Monday 6 March 2017

MANIFESTASI SIFAT JALAL DAN JAMAL ALLAH

MANIFESTASI SIFAT JALAL DAN JAMAL ALLAH
Perbuatan Allah itu ditampakkan kepada Aulia dan Abdal di dalam pandangan dan pengalaman kerohanian. Ini berada di luar jangkauan akal manusia dan keluar dari adat kebiasaan. Penampakkan atau pemanifestasian ini ada dua jenis: yang pertama dinamakan “Jalal” (kebesaran dan keagungan) dan yang kedua dinamakan “Jamal” (keindahan).
Jalal ini menimbulkan kehebatan dan mempengaruhi hati sedemikian rupa, sehingga tanda-tandanya nampak pada badan kasar. Diceritakan bahawa ketika Nabi Muhammad SAW tengah melakukan solat, terdengarlah oleh orang bunyi seperti air mendidih dari hati beliau, kerana hebatnya dan gentarnya hati beliau ketika menghadap Allah SWT. Ini adalah suatu pengalaman yang beliau rasakan apabila Allah menunjukkan keagungan dan kebesaran-Nya. Peristiwa seperti ini juga terjadi pada Nabi Ibrahim a.s. dan Khalifah Umar r.a.
Pengalaman yang akan dirasakan oleh seorang hamba apabila Allah memanifestasikan sifat Jamal-Nya adalah hati si hamba itu akan merasa gembira, tenang, sentosa dan selamat. Ia akan mengucapkan kata-kata yang penuh kasih mesra, dan akan tampak tanda-tanda yang menggembirakan tentang kurnia-kurnia yang besar, kedudukan yang tinggi, dan kedekatan kepada-Nya yang kepada-Nya-lah segala perkara mereka itu akan kembali. Inilah kurnia kurnia dan rahmat Allah yang diberikan kepada mereka di dunia ini.
Hati mereka yang cinta kepada-Nya akan dipuaskan oleh-Nya, sehingga mereka akan merasa senang. Allah mengasihi dan menyayangi mereka. Nabi pernah bersabda kepada Bilal, “Hai Bilal, hiburlah hati kami”. Apa yang Nabi maksudkan adalah agar Bilal mengumandangkan azan, supaya nabi memasuki solat dengan merasakan manifestasi sifat Jamal Allah itu. Kerana itu Nabi telah bersabda, "Kesejukan mataku, telah daku rasakan di dalam solatku".
Kitab 'Futuhul Ghaib'
Syeikh Qadir Jailani

1 comment: