Sunday 21 January 2018

Khazanah Bendahara Seri Maharaja Antara Majoriti, Minoriti & Wali-wali

assalamualaikum maaf panjang
Khazanah Bendahara Seri Maharaja
Antara Majoriti, Minoriti & Wali-wali

Aku terpaksa mengalah dan menenjangrima hakikat bahawa aku sedang berpijak di bumi nyata, di alam realiti, bukan di alam mimpi mahupun dunia fantasi. Baginda Nabi SAW yang ternyata dicipta Allah sebaik-baik makhluk, seorang insan kamil, pembawa rahmat di seluruh alam pun mengambil masa yang bukan singkat untuk merubah masyarakatnya daripada kehidupan penuh kejahilan, kezaliman dan penindasan kepada yang berteraskan keadilan, taqwa dan berperadaban tinggi. Apatah lagi di zaman ini yang mana kehidupan jahiliyyah atau godless society meratai seluruh alam, untuk mengubahnya kembali kepada kehidupan tamadun madani memerlukan miracle atau keajaiban, yang sudah tentu terikat dengan takdir Allah SWT jua.
Pada zaman yang tiada lagi diutus oleh Allah para Nabi dan Rasul kerana Rasulullah SAW adalah penamat Nubuwwah, yang tinggal hanyalah alim-ulama hakikat sebagai pewaris Baginda. Malangnya dalam fasa Akhir Zaman seperti halnya masakini, mereka terpaksa melalui laluan yang agak sukar untuk melaksanakan kerja dakwah dan tabligh kerana tidak dapat berpayung di bawah sistem pemerintahan Islam yang sebenar, seringkali dipinggirkan oleh kepimpinan moden yang sekular. Malahan terpaksa bersaing pula dengan ulama suk (ulama jahat yang sesat lagi menyesatkan) dalam ikhtiar mendapatkan perhatian masyarakat kepada unsur-unsur kebenaran yang dibawa.
Parti-parti politik dalam sistem pemerintahan sekular pula sibuk dengan adegan hasut-menghasut, fitnah-menfitnah dan cantas-mencantas dalam perebutan mendapatkan kuasa yang menjanjikan berbagai kemewahan serta kesenangan hidup. Yang ikhlas hanyalah kecil bilangannya, itupun sering dimuntahkan keluar oleh sistem itu sendiri kerana berlakunya percanggahan prinsip di akar umbi.
Keadaan ini mengingatkanku kepada kenyataan mantan Perdana Menteri Britain, Winston Churchill seperti berikut : “ Demokrasi adalah sistem pemerintahan yang paling buruk, tetapi tidak ada satu sistem lain pun yang lebih baik daripada itu.”
Suatu perspektif yang cukup menarik daripada seorang tokoh negarawan British, mengesahkan keburukan sistem demokrasi, yakni sistem yang umumnya berpegang pada konsep kuasa di tangan majoriti rakyat sebagai pengundi bagi kepimpinan negara. Churchill berpendapat bahawa walaupun sistem demokrasi ternyata paling buruk, ironisnya terpaksa akur dengannya kerana menurut beliau hanya sistem tersebut yang terbaik berbanding sistem-sistem pemerintahan lain yang ada.
Aduhai! Apalah malangnya manusia sejagat sehingga terpaksa pasrah mengamalkan sistem demokrasi yang dikatakan paling buruk ini, yang memang terbukti menimbulkan banyak kecelakaan dan mudaratnya.
Terlebih malang jikalau umat Islam sendiri terpaksa menyerahkan nasib bangsa dan agama di tangan majoriti rakyat yang rata-ratanya bukan daripada golongan beriman, berilmu dan bertaqwa, malahan sebaliknya, memilih cara hidup yang meminggirkan nilai-nilai agama, jauh terasing daripada peradaban tradisi bangsa. Dicampur adukkan pula dengan pengundi yang kafir lagikan harbi, yang ateis, munafiq, membenci Islam dan berusaha pula mentancapkan budaya liberalisme barat kepada orang-orang Melayu.
