Thursday, 18 January 2018

*SEMBAHYANG VS SHOLAT VS MIKRAJ*


*SEMBAHYANG VS SHOLAT VS MIKRAJ*
Seorang bertanya kpd Abu Yazid Bustami, “aku hairan mengapakah orang yg telah mencapai makrifat tidak sembahyang?”
Lantas Abu Yazid Bustami pun menjawab, “aku lagi hairan. Mengapakah orang yg menganggap dirinya ahli makrifat, tetapi masih lagi sembahyang?”
(Bagi kaum sufi bahwa di antara sholat dgn sembahyang itu berbeda sekali hakikat dan pengertiannya. MENGERJAKAN sembahyang itu syirik, sedangkan MENDIRIKAN sholat itulah mengESAkan Allah pada hakikat tauhid yg sebenar2nya. Walaupun bentuk atau gambaran lahirnya ada persamaan tetapi dari segi hakikatnya berbeda.)
Adapun menyembah atau sembah itu adalah sinonim kepada ajaran hindu. Dari asal perkataan sembah itu maka jadilah perkataan sembahyang. Sembah ertinya sesuatu yang disembah oleh manusia kerana menganggap sesuatu itu lebih berkuasa dan gagah berbanding dirinya yang bersifat rendah atau lemah, maka sesuatu itupun dianggap sebagai tuhan yang memerlukan kepada penyembahan. Kemudian dibuatlah oleh si penyembah itu akan peraturan-peraturan dan ajaran-ajaran tertentu atas nama ‘sembahyang’. Umpamanya, jika ia telah melihat sekawanan monyet yang pandai meloncat-loncat dari atas sebatang pokok ke atas pokok-pokok lainnya, sedangkan pada pemikirannya tidak ada manusia yang mempunyai kepandaian seperti monyet-monyet itu, maka sang monyet itupun disembah lalu dianggap sebagai tuhan. Dan jika ia telah melihat sekawanan gajah yang besar dan gagah, boleh mengangkut kayu-kayan balak dengan kekuatan belalainya, sedangkan pada pemikirannya bahwa manusia tidak mempunyai kekuatan seperti gajah itu, maka sang gajah itupun disembah lalu dianggap sebagai tuhan. Begitu juga jika ia ternampak matahari yang menyinari bumi dan planet-planet lain dengan kehangatan cahaya, sedangkan manusia tidak mampu mempunyai kuasa seperti matahari itu, maka sang matahari itupun disembah lalu dianggap sebagai tuhan. Dan begitulah pula, jika ada seorang manusia yang melihat ada manusia lain yang mempunyai kuasa seperti seorang raja atau pemimpin, sedangkan dirinya hanya semata-mata hamba rakyat yang hina-dina, maka sang raja manusia itupun dianggap berdarjat seperti tuhan lalu dimuliakan, disembah dan dipertuhankan.
Sembah-menyembah itu hanyalah dilakukan oleh tabiat perbuatan manusia dan jin telah berkurun-kurun lamanya semenjak zaman kaum Nabi Nuh a.s. lagi sehinggalah sekarang. Manakala makhluk haiwan tidak pernah menyembah sesama haiwan atau sesuatu yang dianggap tuhan. Adakah semut menyembah gajah? Adakah kijang menyembah singa? Adakah ikan menyembah burung? Adakah kambing menyembah rumput? Adakah katak menyembah hujan? Makhluk haiwan walaupun tidak sebijak dan berakal seperti manusia, tetapi makhluk haiwan tidak pernah meniru perbuatan manusia yang suka menyembah kepada sesuatu. Makhluk haiwan telah dijadikan Allah sebagai hamba-hambaNya yang senantiasa sujud dan bertasbih kepada Allah dan patuh kepada segala perintahNya, tetapi tasbih dan sujud makhluk haiwan kepada Allah itu adalah masing-masingnya dengan cara tersendiri dan tidak diketahui akan tindakan, bunyian dan ucapannya oleh manusia selain Allah jua yang Maha Mengetahui. Justeru itu, sifat makhluk haiwan itu adakalanya dinilai lebih baik dan mulia daripada sifat manusia dan jin yang telah mereka-reka atau membuat pelbagai jenis ajaran dan upacara sembahyang di muka bumi ini yang bertentangan dengan sunnah dan ajaran sekalian para Nabi dan Rasul di kalangan umat masing-masing sezamannya. Dan justeru itu juga, adalah suatu kesilapan dan kesalahan yang amat besar apabila dikatakan oleh sesetengah pihak bahwa hadiah sholat yang diterima oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. sewaktu mikraj daripada Allah Subhanallahu Wa Ta’ala, diistilahkan sama dengan perkataan atau makna sembahyang! Begitu pun salah pengertiannya apabila Islam itu dikaitkan dengan istilah-istilah seperti agama, ugama dan igama yang sebenarnya lebih sinonim kepada kepercayaan hindu di serata kepulauan nusantara ini menurut berbagai loghat sesuatu bangsa dan budaya.
