Saturday 30 May 2020

KISAH KUASA GHAFAR BABA

KISAH KUASA GHAFAR BABA
Drama perebutan kuasa semalam benar-benar mengingatkan saya terhadap seorang tokoh negarawan kita, Almarhum Tun Ghafar Baba. Beliau adalah Timbalan Perdana Menteri antara tahun 1986-1993 di bawah PM ke 4, Dr Mahathir Mohamad.
Jasanya pada Dr Mahathir dan UMNO sangat besar. Pada tahun 1976, beliau dan Ku Li memberikan laluan kepada Dr Mahathir untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri sedangkan beliau ketika itu adalah Naib Presiden UMNO ke 2 dan Dr Mahathir hanyalah Naib Presiden ke 3.
Ku Li adalah Naib Presiden 1.
Beliau adalah antara tokoh awal yang menyertai UMNO Melaka pada tahun 1955 sehinggakan ditukar tempat kerja sebanyak 4 kali oleh Pengarah Pendidikan Negeri ketika itu.
Beliau juga acap kali menolak jawatan utama dalam kerajaan. Pada tahun 1955, Tunku Abdul Rahman telah meminta beliau menjadi Ketua Menteri Melaka. Beliau menolak dan memilih untuk kekal sebagai seorang guru.
Pada tahun 1959, Tunku menawarkan lagi jawatan tersebut kepada beliau. Sekali lagi beliau menolak. Tunku kemudiannya 'mengugut' bahawa jika Tun Ghafar masih menolak, Melaka akan dibiarkan tanpa Ketua Menteri. Tun Ghafar kemudiannya menerima jawatan tersebut dan berkhidmat sehingga tahun 1967
Pada tahun 1968, Tunku yang mahukan Tun Ghafar terus berkhidmat kepada negara telah melantik beliau sebagai Senator dan Menteri tanpa portfolio. Tun Ghafar tidak mengetahui perancangan Tunku kerana beliau sedang berada di Rusia. Hanya apabila pesawat terbang mendarat di Bangkok, barulah beliau dimaklumkan berkenaan keputusan Tunku.
Pada tahun 1983, Dr Mahathir bermasalah dengan Majlis Raja-Raja apabila beliau mahu meminda Perkara 66 perlembagaan. Pindaan tersebut menyatakan bahawa sebarang undang2 yang diluluskan oleh parlimen akan berkuatkuasa 15 hari selepas dimaklumkan kepada YDPA walaupun baginda tidak berkenan.
Majlis Raja-Raja menolak pindaan ini dan kemudiannya mencetuskan krisis antara Raja Melayu dan UMNO. Ini adalah perbalahan pertama secara terbuka antara sebuah parti Melayu dan Istana.
Tun Ghafar telah menyelamatkan keadaan dengan menjadi ketua perunding UMNO dalam krisis tersebut. Kedua dua pihak kemudiannya berkompromi dengan syarat tempoh tersebut dilanjutkan kepada 60 hari.
Pada tahun 1985, beliau diminta menjadi Presiden de facto MCA bagi menyelesaikan masalah kepimpinan parti tersebut. Beliau berkhidmat selama 10 bulan sehinggalah pertembungan antara dua kem dalam MCA selesai.
Tun Ghafar ialah satu-satunya individu bukan Cina yang pernah mengemudi MCA.
Pada tahun 1987, apabila berlakunya cabaran daripada team B (Ku Li - Musa Hitam) ke atas kepimpinan Dr Mahathir, Tun Ghafarlah yang menunjukkan kesetiaan menyokong Perdana Menteri ketika itu.
Akhirnya Dr Mahathir menang tipis jawatan Presiden Umno dengan majoriti 47 undi. Tun Ghafar pula menang dengan majoriti 40 undi ke atas Tun Musa Hitam bagi jawatan Timbalan Presiden
Pada tahun 1992, sekali lagi UMNO terheret dalam perbalahan dengan Istana apabila Dr Mahathir berusaha menghapuskan imuniti Raja-Raja.
Tun Ghafarlah yang akhirnya diminta membentangkan usul bagi meminda perlembagaan. Usul tersebut disokong penuh parlimen.
Hasil diplomasi beliau, Majlis Raja-Raja akhirnya memperkenankan pindaan perlembagaan bagi mewujudkan Mahkamah Khas untuk membicarakan Raja-Raja Melayu yang melakukan kesalahan atas kapasiti peribadi.
Pada tahun 1993, beliau dicabar oleh DSAI bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO. Adalah menjadi rahsia umum bahawa DSAI adalah anak emas Dr Mahathir dan pencalonan beliau juga direstui Dr M. Walhal sebelum itu DSAI berkali kali menafikan mahu mencabar jawatan Timbalan Presiden.
Kisah ini adalah satu ultimatum kepada Tun Ghafar tentang bagaimana beliau diberikan harapan palsu dan akhirnya dikhianati oleh orang-orang yang sangat dipercayainya.
Tun Ghafar terpaksa menarik diri apabila hanya mendapat satu pencalonan daripada bahagiannya sendiri. Beliau menulis surat perletakan jawatan ketika berada di lapangan terbang. DSAI menang tanpa bertanding dan ketika keputusan diumumkan, semua perwakilan Umno di PWTC bangun memberikan tepukan gemuruh kepada gandingan Mahathir-Anwar.
Sehari selepas kemenangan DSAI, Tun Ghafar sekali lagi dilihat di lapangan terbang Subang; kali ini sambil menjinjing sebuah beg plastik tanpa ditemani sesiapa ketika menunggu penerbangan ke Indonesia. Di bawah adalah gambar tersebut.
Tun Ghafar menolak sebarang anugerah bergelar semasa berkhidmat dalam kerajaan. Beliau hanya memakai nama YAB Encik Ghafar Baba walaupun anggota kabinet dan exconya sudah bergelar Dato Seri, Tan Sri atau Datuk. Beliau hanya menerima gelaran Tun pada 1995; 2 tahun selepas meletak jawatan sebagai TPM
Begitulah kisah ringkas seorang pemimpin negara. Beliau begitu setia walaupun disingkirkan dengan cara seolah olah beliau tidak pernah ada jasa. Beliau konsisten menolak sebarang gelaran daripada Raja-Raja untuk dirinya.
Beliau menunjukkan teladan dengan mengambil jawatan apabila tiada lagi yang lebih layak daripadanya. Beliau membuktikan bagaimana seorang Melayu boleh bergerak atas politik demokrasi dalam keadaan menjaga daulat dan kehormatan Raja-raja.
Beliau tahu bagaimana untuk berundur tanpa memudaratkan negara

No comments:

Post a Comment