Firman Allah SWT:
“ Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak suka kepadamu kecuali kalau kamu turut agama mereka. Katakanlah, sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar petunjuk. Demi, jika kamu turut kemahuan mereka, setelah kamu mendapat pengetahuan, tidak adalah bagimu wali dn penolong dari (siksa) Allah.” (Al-Baqarah : 120)
Firman Allah SWT lagi :
“ Apabila datang kepada engkau orang-orang munafiq, mereka berkata : Kami menjadi saksi bahawa engkau (Ya Muhammad) sungguh Rasul Allah. Allah mengetahui, bahawa engkau RasulNya dan Allah menjadi saksi (mengetahui) pula, bahawa orang-orang munafiq itu dusta. Mereka jadikan sumpah mereka (bahawa mereka Muslim) untuk memeliharakan (melepaskan diri mereka), lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan (agama) Allah. Sungguh amat jahat apa-apa yang mereka kerjakan. Demikian juga, kerana mereka beriman (pada zahirnya), tapi kafir (pada batinnya), lalu ditutup mata hati mereka, sehingga mereka tiada mengerti.” (Al-Munafiqun : 1-3)
Membuatkanku terfikir sejenak, benarkah manusia tidak ada alternatif yang lebih baik? Apakah manusia yang Allah jadikan sebaik-baik makhluk dengan segala kecanggihan akal fikiran, yang cukup kaya dengan pengalaman hidup beribu-ribu tahun, namun tetap gagal mencari suatu formula yang sesuai dan terbaik untuk mentadbir urusan kehidupan mereka sehingga terpaksa menggunakan sistem yang banyak kurap dan kudisnya itu ??
Sebagai umat Islam yang mempunyai sepenuh keyakinan pada Kebesaran, Keagungan dan Kesempurnaan Allah SWT sebagai Tuhan Maha Pencipta, yang ditunjuk ajar oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW melalui sumber naqal (al-Quran dan Hadeeth) sebagai rujukan yang lengkap dan sempurna sehinggalah sampainya Hari Kiamat kelak, mustahil dan amat tidak masuk aqal jikalau diandaikan bahawa agama Islam tidak menyediakan formula bagi sistem pemerintahan manusia, yakni tentang pengurusan serta pentadbiran makhluk dan alam.
Kerana soal kepimpinan manusia amatlah berkait rapat dengan tujuan insan diciptakan, iaitu menyembah Allah SWT sebagai Tuhan seru sekelian alam yang merangkumi cara hidup yang dapat menggapai keredhaanNya. Disinilah letaknya peranan umara dan ulama yang sewajibnya menjadi regu dalam tanggungjawab memastikan apakah sebenarnya kehendak dan peraturan Allah dalam konteks ‘penyembahan’ atau beribadat kepadaNya itu, serta bagaimana cara perlaksanaannya supaya dapatlah dibentuk tamadun masyarakat madani sepertimana yang pernah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW di Kota Madinah dahulu.
Jikalaulah golongan bukan Islam yang menggunakan khidmat kepakaran ahli-ahli falsafah dan ‘think tank’ atau para cendikiawan mengakui masih belum mendapatkan formula yang tepat dalam hal pentadbiran makhluk dan alam, lalu terpaksa menggunakan sistem demokrasi yang mereka sendiri akui banyak cacat celanya, sedangkan kita sebagai umat Rasulullah SAW amatlah beruntung kerana Islam sebagai agama yang lengkap dan sempurna, melangkaui persoalan zahir dan batin, duniawi dan ukhrawi, roh dan jasad, alam fana dan alam baqa’, alam ajsam dan alam ghaib, yang tersurat dan tersirat, bersifat syumul yakni menyeluruh, apakah kita juga mahu terpedaya dengan dakwaaan kononnya tidak ada formula sistem pemerintahan yang kental, bersifat mensejahterakan makhluk dan alam, yang ditunjuk ajar oleh Rasulullah SAW serta mendapat keredhaan Allah SWT sendiri, oleh itu terpaksa mengikut telunjuk ajar dan petunjuk orang-orang barat lalu berpegang dan mengamalkan juga sistem demokrasi yang jelas merupakan sumpahan untuk ummah itu??