Dari zaman Nabi Adam a.s. sehinggalah Nabi Muhamad s.a.w., istilah-istilah seperti agama, ugama dan igama tidaklah pernah digunapakaikan di dalam kitab suci al-Quran. Apakah itu agama, ugama dan igama? Agama, ugama atau igama sebenarnya lebih merupakan aspek-aspek ajaran akan sesuatu kepercayaan terhadap konsep ketuhanan dan cerita kedewaan yang direka-rekakan oleh manusia sendiri pada kesimpulannya diistilahkan sebagai ‘agama bumi’. Maka apakah kemurnian Islam itu wajar diistilahkan sejajar pengertiannya dengan agama, ugama atau igama?
Para Nabi dan Rasul yang menyampaikan seruan Allah kepada umat manusia di muka bumi ini tidak pernah sekali pun menyebutkannya sebagai agama, ugama atau igama. Sebaliknya seruan Allah itu telah disebutkan di dalam kitab suci al-Quran dengan ungkapan yang begitu indah dan sungguh luas bermakna iaitu Addinul Islam. Maka dengan jelasnya Islam itu adalah Ad-Din dan bukan agama, ugama atau igama kerana Islam itu datangnya langsung dari Allah dan bukanlah berdasarkan sesuatu ideologi ciptaan oleh akal fikiran manusia baik apa pun taraf dan pangkatnya.
Sholat bukan sembahyang. Telah bersepakat kata para ulama sufi yang arifbillah, bahwa sesiapa yang menyembah Allah adalah syirik! Allah tidak menuntut DiriNya untuk disembah kerana Allah bukanlah seperti sesuatu yang mendambakan kepada penyembahan demi menggelarNya sebagai Tuhan. Allah adalah Allah Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya. KeEsaan Allah itu bukanlah terpaut pada huruf dan nama. Allah itu Zat Wajibal Wujud, tidak ada yang wujud melainkan Allah. Sesiapa yang menyembah Allah tetapi tidak mengenal Allah, termasuk di dalam golongan musyrikin kerana penyembahannya itu sekadar tertuju kepada kehebatan nama yang bersandarkan kepada majazi huruf dan suara, sedangkan ia belum lagi mengenal akan Allah sebagaimana Allah patut dikenal.
Orang-orang sufi yang mengenal Allah, telah menyatakan bahwa kalimat “tiada tuhan yang kusembah melainkan Allah” adalah kalimat di peringkat iman kaum awam, tetapi masih belum lagi terlepas dari bendungan syirik yang halus. Maka itu kaum sufi telah bertaubat daripada bunyi kalimat penyaksian yang sedemikian. Mereka telah mengistbatkan di dalam kalimah penyaksian bahwa “tiada yang wujud melainkan Allah”. Perkataan ‘tuhan’ pun sengaja dihapuskan oleh kaum sufi di dalam kalimah tersebut kerana selama sebutan ‘tuhan’ itu digunapakai, maka seseorang itu belum benar-benar musyahadah kepada Allah Yang Maha Esa. Selagi masih ada tanggapan bahwa dirinya wujud sebagai penyembah, maka itulah suatu tanda besar ghairullah (selain Allah) yang berupa berhala halangan untuk mencapai maqam tauhid. Orang-orang sufi lebih mengutamakan pencapaian tauhid dalam beribadahnya kepada Allah daripada beriya-iya sangat mengejarkan pahala untuk masuk syurga seperti ibadahnya kaum awam. Dan bagi mereka, sholat itu adalah merupakan ibadah hakiki kepunyaan Yang Haqq dan bukan sembahyang. Ada ulama yang berpendapat perkataan ‘sembah-yang’ itu berasal dari makna sembah hantu. Justeru itulah dalam beribadah, kaum sufi telah terlebih dahulu menafikan apa pun yang dianggap sebagai ghairullah dan akwan, yakni gambaran-gambaran di dalam batin tentang hal-hal keduniaan yang tak sepatutnya dibawa bersama sholat, lalu mereka hanya mengistbatkan tauhid KeEsaan Allah dalam erti tauhid zat, tauhid sifat dan tauhid af’al dan beristiqamah di Maqam Muhammad s.a.w., sebagaimana sabda Nabi s.a.w., “Sholatlah kalian sebagaimana kalian lihat aku sholat!”
