Friday 31 March 2017

Berpuasa Itu, Ertinya Berserah Diri.

Berpuasa Itu, Ertinya Berserah Diri.
Marilah kita bersama-sama berserah diri kepada Allah s.w.t dan benar-benar memperhambakan diri kepadaNya. Bukan sahaja ketika bulan Ramadhan sahaja, malahan marilah kita berpuasa dengan berserah diri sepanjang masa, sepanjang hayat selagi nyawa dikandung badan dengan berpuasa dari memakai pakaian Allah s.w.t. Bijak itu pakaian Allah s.w.t, pakaian kita adalah bodoh. Hidup itu pakaian Allah s.w.t, pakaian kita itu adalah mati. Gagah itu pakaian Allah s.w.t, pakaian kita itu lemah. Melihat, mendengar, berkata-kata itu pakaian Allah s.w.t, pakaian kita itu buta, tuli dan bisu. Pakaian Allah s.w.t itu sihat, kaya, cantik, besar dan tinggi, manakala pakaian kita itu adalah sakit, melarat, fakir, hodoh, kecil dan bersifat rendah serendahnya. Apabila kita telah mengaku yang kita ini rendah, buat apa perlu meninggi diri dengan mengaku bahawa kita yang berkata-kata, kita yang melihat, memandang, menilik, mendengar, gagah, kuat dan sebagainya.
Pulangkan segalanya itu kepada tuan yang empunya dan itulah yang diertikan puasa sepanjang zaman, sepanjang tahun dan sepanjang hayat!. Bila kita telah sampai kepada tahap itu, itulah ertinya puasa, itulah maknanya Ramadhan, itulah terjemahan dan tafsiran kenikmatan nikmat yang berpanjangan (puasa). Puasa itu pantang, pantang dari mengambil hak milik Allah s.w.t, pantang dari mengaku kepunyaan sendiri dan pantang dari mendakwa hak diri sendiri. Sedangkan pemilik tunggal (hak milik kekal) itu, adalah Allah s.w.t. Ingat itu!!!!!
Oleh itu, bagi menjalankan perintah Ramadhan, hendaklah kita menggunakan sepenuh apa yang kita ada untuk dibaktikan kepada Allah s.w.t dengan menghulurkan bantuan nikmat anggota yang kita ada, harta yang kita miliki dan ilmu yang kita pelajari untuk disampaikan kepada makhluk lain. Nikmat yang Allah s.w.t bagi kepada kita itu hendaklah disalurkan semula kepada orang lain dan kepada makhluk sejagat amnya. Guna sepenuhnya nikmat yang Allah s.w.t bagi kepada kita untuk dikembalikan semula kepadaNya, dengan mempergunakannya melalui berbakti kepada alam sejagat.
Sayang kerana Allah, kasih kerana Allah, cinta kerana Allah, sembahyang kerana Allah, ibadah kerana Allah, beramal kerana Allah dengan penuh kasih sayang (berkorban). Kasih sayang itulah ertinya ikhlas. Dengan kasih sayang membuatkan kita patuh, taat, sejuk hati, tetap hati, tabah hati, kukuh hati dan segala yang dikerjakan tanpa mendatangkan kepayahan di hati. Biarpun kelihatan seperti berat atau payah, namun sifat kasih sayang, membuatkan kita bersemangat dan gagah untuk menyempurnakannya!!!

No comments:

Post a Comment