Tuesday 20 June 2017

HATI-HATI DENGAN SYIRIK

HATI-HATI DENGAN SYIRIK
Keluarlah dari dirimu sendiri dan serahkanlah segalanya kepada Allah. Penuhi hatimu dengan Allah. Patuhlah kepada perintah-Nya dan larikanlah dirimu dari larangan-Nya, agar nafsu badaniahmu tidak memasuki hatimu setelah ia keluar. Untuk membuang nafsu-nafsu badaniah dari hatimu, kamu harus berjuang melawannya dan jangan menyerah kepadanya dalam setiap keadaan dan pada setiap masa.
Oleh kerana itu, janganlah menghendaki sesuatu yang tidak dikehendaki oleh Allah. Kehendakmu yang tidak sesuai dengan kehendak Allah adalah kehendak nafsu badaniah. Jika kehendak ini kamu turuti, maka ia akan merosakkan dirimu dan menjauhkanmu dari Allah. Patuhilah perintah Allah, jauhilah larangan-Nya, bertawakallah kepada-Nya dan jangan sekali-kali kamu menyekutukan-Nya.
Dia-lah yang telah menjadikan nafsu dan kehendakmu. Oleh kerana itu, janganlah kamu berkehendak, berkeperluan, atau bercita-cita untuk mendapatkan sesuatu, agar kamu tidak tercebur ke lembah syirik.
Allah berfirman :
“Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh, dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya.” (QS 18:110)
Syirik itu bukan melulu menyembah berhala, tetapi termasuk juga di dalamnya adalah menuruti hawa nafsu dan menyekutukan apa sahaja yang ada di dunia dan di akhirat dengan Allah, kerana apa sahaja selain Allah bukanlah Tuhan.
Oleh kerana itu, jika kamu tumpukan hatimu kepada sesuatu selain Allah, bererti kamu telah berbuat syirik. Maka, janganlah kamu menyekutukan Allah dengan jalan apa pun juga, baik dengan jalan kasar mahu pun dengan jalan halus.
SYEIKH ABDUL QADIR JAILANI

No comments:

Post a Comment