Thursday 27 December 2018

BELAJAR UNTUK MENGHARGAI



BELAJAR UNTUK MENGHARGAI
________________________________________
Sejak zaman dahulu kala lagi, tanah Melayu dan tanah Nusantara sentiasa terbuka pada apa saja dan sesiapa saja untuk masuk, bertamu, atau menetap di dalamnya. Nenek moyang kita adalah tuan rumah yang sangat baik bagi sesiapa saja. Ketika Hindu dan Buddha datang dari tanah utara, nenek moyang kita menerimanya dengan tangan terbuka. Begitu juga ketika Islam dan Kristian masuk dari tanah barat, nenek moyang kita pun menerimanya dengan tangan terbuka.
________________________________________
Kerana rasa kerendahan hati dan semangat untuk menghargai segenap ilmu kebijaksanaan apa pun dan dari mana pun, maka nenek moyang kita pun menggunakan agama-agama dari luar itu sebagai sebahagian dari hidup mereka, dan menambahkannya ke dalam pemakaian harian mereka sendiri. Meskipun banyak dari nenek moyang kita yang menganut Islam, namun masih banyak tradisi lama dalam Hindu yang tetap meresap dan melumuri sesetengah aspek hidup keislaman mereka.
________________________________________
Pandang yang banyak pada yang satu, dan pandang yang satu pada yang banyak. Warna warni cahaya yang pecah berselerakan itu, datangnya dari satu punca cahaya yang putih jua. Pandanglah dengan rasa cinta. Di dalam kepelbagaian itu, terkandung zat yang sama yang menjadi intipati bagi segala kewujudan.
________________________________________
Dunia menjadi indah kerana adanya perbezaan. Dunia seharusnya menjadi lebih indah kerana banyaknya agama, jika setiap satunya mampu untuk saling menghormati dan menghargai akan yang lainnya. Bangsa yang agung adalah bangsa yang mampu menghargai, bukan hanya sekadar bertoleransi akan segala perbezaan.

No comments:

Post a Comment