Apakah yang lebih buruk daripada meletakkan kuasa memilih kepimpinan ummah kepada golongan fasiqun, munafiqun dan kafirun melalui sistem majoriti pengundi berdaftar dari kalangan rakyat? Ini bukan kehendak Allah dan RasulNya kerana orang-orang seperti ini tidak akan menjaga kepentingan Islam dan umatnya. Mungkin itu tidak menjadi hal dalam memilih kepimpinan bangsa-bangsa yang bukan Islam, kerana agama mereka adalah batil belaka, oleh itu perkiraan iman, taqwa serta amalan agama para pemimpin tidak perlu. Apa yang penting bagi mereka hanyalah orang-orang yang mampu menjaga kepentingan duniawi serta memiliki nilai moral dan etika yang berbentuk universal.
Sedangkan Islam mengambil perkiraan Alam Akhirat yang mana nasib di sana adalah ditentukan oleh amal perbuatan manusia semasa hayatnya di dunia ini. Oleh itu matlamat utama memilih kepimpinan ummah adalah supaya mereka boleh menjaga apa jua kepentingan Islam supaya dapat mencapai tujuan manusia diciptakan, iaitu penyembahan kepada Pencipta yakni Allah Rabbul Jalil. Dan konsep ‘penyembahan Pencipta’ di sini bukan hanya tertumpu kepada persoalan amal ibadat sahaja, malahan mencakupi juga seluruh aspek kehidupan manusia dari saat jaga hingga masa tidurnya, dari saat kelahiran hingga masa kematiannya. Dan dasar-dasar pemerintahan dan kepimpinanlah yang akan memberi kesan secara langsung pada setiap aspek kehidupan manusia ini.
Oleh itu sekadar menjaga kepentingan duniawi rakyat jelata semata-mata belum cukup, perlu ada keseimbangan dari aspek memelihara serta mempertingkatkan kerohaniyyan mereka supaya akhirnya kepimpinan mampu membawa rakyat semua pada kesejahteraan dunia dan akhirat.
Itulah sebabnya peranan KHALIFAH UMMAH ditafsirkan sebagai: ‘menggantikan Rasulullah SAW bagi melindungi Agama Islam serta mentadbir urusan duniawi (al-siyasah ad-dunya) untuk umat Islam.’
Al Imam Ghazali memberikan pendapatnya mengenai raja (umara) dan agama seperti maksud berikut :
“ Dunia ini ialah tempat bercucuk tanam bagi akhirat, maka tiadalah sempurna agama itu melainkan dengan adanya dunia. Raja dan agama ialah umpama dua anak kembar, agama itu ialah asal dan akar umbi, dan raja itu ialah pengawal. Sesuatu yang tidak mempunyai asal dan akar umbi pasti akan roboh, dan sesuatu yang tidak mempunyai pengawal pasti akan hilang.Kerajaan dan kepastian hukum tidak akan sempurna melainkan adanya Sultan. Dan jalan kepastian hukum untuk menyelesaikan perkara pemerintahan adalah dengan Ilmu Fekah.”
Dalam memperkatakan tentang konsep ‘MAJORITI’, ianya sering dikaitkan dengan sistem demokrasi, iaitu sistem pemilihan melalui undian terbanyak. Soalnya sekarang, adakah suara majoriti menjamin pilihan yang terbaik, walaupun secara dasarnya ia nampak paling adil kerana mengambil kira kehendak suara paling ramai? Ironisnya, perhatian kepada kebanyakan negara di dunia yang mengamalkan sistem pilihan majoriti rakyat tetap memperlihatkan kepimpinan yang korup dan kurang berwibawa!
Tiba-tiba aku terbayangkan program-program realiti yang bagai cendawan tumbuh selepas hari hujan dalam siaran rancangan television di Malaysia, iaitu yang menggunakan pengundian melalui sistem pesanan ringkas, atau sms penonton seperti Program Akademi Fantasia.
Telah sedia diketahui umum bahawa program yang kononnya mencungkil bakat-bakat menyanyi ini banyak menerima kritikan dari berbagai pihak kerana dikatakan tidak mampu melahirkan penyanyi-penyanyi yang berbakat dalam erti kata sebenarnya. Kerana rancangan realiti ini menggunakan sistem pengundian terbanyak atau majoriti melalui sms penonton berbanding penghakiman daripada juri-juri professional. Dan sistem ini seringkali menjurus kepada pemilihan pemenang yang disukai penonton berdasarkan rupa, imej dan personaliti calon berbanding bakat menyanyi yang sebenar, sehinggakan mereka yang berbakat besar namun agak kekurangan dari aspek rupa atau imej akan disingkirkan penonton pada pusingan-pusingan awal.
Dalam dunia politik sekular, imej adalah segala-galanya sehinggakan wujud istilah ‘spin doctor’ yang bertanggungjawab ‘menggula-gulakan’ rakyat dengan kenyataan-kenyataan yang muluk-muluk dan sedap didengar dek halwa telinga. Media massa perdana menjadi ejen-ejen propaganda yang cukup berkesan untuk tujuan ini. Sedangkan hakikatnya, orang-orang politik yang bersembunyi di sebalik topeng kesempurnaan ramai yang terdiri daripada mereka yang berpersonaliti bejat yang hanya bermaksud mencari kepentingan diri sendiri serta kelompok masing-masing melalui segala keistimewaan yang disangkutkan pada kuasa kepimpinan yang dikejari mereka.
Majoriti rakyat terutamanya yang tinggal di ceruk-ceruk kampung adalah mereka yang paling mudah terpengaruh dengan propaganda–propaganda politikus-politikus ini, dan mereka mengundi atas kepercayaan penuh pada imej celup yang diuar-uarkan ataupun sumbangan-sumbangan kecil yang disogok-sogokkan setiap kali hampirnya pilihanraya.

Mengingatkanku pada ayat al-Quran mafhumnya :
“‘Jika kamu ikut kebanyakan orang di mukabumi ini, nescaya mereka menyesatkan kamu dari jalan dan agama Allah. Mereka hanya membuat teka dan agak-agak jua. Bahawa Tuhan kamu lebih mengetahui siapa orang yang sesat dari agama Allah dan Ia mudahkannya pada jalan sesat. Dan Allah tahu akan orang yang mendapat petunjuk maka Ia mudahkannya pada jalan petunjuk dan agama Allah.” (Al- An’am : 116-117)
Sejarah pemerintahan manusia secara amnya memperlihatkan kewujudan tiga golongan dalam kelompok masyarakat, iaitu dua kelompok minoriti kepimpinan yang bertarik tali diantara mereka, yang mana dalam satu-satu masa, satu kelompok akan mengatasi kelompok yang lain, dan begitulah sebaliknya.
Kelompok-kelompok minoriti yang dimaksudkan ini adalah pemimpin-pemimpin yang berpotensi mendapatkan kuasa pemerintahan, satu kelompok menjurus kepada kepimpinan cita sempurna, sedangkan kelompok yang satu lagi menjurus kepada kepimpinan cita bencana yang memudaratkan.
Golongan yang ketiga pula adalah golongan majoriti rakyat jelata yang bersifat mengikut ke arah mana berpusatnya kuasa pemerintahan tersebut, samada pada pihak minoriti kepimpinan yang bercita sempurna ataupun yang bercita bencana. Bermakna jikalau kuasa pemerintahan ditakdirkan berpusat kepada golongan minoriti kepimpinan cita sempurna, amat beruntunglah rakyat semua kerana nasib mereka akan ditentukan oleh kepimpinan yang bertaqwa, berwibawa dan bertanggungjawab sehinggakan rakyat sendiri turut mendapat barakahnya lalu terhasillah masyarakat yang baik bertamadun madani.
Sedangkan jikalau kuasa pemerintahan ditakdirkan berpusat kepada golongan minoriti kepimpinan yang bercita bencana, nescaya bukan sahaja masa hadapan negara dalam bahaya, malahan rakyat juga tidak terlindung daripada percikan kecelakaan mereka, natijahnya timbullah berbagai masalah sosial dan keruntuhan struktur-struktur masyarakat.
Kesimpulannya, secara amnya dalam caturan masyarakat-masyarakat dunia semenjak zaman dahulu lagi, kuasa pemerintahan adalah digerakkan oleh elemen-elemen takdir diantara dua golongan minoriti kepimpinan, iaitu kepimpinan yang bercita sempurna atau pun yang bercita bencana.;
KEPIMPINAN CITA SEMPURNA vsKEPIMPINAN CITA BENCANA
Dan dalam satu-satu masa kuasa itu terpusat kepada salah satu diantara keduanya. Rakyat pula adalah golongan majoriti yang bersifat menurut acuan dan warna mana-mana pihak minoriti kepimpinan yang ditakdirkan terpusat padanya kuasa pemerintahan dalam satu-satu masa.
Ini berikutan kelompok yang berkuasa bertanggungjawab penuh dalam menentukan corak dan halatuju masyarakat yang dipimpin. Oleh itu jikalau kepimpinan cita bencana yang memerintah, maka mereka bukan sahaja tidak akan mempedulikan aspek-aspek kerohaniyyan, agama, nilai dan peradaban masyarakat, malahan akan menguruskan negara seperti sebuah syarikat keluarga yang hanya mengambil kira aspek laba, untung-rugi dan produktiviti.
Dalam makna lain, rakyat bolehlah diumpamakan seperti sekumpulan kambing biri-biri yang sentiasa perlu dilindungi Sang Pengembala dengan tongkatnya supaya tidak menjadi habuan serigala yang sentiasa mencari-cari peluang untuk membaham mereka. Jikalau pengembala melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik maka selamatlah kumpulan kambing biri-biri tersebut dari ancaman serigala. Namun jikalau pengembala mengkhianati amanah yang dipikulnya ataupun cuai dalam melaksanakan tugas, nescaya terlepaslah satu demi satu kambing biri-biri pada serigali yang sudah tentu akan melapah-lapahnya dengan rakus sehingga mencetuskan huru-hara dan kebinasaan.
Memang cukup ironis jikalau dilihat pada caturan dunia, bahawa kekuatan sebenar tidak pernah tertakluk secara muktamad pada kelompok majoriti. Malahan, itulah sunatullahnya semenjak zaman dahulu lagi. Dari zaman Nabi-nabi Bani Israel sehinggalah pada zaman Rasulullah SAW sendiri, pengkisahannya sering berligar pada perjuangan para Nabi dengan pengikut yang berjumlah kecil namun di situlah letaknya nusrah dan pertolongan Allah SWT. Bak kata pepatah Melayu, kecil-kecil cili api, bilangan mungkin sedikit tetapi mampu menggegarkan dunia dengan martabat kerohaniyyan yang tinggi.
Jika dihalusi sejarah Rasulullah SAW sendiri, betapa kekuatan umat Islam waktu itu tidak pernah tertakluk pada bilangan mereka. Malahan dengan jumlah yang sedikit mereka tetap diberi kemenangan oleh Allah SWT melawan kaum Musyrikin. Perang Badar, Perang Uhud dan Perang Khandak adalah antara kisah-kisah perjuangan yang berat sebelah dari sudut bilangan tenteranya, namun pertolongan Allah adalah terletak pada golongan yang sedikit ini.
Begitulah, rahsia kekuatan umat Islam tidak pernah terletak pada golongan majoriti dari kalangan mereka, kerana kebanyakan umat Islam adalah umpama kambing biri-biri yang pasrah dan mengharapkan perlindungan Sang Pengembala yang amanah dan bertanggungjawab, iaitulah kepimpinan cita sempurna.