Justeru itu bagi kaum sufi, sholat sebagai suatu perintah ibadah yang wajib dilaksanakan dan bertujuan hanya sujud kepada Allah, tidak menyekutukan Allah dengan yang lain di dalam sujudnya, sekalipun dengan keberadaan dirinya sebagai orang yang sholat, dan hendaklah semata-mata mempunyai kesedaran akan Allah itu Maha Esa dalam sholatnya, bahkan dalam setiap jenis ibadah lain yang dilakukannya sebagaimana firman Allah, “sesiapa yang percaya dan berharap dapat bertemu dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal sholeh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapa pun di dalam ibadahnya kepada Tuhannya.” – Q.S. Al Kahfi: 110.
Sujud di dalam pengertian kesufian bukan erti sembah. Sembah itu memerlukan kepada dua sosok peribadi; yang disembah dan yang menyembah. Sedangkan sujud pada tanggapan ahli sufi yang makrikat, ialah semata-mata hanya ada Allah Yang Maha Esa, tatkala seorang sufi itu sujud kepada Allah bererti si sufi itu telah mengalami fana (terhapus tumpuannya terhadap makhluk saat matahatinya sedang asyik bermusyahadah kepada Allah) lalu fana fil fana (pengetahuannya tentang fana akhirnya dilenyapkan oleh Allah atau seluruh batinnya dalam keadaan telah mati maknawi - mati sebelum mati) dan seterusnya baqa bersama Allah (yakni jadilah ia bekas dan semata-mata alat bagi Allah untuk mengabdi kepada Allah dan yang paling layak bergelar sebagai hamba Allah di maqam ubudiyyah) dan hidup di dalam Allah (dihidupkan setelah mati dan tidak ada lagi kematian, sedangkan mati hissi atau jasad hanyalah perpindahan dari alam nasut ke alam malakut), sebagaimana sabda Nabi s.a.w. “Beribadahlah kepada Allah, seolah-olah kalian melihatNya, dan jika kalian tidak melihatNya, bahwa Allah itu Maha Melihat.”
Apabila seorang sufi telah melihat Allah di dalam sholat, maka pandangannya tidak lagi beralih kepada yang lain kecuali Allah. Maka jadilah pandangan si sufi di dalam sholat itu bashar Allah, hadirnya si sufi di dalam sholat itu qidam Allah, nafas si sufi yang keluar-masuk di dalam sholat itu ilmu Allah, nyawa si sufi di dalam sholat itu hayat Allah, gerak-geri si sufi di dalam sholat itu qudrat Allah, pendengaran si sufi di dalam sholat itu sama’ Allah, bacaan-bacaan si sufi di dalam sholat itu kalam Allah, munajat si sufi di dalam sholat itu iradat Allah, salawat si sufi di dalam sholat itu salawat Allah kepada RasulNya, salam si sufi di akhir sholat itu salam Allah “Salamun qaulam mirrobbir rahim” kepada penghuni syurga.
Kaum sufi berpendapat sholat itu sebenarnya adalah pilihan Allah dan bukan pilihan manusia. Justeru itulah mengapa kaum sufi tidak memandang dan berbangga kepada amalnya, kerana setiap amal yang ikhlas itu pada hakikatnya datang dari petunjuk dan bimbingan Allah. Orang yang sholat dan menganggap sholat itu dari titik usaha dan ikhtiarnya sendiri adalah orang yang bersikap sombong terhadap Allah dan beribadah hanya untuk memenuhi kepentingan dan kemahuan nafsunya sendiri dan lupa kepada segala kurniaan Allah termasuk dirinya yang dipinjamkan sementara sifat-sifat Allah. Justeru itulah, sholat yang nilainya dipandang dan diterima oleh Allah ialah orang-orang yang berhati ikhlas dan khusyuk di dalam sholatnya. Khusyuk dalam kamus kesufian bukanlah sekadar dapat memahami makna-makna lafaziah bacaan di dalam sholat, tetapi khusyuk itu bererti terhapus segala akwan dan telah berserah diri sebulat-bulatnya kepada Allah dengan tidak lagi bergantung kepada makhluk seperti mengharapkan pujian serta pemerhatian dan menuntut bayaran gaji selaku mengimamkan sholat kerana ini telah mencemarkan tauhidnya yang bersertakan iktiqad syirik dan sholatnya tidak diredhai Allah.
