Thursday 30 March 2017

Johor

TEMENGGONG DAN NAPOLEON

Perancis dan Malaysia kelihatan seperti tidak banyak berinteraksi. Lawatan François Hollande semalam hanyalah kali kedua Presiden Perancis melawat Malaysia, selepas lawatan pertama dibuat Jacques Chirac pada tahun 2003. Tapi sebenarnya, ada pemerintah negeri Melayu yang telah berhubungan dengan Perancis sejak 160 tahun yang lalu, iaitu Raja Temenggong Tun Daeng Ibrahim, datuk kepada moyang DYMM Sultan Johor yang sekarang.

Pada 12 April 1857 (17 Syaaban 1273H), Temenggong Daeng Ibrahim mengutus sepucuk Surat Emas kepada Maharaja Perancis, di mana disebut perjumpaan antara Temenggong dan diplomat Maharaja Perancis yang bernama Charles de Montigny. Temenggong juga menghadiahkan sepucuk keris dan 'dua tomba pakaian cara Melayu' kepada Maharaja Perancis.

Untuk apa Temenggong menulis surat kepada Maharaja Perancis? Saja-saja? Nak mempromosi busana Melayu?

Maharaja Perancis ketika itu ialah Napoleon III atau Louis-Napoléon Bonaparte, anak saudara kepada Napoléon Bonaparte (Napoleon I) Maharaja Perancis dari tahun 1804 hingga 1815. Selepas Napoleon jatuh pada tahun 1815, tampuk pemerintahan Perancis dikembalikan kepada Dinasti Bourbon yang memerintah Perancis sebelum Revolusi 1789. Raja-raja Bourbon tidak popular di kalangan rakyat dan digulingkan dalam Revolusi 1830. Kemudian Louis-Philippe menubuhkan Monarki Julai yang turut digulingkan dalam Revolusi 1848. Orang Perancis menubuhkan Republik Kedua dan melantik Louis-Napoléon sebagai presiden. Namun Louis-Napoléon telah mengisytiharkan diri sebagai Maharaja Napoleon III pada tahun 1852, mengikut jejak lama bapa saudaranya.

Tujuan Temenggong menulis surat kepada Napoleon III adalah untuk menjalin hubungan dengan Perancis, supaya menjadikan Perancis sebagai pengimbang ('balancer') kepada British, demi memelihara kemerdekaan Johor. Ketika itu Perancis dan British bersaing untuk memperluaskan pengaruh di rantau Asia Tenggara. Walaupun Perancis dan British baru sahaja berpakat menentang Rusia dalam Perang Crimea (1853-1856), kepentingan mereka adalah bercanggahan. Napoleon III bercita-cita membina empayar yang boleh menandingi British. Malah British dan Perancis meninggalkan rancangan menyerang Rusia secara bersama kerana masing-masing mengkhianati satu sama lain.

Keadaan ini telah memberi ruang yang boleh dimanipulasi oleh Temenggong. 'Musuh kepada musuh saya ialah kawan saya' adalah 'maxim' dalam diplomasi/geopolitik. Kalau Temenggong dapat menjalin hubungan dengan Perancis, maka Johor dapat melemahkan pengaruh British (tanpa memutuskan hubungan dengan British). Dan hubungan dengan British pula boleh digunakan untuk mengelakkan Perancis mendominasi Johor. Ini adalah salah satu jenis strategi imbangan kuasa ('balance of power') di mana negara 'play great powers against each other'.

Namun rancangan Temenggong tergendala kerana pada tahun 1871, berlaku perang di antara Perancis dan Prussia (salah sebuah negeri Jerman). Perancis kalah dan Napoleon III terpaksa meninggalkan takhta. Kemenangan Prussia membawa kepada penyatuan negeri-negeri Jerman menjadi sebuah Empayar Jerman yang bersatu, dan ancaman Jerman tersebut telah merapatkan British dan Perancis. Perancis tidak dapat berfungsi sebagai pengimbang lagi. Maka, putera Daeng Ibrahim iaitu Sultan Abu Bakar telah menukar strategi kepada 'Pan-Islamism' (menjalin hubungan dengan Turki Uthmaniyyah) dan 'Pan-Malayism' (menjalin hubungan dengan negeri-negeri Malayo-Polynesia seperti Hawaii) untuk terus memelihara kemerdekaan Johor, sehingga tahun 1914 apabila Johor terpaksa menerima Penasihat British.

Kedua-dua Temenggong Daeng Ibrahim dan puteranya Sultan Abu Bakar adalah pengamal seni imbangan kuasa. Dan seni tersebut masih boleh dilihat dalam dasar luar Malaysia pada hari ini. Amerika, Rusia, China, Jepun, Iran, Saudi, Jerman, Perancis, India – 'the more the merrier'. Nampak macam saling bertentangan (bagaimana berbaik-baik dengan Amerika dan Rusia serentak, dengan China dan Jepun, dengan Iran dan Saudi serentak?), tetapi sebenarnya lagi banyak negara yang mempunyai hubungan dengan Malaysia, lagi banyak 'leverage' yang diperolehi Malaysia.

Surat yang lebih jelas boleh dilihat di sini: http://www.bl.uk/manuscripts/Viewer.aspx?ref=Or_16126_f001r

No comments:

Post a Comment