Tuesday 20 June 2017

QANAAH SIFAT MULIA


QANAAH SIFAT MULIA
Apabila kamu berada pada suatu keadaan tertentu, janganlah kamu meminta suatu keadaan yang lebih tinggi atau yang lebih rendah. Apabila kamu berada di pintu istana, janganlah kamu masuk sebelum kamu disuruh masuk. Janganlah kamu menganggap cukup dengan kebenaran masuk itu saja, kerana boleh jadi itu adalah suatu dalih atau tipuan dari raja itu.
Hendaklah kamu bersabar, sampai kamu dipaksa masuk ke dalam istana itu atas perintah raja itu sendiri. Kerana, dengan demikian kamu tidak akan diminta pertanggung jawaban tentang perbuatan kamu masuk ke dalam istana itu. Sekiranya kamu masih dihukum juga, maka hal itu adalah lantaran kamu bersalah, tamak, tidak sabar, tidak bersopan santun, dan hendak menikmati kepuasan keadaan hidup yang sedang kamu hadapi itu.
Jika kamu dipaksa masuk dan kamu pun masuk, maka hendaklah kamu memasukinya dengan penuh sopan santun, penuh hormat dan memperhatikan apa yang diperintahkan kepada kamu, tanpa meminta kenikan taraf hidup.
Allah berfirman kepada Rasul-Nya, “Dan janganlah pandanganmu dipengaruhi oleh apa yang kami kurniakan kepada segolongan manusia dari kemegahan hidup di dunia ini, kerana Kami menguji mereka dengan itu. Adalah rezeki yang diberikan oleh Tuhanmu itu lebih baik dan lebih kekal”.
Allah menasihati Nabi-Nya supaya berhati-hati terhadap keadaan yang ada itu dan supaya redha dengan kurnia Allah. Dengan kata lain, firman ini menyatakan, “Apa saja yang Aku berikan kepadamu berupa perkara-perkara yang baik-baik, kenabian, ilmu, keredhaan, kesabaran, kekuasaan agama, dan berjihad di jalan Allah, semua itu adalah lebih baik dan lebih berharga daripada apa yang Aku berikan kepada orang- orang lain”.
Kebaikan itu terletak pada menjaga keadaan yang telah ada, merasa puas dengannya, dan menjauhkan segala keinginan kepada yang lain. Kerana perkara-perkara itu telah dikhususkan untuk kamu, atau untuk orang lain atau bukan untuk siapa-siapa, tetapi oleh Allah telah dijadikan sebagai suatu ujian.
Jika sesuatu perkara itu telah dikhususkan untuk kamu, maka pasti kamu akan mendapatkannya, baik kamu menyukainya mahu pun tidak menyukainya. Tidaklah wajar kamu menunjukkan ketidak sopananmu atau ketamakanmu, kerana hal itu bertentangan dengan akal dan ilmu yang sempurna.
SYEIKH QADIR JAILANI

No comments:

Post a Comment