*Apakah ada perbedaan di antara definisi mengerjakan sholat dengan mendirikan sholat? Tentu saja definisinya amat berbeda sekali.
• Mengerjakan sholat ialah mengerjakan perintah sholat menurut ketetapan waktu, syarat dan rukunnya seperti mengerjakan sholat fardhu lima waktu.
• Mendirikan sholat ialah sudah mengenali apakah hakikat dan tujuan sholat itu. Tidak tertakluk kepada ketetapan waktu serta tidak dikenakan syarat dan rukun, seperti peraturan berwuduk, jumlah rakaat, berdiri menghadap ke Kaabah, tiada rukuk, sujud dan duduk. Mendirikan sholat dilakukan pada bila-bila masa, tanpa putus dan sentiasa kekal dalam keadaan sholat.
Contohnya begini.
Orang yang mengerjakan sholat umpama orang yang tidak tahu-menahu tentang menubuhkan sesebuah perusahaan serta tidak berkebolehan menerajuinya. Maka dia layak menjadi pekerja sahaja di dalam perusahaan itu. Sebagai pekerja, tentulah dia harus mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh majikannya. Dia tidak boleh bekerja selama 24 jam. Maka jadual waktu pekerjaannya telah ditentukan dan kewajibannya tidak melebihi batas. Apa yang disuruh oleh majikannya, itulah yang dia patut lakukan. Pekerjaannya dibayar gaji menurut keupayaannya. Dan jika dia melanggar peraturan, dia akan dihukum atas undang-undang majikannya. Begitulah difahamkan contoh bagi kategori orang yang mengerjakan sholat, bahwa mereka sekadar menjalankan perintah Allah tanpa memahami apakah hakikat dan tujuan sholat itu. Mereka mendambakan pahala diatas keupayaan usaha dan amal yang mereka lakukan dengan harapan diberikan Allah akan ganjaran syurga di akhirat. Kewajiban mereka untuk mengerjakan sholat terbatas kepada lima waktu sahaja, namun jika mereka mahu melipat-gandakan ganjaran pahala boleh ditambahi dengan amalan sholat-sholat sunnat atau amalan-amalan lainnya.
Manakala orang yang mendirikan sholat seumpama orang yang sudah faham dan arif mengenai penubuhan sesebuah perusahan dan dapat mentadbir atau menerajui sendiri perusahaan yang didirikannya itu. Dialah Khalifah. Tugasnya tidak lagi terikat dengan ketetapan waktu seperti pekerjaannya, bebas dari peraturan dan arahan di bawah kuasa sesiapa pun. Mendirikan sholat inilah dikatakan mendirikan atau meneguhkan tiang-tiang agama. Tiang-tiang agama itu harus berdiri dengan keutuhan yang berdaya kuat dan kekal selama-lamanya. Namun sokongan ke atas keutuhan itu asasnya adalah pada niat dan bukan membacakan lafaz niat sebagaimana yang dilafazkan oleh orang-orang yang mengerjakan sholat. Jika niat itu bercanggah dengan tujuan dan hakikat sholat, pastilah akan runtuh tiang-tiang agama itu. Niat itu haruslah sejajar dengan berdirinya sholat, maka barulah dikatakan orang-orang yang mendirikan sholat dengan sebenar-sebenarnya. Sebelum diketahui apakah maksud niat itu, maka harus terlebih dahulu diketahui apakah pula makna sholat menurut hakikat dan tujuannya.
Sholat dengan maksud dan tujuannya yang sebenar ialah mengingat Allah. Sebagaimana firmanNya di dalam Surah At-Taha : 14 bermaksud;
“Sesungguhnya AKU inilah Allah, tiada yang ujud selain AKU, maka mengabdilah kepadaKu dan dirikanlah sholat untuk mengingati AKU!”
Mengingat pada definisi di sini ialah kesedaran ruhani terhadap Allah Yang Maha Esa, bukan maksud menghadirkan Allah seperti menghadirkan sesuatu untuk disembah kerana Allah bukanlah sesuatu. Maka sholat dalam hubungannya mengesakan Allah adalah menggapai tauhid yang murni bahwa sesungguhnya Allah itu adalah Zat Mutlak Wajibal Wujud.