Sedangkan terdapat satu lagi kelompok yang amat penting dalam percaturan agama di dunia ini, itulah golongan AULIA’ ALLAH, wali-wali yang kedudukannya begitu hampir dengan Allah SWT mengatasi insan-insan lain, tidak kiralah samada mereka wali hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Bilangan mereka kecil, bukan seperti ummah yang diumpamakan buih-buih di atas air ketika banjir, namun peranan mereka amat besar kerana merekalah antara pasak-pasak bumi yang sebenarnya yang menghalangi bumi ini daripada kehancuran.
Firman Allah SWT yang maksudnya: “Berapa banyak yang terjadi golongan yang sedikit mengalahkan golongan yang ramai dengan izin Allah.” (Al-Baqarah: 249)
Manusia yang hidup di zaman kecanggihan sains dan teknologi hari ini mungkin sukar menerima kiah-kisah kewujudan wali-wali dan kisah-kisah luarbiasa sebahagian manusia-manusia pilihan Allah SWT yang dikenalpasti dari masa ke semasa. Namun ketahuilah, di dalam al-Quran sendiri terdapat sekurang-kurangnya empat kisah luarbiasa atau karamah iaitu tentang pertemuan Nabi Khidr dengan Nabi Musa AS (Surah Al-Kahfi), kisah penghuni gua (Surah Al-Kahfi), kisah istana Balqis dibawa ke hadapan Nabi Sulaiman AS dalam sekelip mata oleh Asif bin Barkhaya, iaitu wazir Nabi Sulaiman AS (Surah An-Naml) dan kisah Siti Maryam bonda kepada Nabi Isa AS (Surah Ali-Imran).
Sedangkan banyak lagi kisah-kisah karamah dan barakah yang disabdakan oleh Rasulullah SAW sendiri yang tidak mungkin diterima Baginda dari sumber-sumber lain melainkan daripada Allah SWT sendiri, terutamanya yang menyangkut kisah-kisah di Akhir Zaman nanti.
Firman Allah SWT yang maksudnya:
“ Ketahuilah bahawa sesungguhnya para Aulia’ Allah (Wali) itu tidak ada kebimbangan atas mereka dan mereka tidak bersedih hati. Mereka adalah orang-orang yang beriman dan sentiasa bertaqwa. Bagi mereka diberikan berita baik dalam kehidupan di dunia mahupun di akhirat. Allah tidak mengubah janjiNya. Maka itu adalah keuntungan yang besar bagi mereka.” (Surah Yunus: 62-64)
Dari Abu Hurairah RA, katanya: Nabi SAW telah bersabda:
“ Sesungguhnya Allah telah berfirman: “ Siapa memusuhi WaliKu, Aku umumkan perang atasnya. Tiada seorang pun yang menghampiriKu dengan amalan wajib yang Aku senangi dan yang mendekatiKu dengan amalan sunat hingga Aku mencintainya. Bila Aku mencintainya, Aku akan menjadi telinganya untuk mendengar, Aku jadi matanya untuk melihat, Aku jadi tangannya untuk memegang, dan Aku jadi kakinya untuk berjalan.Jika dia minta padaKu akan ku beri, dan jika dia minta perlindunganKu nescaya akanKu beri perlindunganKu itu kepadanya.” (Hadeeth Riwayat Imam Bukhari)
Para ulama berkata, kurniaan martabat waliyullah oleh Allah SWT kepada orang-orang yang dikasihiNya itu adalah dengan kudrat dan iradatNya berdasarkan amalan serta kebersihan hati mereka. Sesungguhnya martabat wali beserta dengan segala kekeramatannya datang bukan dengan cita-cita, bahkan para aulia’ yang mendapat karamah lebih bertawaduk kerana takut bahawa kelebihan mereka akan menimbulkan penyakit ujub dan riak yang membinasakan itu.
