlah bersandarkan semata-mata kepada Tuhan. Apa yang dimaksudkan Al Haq ialah hubungan atau rangkaian milik bersama antara Tuhan dan hamba. Contohnya seperti Surah Al Fateha yang mengandungi 7 ayat. Tiga ayat yang teratas adalah khusus bagi Allah, manakala 4 ayat ke bawah khas bagi hamba. Maka solat juga pada pengertian orang haqiqat ialah ‘tempat pertemuan antara Tuhan dan hamba’, dan bukanlah solat itu suatu sembahan atau puja-pujian kepada Allah semata-mata.
Justeru itu, Ilmu Haqiqat adalah terkait dengan Ilmu Mengenal Diri. Tanpa diri manusia, maka Ilmu Haqiqat ini tidak akan wujud. Menurut kata Syekh Sufi Ahmad al Alawi, “orang yang mengenal diri itu adalah lebih dalam makrifatnya daripada orang yang mengenal Allah.” Ada pendapat yang mengatakan bahwa Ilmu Haqiqat didapati langsung daripada Allah, disebut juga sebagai Ilmu Laduni dengan tanpa usaha. Namun demikian ada juga Ilmu Haqiqat ini yang dibimbing oleh guru-guru mursyid yang terkenal seperti Hamzah Fansuri dengan doktrinnya Wujudiyyah, Ibnu Arabi dengan doktrinnya Wahdat al Wujud. Dan yang paling sistematis sekali ialah Fadullah Burhanpuri, seorang ulama Sufi dari India yang telah menyusun kitab Maratib al Sab’ah (Martabat Tujuh), kemudian kitab tersebut telah dikirimkan pengarangnya sendiri kepada Syekh Shamsuddin al Sumaterani semasa memegang tampuk kerajaan Aceh sebagai menteri, kemudian kitab yang berisi ajaran Martabat Tujuh ini telah disusun pula oleh Syekh Shamsuddin al Sumaterani ke dalam kitabnya berjudul Jauhar al Haqaiq tanpa mengubah sebarang dasar. Begitupun kepada Abdul Karim al Jili yang telah menyusun Ilmu Haqiqat atau Ilmu Mengenal Diri di dalam kitabnya berjudul Insan Kamil Fi Ma’rifah al Awahir wa al Awa’il. Menurut Syekh Abdrl Karim al Jili, Ilmu Mengenal Diri atau disebut Ilmu Haqiqat adalah termaktub dalam dzauk dan mukasyafah yang melepasi teori, ijtihad atau apa pun jua wacana intelektual.
4. Ilmu Misykat
Misykat ertinya relung dalam bahasa Melayu. Misykat ada disebutkan di dalam al Qur’an Surah an Nur: 35. Saya teringat pesanan kata seorang guru Sufi, “Jika kau mencari Misykat ini di dalam seluruh jilid kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam Ghazali, kau tidak akan menemuinya, kerana ilmu ini diperturunkan daripada hati ke hati, dan bukan dari tulisan ke tulisan.” Dalam kisah lagenda, ketika Sunan Kalijaga datang menemui Sunan Bonang, ia hanya meminta satu pelajaran sahaja untuk diajarkan iaitu tentang ‘Rahasia Noktah’. Rahsia Noktah yang disebutkan oleh Ibnu Arabi ialah Misykat Khatamul Rasul, kerana inilah yang merupakan makrifatnya sekalian para Nabi dan Rasul yang hanya diketahui oleh para Wali Allah yang khusus dan tinggi martabatnya. Ilmu Misykat ini tidak diajarkan sembarangan dan sukar didapati kerana bilangan orang yang mempunyai ilmu makrifat jenis ini terlalu sedikit bilangannya di dunia ini. Kata sesetengah pendapat mengatakan Ilmu Misykat ini dikuasai oleh Nabi Khidir AS yang merupakan maha guru kerohanian. Makrifatnya Ilmu Misykat ini sebagaimana yang diungkapkan, ketika hamba bermikraj ke atas, Tuhan turun ke bawah, lalu keduanya bertemu dalam satu titik pandangan, “Syuhud al katsrah fi al wahdah, syuhud al wahdah fi al katsrah, syuhud al wahdah fi al wahdah” (Pandang Yang Satu nampak yang ramai, pandang yang ramai, nampak Yang Satu, pandang Yang Satu dalam Yang Satu). Dan...”Aku tidak melihat sesuatu melainkan aku melihat Allah di dalamnya.” Syekh Ahmad Sirhindi mengungkapkan, “apabila aku memandang Dia, maka aku tidak lagi terlihat yang lain.” Makrifat ‘Misykat’ ini tidak ada nafi dan istbat, kerana apa yang istbat tetap istbat, tak ada apa yang perlu dinafikan. Tidak ada meleburkan diri atau fana. Ahli makrifat ini hidup bersama Allah walaupun tubuh mereka bergaul dengan manusia ramai.
=>>Bagi yg meminati perjalanan ilmu tasawuf makrifat, kalau tak baca buku ini "Sirrul Asrar", sebuah karya monumental Sultan Auliya Syekh Abdul Qadir al-Jailani bagaikan belum sah lagi bersuci dgn air wudhu ketuhanan yg mutlak lagi menyucikan. Lebih dari 30 tahun saya menelaah buku ini. Setiap kali membacanya ada saja penemuan2 yg baru. Perkara yg paling pokok di dalam buku ini ialah harus mengenal hakikat diri kita yg sejati iaitu Tiflul Maani - ada di dalam jasad kita yg paling terdalam bagaikan bayi yg dilahirkan tanpa dosa, suci nan murni. Di situlah asal-usul kita sebelum dilahirkan ke alam nyata dan di situlah perjalanan kita bermula dan harus kembali. Tiflul Maani ini sentiasa dijaga oleh Allah di alam Lahut. Tiada seorang malaikat pun yg dibenarkan masuk ke alam Lahut ini kerna boleh terbakar oleh cahaya keagungan Ilahi. Oleh kerna setelah kita berada di alam dunia ini, kita terlupa bagaimana untuk balik semula ke alam Lahut itu dan menemukan Manikam Tiflul Maani itu kecuali orang2 yg membersihkan Hatinya dan membersihkan Rasanya. Jadi menurut Syekh Abdul Qadir al-Jailani, selagi belum menemukan Tiflul Maani itu belum lagi Arif billah. Tiflul Maani juga dinamakan Ruh Al-Qudsi iaitu rahsia dalam hakikat Ruh Sultani di alam Jabarut. Dan Ruh Sultani adalah rahsia dalam hakikat Ruh Ruhani (Nurani) di alam Malakut. Dan Ruh Ruhani adalah pula rahsia bagi hakikat Ruh Jasmani yg disebutkan sebagai istilah 'nyawa' di alam Nasut.

No comments:

Post a Comment