Bersandarkan kepada sebuah hadis yang telah dimaklumkan sebagai hadis Jibril, yakni ketika datangnya malaikat Jibril kepada Nabi s.a.w. akan bertanyakan tiga perkara iaitu apakah Iman, apakah Islam dan terakhir sekali apakah Ihsan? Tentang Ihsan, Nabi s.a.w. menjawab bahwa Ihsan itu adalah ketika kau mendirikan sholat seolah-olah kau melihatNya. Dan jika kau tidak melihatNya, ingatlah bahwa Allah melihatmu.
Dengan demikian, makna sholat secara haqiqi ialah Ihsan. Ihsan ini terdiri adanya dua martabat:
1. Syuhud Musyahadah – beribadah kepada Allah seolah-olah melihatNya. Dan menyaksikan bahwa sebenarnya Allah itu jua yang berkuasa melakukan sholat sedangkan bagi hambaNya tidak mempunyai kekuatan dan keupayaan kecuali sebagai alat yang menurut segala perintah gerak dan perbuatan atas qudrat dan iradatNya.
2. Syuhud Muraqabah – beribadah kepada Allah tetapi tidak dapat melihat Allah. Hanya mengingat bahwa Allah sentiasa melihat gerak dan perbuatannya.
Melihat Allah itulah hakikat mendirikan sholat. Bukan maksudnya melihat dengan mata kasar. Orang yang mendirikan sholat adalah orang yang telah dibukakan Allah akan mata batinnya untuk langsung memandang Allah. “seolah-olah kau melihat Allah” yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w. bukanlah suatu perbuatan yang olok-olok, berpura-pura atau kononnya melihat tapi sebenarnya tak melihat, tetapi “seolah-olah” itu membawa kita yakin dengan sesungguhnya merasakan diri kita telah sehampir-hampirnya dengan Allah. Melihat Allah termasuk dalam ilmu rasa. Rasa itulah yang menyingkap Rahsia Allah. Dan ‘rasa’ itulah yang dikatakan sebenarnya niat sholat. Kata sesetengah arifbillah bahwa sesiapa yang tidak merasa tidak mengenal. Justeru antara lafaz dan rasa tidaklah sama pengertiannya. Jika seseorang itu tidak dapat merasakan melihat Allah dalam sholat, samalah ertinya telah lalai atau terkeluar dari niatnya, maka dengan itu tiada nilai sholatnya di sisi Allah. Dan untuk itu Allah telah menyediakan neraka bernama Wail bagi mereka yang lalai daripada sholatnya.
Di martabat syuhud musyahadah ini, semua penglihatan selain Allah akan luput. Sehingga ‘rasa dalam sholat’ itupun sirna setelah menaiki tahapnya tidak lagi merasa mendirikan sholat, walaupun tampak jasad dan nafasnya masih tinggal di bumi, namun dia telah menjadi bekas bagi Allah sekaligus sebagai Haq Allah yang menyaksikan Allah dengan Allah jua. Dengan lain perkataan dirinya telah menjadi hamba Allah semata-mata yang bergelar Ubdah dalam mencapai martabat Ubudiyyah. Bukan lagi bergelar Abid. Ubdah adalah arif yang terbang menuju Allah tanpa bergantung kepada amal dan usahanya selain kepada rahmat dan kasih-sayang Allah dengan dikurniakan darjat makrifat, sedangkan Abid ialah hamba yang masih mencari Allah dengan perjalanan jauh serta meletakan pengharapan di atas amal dan usahanya sendiri. Maka sholat bagi orang yang mendirikan sholat itu adalah penyatuan antara hamba dan Allah. Apabila penyatuan ini telah sempurna, maka tiada lagi dikatakan dalam sholat itu perhubungan hamba dan Allah, hanya Allah Yang Maha Esa. Tiada zatnya melainkan Zat Allah, tiada sifatnya melainkan sifat Allah, tiada perbuatannya melainkan perbuatan Allah. Bagi sang arif yang sampai ke peringkat ini, sholat bukanlah lagi ertiya menyembah kepada yang disembah. Istilah ‘sembah-menyembah’ tidak terkait di dalam pengertian sholat selain hanya Allah yang memuji DiriNya sendiri.