Sedangkan kekeramatan yang dikurniakan Allah kepada mereka digunakan hanya untuk kepentingan agama dan bukan untuk kepentingan peribadi. Dan tidaklah pula mereka bergantung sepenuhnya pada kaedah ini, lazimnya kaedah ini menjadi pilihan terakhir ataupun apabila mereka dalam keadaan benar-benar terdesak.
Di zaman ketiadaan para Nabi dan Rasul, wali-wali Allah mempunyai peranan penting kerana mereka menjadi sumber karamah dan barakah, terutamanya di saat-saat genting seperti peperangan dengan musuh-musuh Islam, yang mana di kala itu pertolongan Allah SWT sangatlah diperlukan. Pertolongan Allah SWT ini bukan sahaja mampu meringankan beban umat Islam dalam segala rintangan yang terpaksa dihadapi seperti kekurangan bekalan makanan, masalah pengangkutan, kedaifan alat peperangan, bilangan tentera yang kecil dan sebagainya, malahan banyak kali pula mereka dapat mengalahkan pihak musuh dengan apa jua kecanggihan teknologi dan ketinggian tamadun mereka.
Selepas Nabi dan Rasul, para wali adalah sebenarnya golongan yang memberi harapan kepada ummah atas anugerah Allah kepada mereka yang mampu menarik rahmat, keberkatan dan pertolongan Nya pada bila-bila masa, tempat dan keadaan. Mereka sentiasa wujud pada sepanjang zaman, samada dikenali ataupun tidak.
Antara hamba-hamba pilihan Allah yang terbukti dalam sejarah telah mampu menggapai pertolonganNya dalam bentuk karamah dan barakahsehingga umat Islam mendapat kemenangan menentang musuh-musuh agama sedangkan Islam pula mencapai mercu ialah seperti berikut;
1. Para sahabat Rasulullah SAW
2. Imam-imam mazhab (dalam ilmu feqah dan tauhid) terutamanya imam mazhab yang empat
3. Para mujaddid seperti Sayyidina Umar Abdul Aziz, Imam Ghazali, Imam Sayuti dan sebagainya.
4. Para perawi Hadeeth seperti Imam Bukhari, Imam Tarmidhi, Imam Muslim dan sebagainya.
5. Pengasas-pengasas tarikat seperti tarikat Naqsyabandiah, Chistiyya, Syathariyah, Qadariah dan sebagainya.
6. Ulama-ulama besar dan para salihin seperti Imam Hassan Al Basri, Syeikh Junaid Al Baghdadi, Syeikh Abu Yazid Bustami, Syeikhul Hadeeth Maulana Zakariyya Al Kadhlawi, Maulana Asyraf Ali Thanwi, Maulana Sadar Jahan, Syeikh Yusuff Taj Al-Khalwati,Tok Kenali dan sebagainya.
7. Para pejuang agama seperti Khalifah Umar Abdul Aziz II, Sultan Salahuddin Al Ayubbi, Maharaja Aurangzeb, Sultan Muhammad Fatih dan sebagainya.
8. Ahlul-Bait Rasulullah SAW yang terpilih seperti Sayyidah Fatimah, Al-Hassan, Al Hussain, Ali Zainal Abidin, Muhammad Baqir, Jaafar Sadiq, Syeikh Abdul Kadir Jailani, Hadhrat Nizamuddin, Sayyid Hussin Jamadil Kubra, Tokku Paloh, Habib Nuh, Syeikh Muhammad Daud Al-Fatoni, kebanyakan daripada Wali Songo dan ramai lagi.
9. Di kalangan wanita terpilih seperti Maryam puteri Imran, Asiah, para isteri Rasulullah SAW, puteri-puteri Baginda, para sahabiah seperti Ummu Aiman, Ummu Syuraik, Al Fairah Al Ansariah, wali-wali wanita seperti Sayyidah Nafisah, Sayyidah Aminah, Rabiatul Adawiyyah dan lain-lain lagi.
10. Imam Mahdi AS dan para pembantunya seperti Al Mansur, Syuaib Shaleh, Ibnu Al Asb, As Salam dan sebagainya.
Kesimpulannya, umat Islam seharusnya jangan terpedaya dengan pandangan-pandangan serta imej-imej zahiriyyah seperti kecanggihan kuasa sains dan teknologi mahupun kekuatan bilangan majoriti, kerana yang sebenarnya memainkan peranan dalam kehidupan alam ini adalah unsur-unsur yang disebut sebagai HAKIKAT dan gerakan TAKDIR.
Sejarah pemerintahan umat manusia telah memperlihatkan berulangkali bahawa keseimbangan masyarakat pada kepimpinan cita sempurna mahupun cita bencana adalah digerakkan atas ombak takdir, bukan pilihan sains dan teknologi mahupun keputusan majoriti umat manusia melalui peti-peti undi pilihanraya. Ingat sejarah Khulafa’ ar-Rasyidin, dinasti Umaiyah, pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz II, dinasti Abbassiyyah, Salahuddin Al-Ayyubi, Muhammad Al-Fatih, malahan raja-raja di Alam Nusantara yang kebanyakannya berdarah daging dari zuriyyah Rasulullah SAW.
Kemunculan Imam Mahdi, Nabi Isa dan para pembantu mereka dalam fasa Akhir Zaman nanti juga adalah digerakkan atas ombak takdir, yakni takdir yang baik seperti yang dijanjikan Allah SWT, bukan pilihan sains dan teknologi, bukan juga pilihan majoriti umat manusia melalui peti-peti undi pilihanraya.
Dan takdir yang baik adalah menyusuli hakikat, oleh itu orang-orang yang cerdik pandai akan mencari ilmu-ilmu hakikat bukan sahaja sebagai petunjuk kepada jalan kebenaran, malahan sebahagian daripada ilmu-ilmu hakikat ini berupaya pula dalam menunjukkan tanda-tanda zaman dengan izin dan petunjuk dari Allah SWT.
Dan wali-wali Allah adalah antara manusia-manusia yang berhakikat kerana mereka adalah orang-orang yang paling hampir kepada Allah SWT. Pada merekalah terletaknya banyak rahsia-rahsia penghidupan malahan rahsia-rahsia zaman. Mereka antara golongan yang mampu menolong umat Islam yang awam untuk mencari jalan berpulangan kepada Allah SWT, dengan cara mencari, menziarahi, menghormati, memuliakan, mengambil barakah, meminta wasilah dan paling utama, mengambil iktibar, belajar daripada kehidupan serta pengajaran-pengajaran dan ilmu-ilmu para Aulia’ Allah ini, samada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.
Firman Allah SWT :
“ Dan janganlah kamu mengatakan terhadap sesiapa yang gugur dalam perjuangan membela agama Allah itu orang mati, bahkan mereka itu hidup tetapi kamu tidak menyedarinya.” (mengetahui keadaan mereka).” (Al-Baqarah : 154)
Rasulullah SAW pernah bersabda :
“ Jasad golongan Anbiya’ dan Auliya’ akan terpelihara dalam kubur-kubur mereka. Malahan rahmat dan barakat Allah sentiasa dicucuri atas mereka”
Di situlah terletaknya keberkatan dan salah satu kunci kekuatan umat Islam, bukan pada sains dan teknologi, bukan pada bilangan majoriti pengundi berdaftar. Oleh itu umat Islam seharusnya jangan terkesan dengan apa jua keadaan zahiriyyah yang berlaku disekeliling mereka, semua itu adalah pandangan-pandangan ‘sebelah mata’ lagi memperdayakan. Celikkanlah mata hati, fokuslah pada mencari dan mengamal ilmu-ilmu hakikat kerana disitulah letaknya jawapan bagi segala masalah umat, baik yang berbentuk lokal mahupun global.
Petikan dari buku ' Cita Sempurna Melayu Islam Beraja & Ahlul-Bait Nabi SAW'
Untuk maklumat lanjut, rujuk bahagian Karya Penulis

No comments:

Post a Comment