Saturday, 30 April 2016

hakikat zat

APAKAH YANG DIKATAKAN ZAT ALLAH ?
SESUNGGUHNYA DIA TIDAK BERZAT !
Ketahuilah oleh mu duhai saudara-saudara seagamaku, bahawa Allah itu, adalah Allah yang wajibal wujud iaitu Allah yang meliputi sekalian wujudnya alam. Allah itu, adalah Allah yang benar-benar ada (wujud) dan benar-benar nyata!
Wujud atau adanya Allah itu, adalah wujud yang mutlak, iaitu wujud tanpa bentuk, tanpa sempadan, tanpa suara, tanpa huruf, tanpa jirim, tanpa jisim dan wujudnya Allah itu, adalah wujud yang tanpa had. Allah itu, dekat tidak bersentuhan dan jauh tidak berantara.
Pun begitu, Allah telah menzahirkan diriNya dalam bentuk yang berbagai. Iaitu menzahirkan diriNya dalam bentuk seumpama pakaian yang berbagai, bermacam-macam dan berbilang-bilang dalam keEsaan. Seumpama pelangi yang berbagai warna itu, bagi menzahirkan matahari yang satu.
Allah itu berbilang pada namaNya, dalam AfaalNya, dalam asmaNya dan berbilang dalam zatNya, namun satu dalam keEsaanNya! (berbilang yang terhimpun dalam yang satu). Itulah makanya wujud ilmu martabat tujuh!
Allah itu, adalah Allah, yang tidak boleh didalil-dalilkan oleh pencapaian akal. Allah itu adalah Allah, yang tidak boleh ditangkap, diungkap, difikir, dilogik, dibayang, dikhayal atau diraba oleh kebijaksanaan pancaindera akal.
Dalam karangan kitab-kitab terdahulu, ramai para ulamak yang menggunakan perkataan “zat Allah”, seumpama perkataan yang mengatakan bahawasanya “Allah itu berdiri dengan zatnya” atau perkataan “Allah dengan zatnya” dan berbagai-bagai tafsiran yang disebut dengan perkataan “zat”.
Dalam ilmu Tok Kenali, perkataan zat Allah itu, pengunaan perkataan “zat” tidak digalakkan. Kebimbangan menjadi khilaf kita mentafsirkannya. Allah bukan sifat, Allah bukan nama, Allah bukan asma’ dan Allah bukan zat! Perkara atau nisbah zat, sifat, afaal dan asma’ itu, adalah tergolong dalam golongan ciptaan Allah, iaitu anasir yang bersifat atau yang dikatakan makhluk!. Jika kita bersifat Allah juga bersifat. Jika kita berafaal Allah juga berafaal. Jika kita berasma’ dan Allah juga berasma’ dan bilamana kita berzat dan Allah juga berzat, apa bezanya zat kita dengan zat Allah, bilamana sama-sama ada zat?. Jika kita ada zat dan Allah juga ada zat, apa bezanya kita dengan Allah? Perkara zat itu, adalah perkara ciptaan Allah, sebagaimana perkara sifat, afaal dan asma’.
Bilamana kita sebut perkara sifat, kita mengaku bahawa sifat itu, adalah makhluk. Bilamana kita sebut perkara asma’, kita mengaku yang asma’ itu, adalah makhluk. Bilamana kita sebut perkara afaal, kita mengaku yang asma’ itu adalah bersifat makhluk. Tetapi bilamana sampai kepada perkara “zat”, kenapa kita mengatakan yang Allah juga ada zat? Tidakkah 4 anasir (zat, sifat, afaal dan asma) itu, anasir makhluk, kenapa sampai kepada zat, kita tamsil kepada Allah, kenapa, kenapa dan kenapa?, cuba jawab.
Itulah makanya dalam pengajian ilmu makrifat Tok Kenali, beliau tidak menggunakan perkataan zat Allah. Allah itu, adalah Allah, yang sifatnya bersalahan dengan sifat-sifat yang baharu! Ingat itu.
Erti atau makna perkataan “zat” itu, adalah bermaksud “ suatu perkara yang tiada iktibar ”, “ suatu perkara yang tidak dapat dijangkau oleh akal”. Bukannya bererti perkataan “zat Allah itu, bermaksud Allah itu ada zat, Allah tidak ada zat. Perkataan zat Allah yang selalu kita sebut-sebut itu, bukan bererti Allah itu, ada roh, bukan bererti Allah itu, ada sesuatu didalam diriNya dan bukan bererti Allah itu, ada megandungi sesuatu dalam tubuhnya. Dalam diri Allah itu, tidak ada sesuatu, tidak ada sifat, tidak ada nama, tidak ada afaal dan tidak ada zat. Allah itu, adalah Allah.
Adapun pemakaian perkataan “zat” oleh sesetengah ulamak atau oleh sesetengah pengarang-pengarang itu, adalah bagi menggambarkan bahawa Allah itu, tidak ada iktibar, tidak dapat dijangkau oleh akal, tidak dapat difikir oleh otak, tidak dapat dibayangkan oleh kata-kata dan sebagainya, itulah maksud, erti dan makna kepada perkataan “zat Allah” dan bukannya bilamana disebut perkataan “zat Allah”, ianya bererti Allah itu ada zat. Ingat itu.
Ramai yang tidak faham erti perkataan zat. Kita boleh sebut perkataan zat tetapi jangan pula tersalah tafsir dan jangan pula di erti kepada Allah (kerana Allah itu, adalah Allah yang tidak umpama dengan suatu umpama). Allah itu adalah Allah, tidak ada sesuatu yang berdamping denganNya. Allah berdiri dengan sendirinya, tanpa didatangi, ditumpangi, disertai, diwakili atau dijelmakan oleh bayangan zat! Apakah Allah itu masih memerlukan zat untuk Dia hidup atau apakah Allah itu masih berkehendakkan kepada sesuatu yang lain bagi menghidupkanNya.
Itu makanya Tok Kenali, jarang menggunakan bahasa zat Allah, kebimbangan tersalah faham dan tersalah erti. Itulah makanya saya tidak mahu menggunakan bahasa atau perkataan zat Allah (perkara yang tiada iktibar). Ingat pesanan itu, ini adalah pesananan para guru-guru terdahulu! Selepas kita faham apa itu ertinya zat, baru boleh kita guna perkataan itu!
Admin Sheikh Al Islam
LikeShow More Reactions
Comment

No comments:

Post a Comment