Pada martabat kedua, syuhud muraqabah, walaupun hamba merasakan dirinya adalah Haq Allah dan hampir kepada Allah, tetapi kesedaran terhadap wujud dirinya itu masih tetap ada dan belum lagi terbuka hijab agar seolah-olah dapat melihat Allah. Bagi mereka yang melalui keadaan ini sentiasa bertaqwa kepada Allah. Juga dikatakan sebagai tahap bagi orang yang berjaga-jaga kerana sentiasa sedar dirinya dalam pengawasan dan pandangan Allah.
Kesimpulannya, kedua-dua martabat Ihsan yang tersebut tadi bagi orang yang mendirikan sholat, itulah yang dinamakan sholat daim atau sholat wustha. Sholat wustha bermaksud sholat yang dilaksanakan dengan qalbu, ruh, nur dan sirrulLah atau juga disebut qalbu, fu’ad, syagaf dan lubb. Maka itulah dikatakan sholat wustha ini tidak ada syaratnya seperti berwuduk, rukun rakaatnya dan tanpa tertakluk dengan ketentuan waktu.
Persoalannya pula, apakah bagi mereka yang mendirikan sholat daim atau sholat wustha, tidak wajar lagi mengerjakan rukun sholat fardhu lima waktu dan sholat-sholat sunnat? Jawapannya tidaklah sedemikian, kerana sholat fardhu lima waktu itu tetap sebagai perintah Allah yang wajib ditunaikan. Barangsiapa yang meninggalkan hukum sholat fardhu lima waktu, bererti telah terkeluar dari golongan sunnah Rasulullah s.a.w. kerana Rasulullah s.a.w. sendiri tidak pernah meninggalkan sholat fardhu lima waktu dan sholat-sholat sunnat yang lainnya.
Namun sholat fardhu lima waktu bagi orang yang telah mencapai martabat Ihsan, menjadi benteng kepada sholat daim atau sholat wustha. Sholat wustha dan sholat daim diibaratkan seperti rumah yang sudah didirikan, maka sholat fardhu lima waktu dan sholat-sholat sunnat lainnya menjadi taman besar yang di sekitarnya subur dengan pelbagai hiasan tumbuh-tumbuhan yang menambahkan lagi seri keindahan rumah tersebut.
Wallahuaklam
BAHAGIAN-BAHAGIAN SHOLAT AHLI SUFI
Ahli Sufi mendefinasikan sholat kepada beberapa bahagian:
1. Sholat Syariat: Sholat 5 waktu & sholat sunnat yang dikerjakan menurut rukun dan syarat dan berkiblat ke Baitullah Ka'abah.
2. Sholat Tarekat: Diperjalankan untuk menuju Allah dengan zikir nafas “Allah Hu”. Sebutan "Hu" ketika masuknya nafas dan "Allah" ketika keluarnya nafas.
3. Sholat Hakikat: Sholat yang berkekalan atau disebut Sholat Daim. Tanpa rukun dan syarat serta tidak ada apa-apa bacaan selain ingat kepada Allah semata-mata di dalam keadaan berjalan, duduk, berbaring atau sedang berada di mana-mana sahaja. Ingat kepada Allah itu adalah di dalam qalbu, ruh dan rahsia sehingga tidak ingat lagi kepada Allah yang bererti fana kecuali ia diingati Allah atau Allah yang mengingatinya yang bererti "Baqa Billah".
4. Sholat Makrifat: atau disebut Sholat Wusta yakni sholat yang di tengah-tengah sebagaimana firmanNya, “Ke mana sahaja kamu menghadapkan wajahmu di situ adanya Wajah Allah.” Sholat Wusta ini adalah di sudut relung matahati yang paling terdalam dan tersangat hampir dengan Wajah Allah. Umpama seorang yang sedang berdiri di tengah-tengah lengkaran padang sebuah stadium besar, ke mana pun ia berpaling, ia dapat melihat sesiapa sahaja di sekelilingnya. Sholat Wusta ini juga ialah menyaksikan Allah dalam segala sesuatu dan Allah menyaksikannya pula dalam segala sesuatu. Pendek kata, Sholat Wusta adalah Penyaksian, Penyatuan dan PengEsaan antara hubungannya dengan Allah dan bukan merupakan bentuk penyembahan.
5. Sholat Mikrajul Mukmin: Sholat inilah naiknya hamba kepada Dzat Rabbul Jalal – Kekasih dan turunnya pula kepada hamba sebagai Dzat Rabbul Jamal – Yang DiKasihi. Sholat Mikrajul Mukmin ini menghimpunkan dan menyempurnakan semua bahagian sholat yang tersebut di atas.

No comments:

Post a Comment