Tuesday 20 June 2017

INSAN KAMIL MUKAMIL

INSAN KAMIL MUKAMIL
Apabila kamu ‘mati’ dari makhluk, maka akan dikatakan kepada kamu, “Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada kamu”. Kemudian Allah akan mematikan kamu dari nafsu-nafsu badaniyah. Apabila kamu telah ‘mati’ dari nafsu badaniyah, maka akan dikatakan kepada kamu, “Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada kamu”.
Kemudian Allah akan mematikan kamu dari kehendak-kehendak dan nafsu. Dan apabila kamu telah ‘mati’ dari kehendak dan nafsu, maka akan dikatakan kepada kamu, “Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada kamu”. Kemudian Allah akan menghidupkan kamu di dalam suatu ‘kehidupan’ yang baru.
Setelah itu, kamu akan diberi ‘hidup’ yang tidak ada ‘mati’ lagi. Kamu akan dikayakan dan tidak akan pernah papa lagi. Kamu akan diberkati dan tidak akan dimurkai. Kamu akan diberi ilmu, sehingga kamu tidak akan pernah bodoh lagi. Kamu akan diberi kesentosaan dan kamu tidak akan merasa ketakutan lagi. Kamu akan maju dan tidak akan pernah mundur lagi. Nasib kamu akan baik, tidak akan pernah buruk.
Kamu akan dimuliakan dan tidak akan dihinakan. Kamu akan didekati oleh Allah dan tidak akan dijauhi oleh-Nya. Martabat kamu akan menjadi tinggi dan tidak akan pernah rendah lagi. Kamu akan dibersihkan, sehingga kamu tidak lagi merasa kotor. Ringkasnya, jadilah kamu seorang yang tinggi dan memiliki keperibadian yang mandiri. Dengan demikian, kamu boleh dikatakan sebagai orang yang luar biasa atau dalam erti kata lain 'Insan Kamil Mukamil'.
Jadilah kamu ahli waris para Rasul, para Nabi dan orang-orang yang siddiq. Dengan demikian, kamu akan menjadi titik akhir bagi segala kewalian, dan wali-wali yang masih hidup akan datang menemui kamu. Melalui kamu, segala kesulitan dapat diselesaikan, dan melalui solatmu, tanaman-tanaman dapat ditumbuhkan, hujan dapat diturunkan, dan malapetaka yang akan menimpa umat manusia dari seluruh tingkatan dan lapisan dapat dihindarkan. Boleh dikatakan kamu adalah penguasa yang menjaga kota dan rakyat.
Orang-orang akan datang menemui kamu dari tempat-tempat yang dekat dan jauh dengan membawa hadiah dan dan memberikan khidmat dan penghormatan mereka kepadamu. Semua ini hanyalah kerana izin Allah Yang Maha Perkasa dan Maha Kuasa jua.
Lisan manusia tidak henti-hentinya menghormati dan memuji kamu. Tidak ada dua orang yang beriman yang bertingkah kepadamu. Wahai mereka yang baik-baik, yang tinggal di tempat-tempat ramai dan mereka yang mengembara, inilah kurnia Allah. Dan Allah mempunyai kekuasaan yang tidak terbatas.
SYEIKH ABDUL QADIR JAILANI

No comments:

Post a Comment