MENGENAL DIRI MELALUI TIDUR
Puncak dari segala jalan mengenal itu adalah penyerahan diri kepada Allah. Puncak dari penyerahan itu adalah ikhlas, dan puncak dari keikhlasan itu adalah mati, Fana’ dan Baqa', lena atau tidur. Maksud tidur di sini adalah tidak lagi memikirkan keberadaan diri yakni tidak lagi memikirkan diri itu ada. Tidur di sini merujuk kepada makna berserah, iaitu berserah segalanya kepada Allah, seumpama berserahnya diri kita di kala kita sedang tidur.
Semasa tidur, kita tidak lagi memikirkan harta, lapar, anak isteri, syurga, neraka, pahala, untung, rugi, sakit, sihat, apakah hidup atau mati, bahkan nama diri kita saja sudah tidak kita hiraukan. Tidurlah yang mengajarkan kita apakah sebenar‐benarnya pengertian penyerahan diri, mengenal diri, tawakal dan keadaan keikhlasan yang sebenarnya.
Tidur orang makrifat itu, bukanlah berarti lena dengan tak sedar diri, walaupun dalam keadaan terjaga dengan mata masih berkedip, tangan sedang melambai dan kaki sedang melangkah, sebenarnya mereka itu sedang dalam keadaan berserah diri kepada Allah.
Ungkapan yang terzahir dari bibir seorang guru mursyid “aku tidak tahu, aku tidak tahu dan aku tidak tahu" itu, bagi menggambarkan mereka sedang dalam keadaan berserah diri secara hakiki kepada Allah, sehingga tak sadar yang mereka itu sedang berkata-kata (berbicara). Mereka merasakan seolah-olah mereka itu sedang tidur.
Tidur merupakan kiasan yang mengandungi pengertian spritual yang mendalam dan berkesan untuk dijadikan iktibar. Bagi yang tak mengerti, perkara tidur itu dianggap sekadar proses alamiah biasa. Orang‐orang terdahulu memakai proses tidur itu sebagai latihan untuk mengarah kepada mengenal diri. Inilah yang dikatakan jalan spritual bagi tujuan mengenal diri.
Di saat kita tidur, diri zahir dan diri batin (roh) kita dipegang, digenggam dan berada dalam dakapan Allah Taala. Dengan kata lain bisa dikatakan bahawasanya itulah erti penyerahan diri yang sebenarnya. Bila mana kita berada dalam dakapan Allah (itulah penyerahan), penyerahan kita itu sehingga membawa kita untuk tidak lagi ingat kepada selain Allah.
Bila tidak ingat lagi kepada yang lain, itulah ertinya kita hanya ingat kepada Allah. Bila duduk dalam keadaan ingat kepada Allah, dikala itu juga akal pikiran kita langsung tidak berikhtiar atau berusaha, malahan ikhtiar dan usaha kita itu telah kita serahkan kepada Allah sepenuhnya secara mutlak.
Seandainya kaedah atau konsep tidur itu dipraktikkan dalam kehidupan sehari hari (dalam keadaan terjaga), itulah sebenarnya cara dan kaedah berserah diri secara ikhlas dan kaedah mengenal diri yang hakiki. Sayangnya tidak banyak di antara kita yang memahaminya. Sepantasnya kaedah itu kita gunakan sebagai bahan pengajaran untuk kita sandarkan diri kita ini kepada Allah.
Di saat mahu berangkat tidur, jarang sekali kita menggunakannya untuk memanfaatkannya, bagi tujuan menghadapkan diri kita kepada wajah Allah Taala, apalagi di waktu terjaga. Dalam usaha untuk menyiap diri bagi menghadap Allah, jadikanlah proses tidur itu sebagai dalil keikhlasan dalam penyerahan diri kepada Allah.
Tidurlah pengajaran ilmu penyerahan diri yang paling hampir bagi siapa saja yang sedang berhajat untuk mencari erti mengenal diri yang mutlak dan mengajarkan kita erti "mati sebelum mati". Semasa kita terjaga, kita selalu mengarahkan kesedaran kita kepada permasalahan dunia yang tiada berkesudahan dan tidak ada habisnya.
Kita asyik dengan benda benda dunia yang kita cintai, seperti wang yang banyak, menimbun kekayaan, mengejar impian yang tinggi, memenuhi hasrat yang menggunung dan sebagainya.
Ramai yang mengutamakan kepada mengejar perkara-perkara yang selain dari wajah Allah. Permasalahan inilah yang menghambat jiwa dan menahan diri kita untuk berserah diri kepada Allah.
No comments:
Post a Comment