Tuesday, 14 May 2019

JADI MUSLIM YANG BERFIKIR, BUKAN MUSLIM IKUT-IKUTAN.


JADI MUSLIM YANG BERFIKIR,
BUKAN MUSLIM IKUT-IKUTAN.
Seorang rakan baik saya merasa amat pelik terhadap orang-orang yang memintanya berfikir dalam batas-batas Tauhid. Mengapa berfikir itu hendak dibatasi? Ia bertanya, sambil terus bertanya lagi. "Apakah Tuhan itu takut terhadap makhluk yang diciptakan-Nya sendiri?"
Telinga siapa yang tidak panas dengan kalimat-kalimat seperti itu. Terutama bagi golongan Muslim totok yang mengamalkan tatacara Islam pada kulitnya sahaja. Tetapi kemudian kita tahu, bahawa tidak ada maksud untuk merendahkan atau pun menghina dalam perbicaraan beliau yang lantang seperti itu.
Kerana sesungguhnya, orang yang mengaku bertuhan tetapi menolak berfikir bebas, bererti beliau itu telah menolak rasional kewujudan Tuhan. Nampak jelas sahabat saya itu bukan sekadar ingin menyoal umat Islam yang taat atau bebas. Ia bergerak melampaui batas itu. Ia sedang menjangkau Islam yang berfikir.
Sebab, "Kalau betul-betul Islam itu membatasi kebebasan berfikir," ucapnya lagi, "hanya ada dua alternatif sahaja yang tinggal, iaitu menjadi Muslim sebahagian atau setengah-setengah atau lebih jauh lagi menjadi seorang Kafir."
Namun sampai sekarang saya masih lagi berpendapat bahawa Tuhan itu tidak pernah membatasi, bahkan Tuhan akan bangga dengan otak kita, yang selalu bertanyakan perihal tentang Dia yang Maha Segala.
Perbicaraan kami terhenti apabila ada seseorang  telah datang ke meja kami untuk meminta sedikit api. "Untuk apakah api itu, saudara?" Tanyaku bersahaja kepadanya. Lalu beliau pun menjawab: "Mengapa ditanya akan soalan yang engkau sendiri sudah ketahui akan jawapan", sambil terus membakar rokoknya.
Lalu kami bertiga pun tertawa bersama ðŸ˜‚🤣

No comments:

Post a Comment